BTC USD 86,230.3 Gold USD 4,321.95
Time now: Jun 1, 12:00 AM

MYS Harimau Muda langkah kanan, bangkit belasah Laos 4-1

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,386
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,386
Reaction score
346
Points
141

Harimau Muda langkah kanan, bangkit belasah Laos 4-1​

3363528.webp

Harimau Muda meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas Laos. Foto FAM

SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara memulakan kempen Sukan SEA Thailand dengan langkah kanan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Laos 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Rajamangala pada Sabtu.

Kemenangan bergaya berserta jumlah jaringan besar itu sememangnya ditagih skuad muda negara bagi mencerahkan peluang memburu slot ke pusingan separuh akhir.

Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain tersentak seawal minit keempat apabila Laos terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi serangan balas pantas yang disudahkah oleh Bounphaeng Xaysombath.

Namun, jaringan awal itu tidak mematahkan semangat Harimau Muda yang mula mempamerkan kebangkitan dengan memperkemaskan rentak permainan.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Haykal Danish berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara tampil lebih garang dan berjaya meledak tiga lagi gol bermula dengan jaringan Haqimi Azim pada minit ke-59 diikuti jaringan pantas Moses Raj dua minit kemudian.

Muhammad Abu Khalil melengkapkan pesta gol negara dengan jaringan keempat pada minit ke-90, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh milik Malaysia.

Berdasarkan format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik sahaja layak mara ke peringkat separuh akhir.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan pasukan pilihan, Vietnam pada 11 Disember untuk menentukan juara kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi 'ibu segala pingat emas' acara bola sepak Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
 

'Menang Laos, tonik hadapi Vietnam' - Nafuzi​

3363714.webp

Nafuzi tuntut pemainnya kekal fokus dan membuat persiapan rapi untuk bertemu Vietnam yang juga juara edisi 2019 dan 2021. - Foto: FB FAM

KETUA jurulatih pasukan bola sepak lelaki bawah 23 tahun (B-23) negara, Mohd Nafuzi Zain menjangkakan pertembungan sukar menentang Vietnam pada Khamis depan (11 Dis) dalam saingan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Nafuzi berkata, pemainnya perlu kekal fokus dan membuat persiapan rapi, sambil menekankan bahawa Vietnam adalah juara pada edisi 2019 dan 2021.

"Seperti yang diketahui, Vietnam merupakan pasukan yang kuat, terdiri daripada pemain pantas, berbakat dari segi teknikal, tenang dan matang. Kami perlu memberikan yang terbaik untuk mengalahkan mereka,” katanya pada sidang media selepas menewaskan Laos 4-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Nasional Rajamangala di sini, hari ini.

Beliau menegaskan pasukan tidak boleh kecundang jika mahu menjuarai kumpulan dan melangkah ke peringkat seterusnya.

Namun, beliau berbangga dengan persembahan anak buahnya menentang Laos walaupun tanpa beberapa tonggak utama yang masih terikat dengan komitmen liga tempatan.

"Pemain yang masuk ke kejohanan ini sedar bahawa ini bukan barisan terkuat yang boleh kami turunkan, tetapi keserasian dan semangat berpasukan memberi keyakinan untuk beraksi.

"Kami gembira memenangi perlawanan pembukaan ini dan ia akan meningkatkan keyakinan menjelang pertembungan dengan Vietnam,” katanya.

Pertemuan dengan Vietnam di venue sama merupakan perlawanan terakhir Kumpulan B yang dijangka menentukan juara kumpulan.

Sementara itu, ketua jurulatih Laos, Ha Hyeok-jun mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kemenangan meyakinkan itu, sambil mengakui pasukannya kekurangan dalam "semua aspek”.

"Pemain kami telah memberikan yang terbaik dari segi taktikal dan fizikal menentang Malaysia. Keputusan jaringan tidak mencerminkan persembahan mereka, tetapi mereka sudah cuba sebaik mungkin. Mereka masih muda dan saya fikir kami memerlukan lebih masa untuk membentuk mereka menjadi pasukan elit,” katanya.

Kumpulan B dianggotai Malaysia, Vietnam dan Laos. Kumpulan A pula menampilkan tuan rumah Thailand dan Timor-Leste, manakala Kumpulan C terdiri daripada juara bertahan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.

Juara setiap kumpulan serta naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir. - Bernama
 
Back
Top
Log in Register