PGA rekod rampasan lembu, kambing seludup RM4.8 juta sejak 2024
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
A view of the sea
ANTARA lembu seludup yang dirampas PGA. FOTO Ihsan PGA
Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan rampasan lembu dan kambing yang diseludup dari Thailand sebanyak 1,005 ekor sejak tahun lalu sehingga kini dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4.8 juta.
Jumlah itu membabitkan 530 ekor lembu dan 475 ekor kambing yang ditahan di kawasan sempadan Kelantan-Thailand di Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata modus operandi penyeludupan lembu dikesan masih menggunakan taktik sama.
"Lembu berkenaan akan dibawa menyeberangi Sungai Golok dengan cara mengheret lembu induk menggunakan bot, manakala lembu yang lain akan berenang bersama mengikut induk berkenaan.
"Jika Sungai Golok ketika itu cetek, mereka akan mengheret lembu berkenaan seperti biasa," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, harga lembu dari Thailand dipercayai lebih murah dengan kadar antara RM2,200 hingga RM3,200 bergantung kepada saiz dan berat.
"Faktor harga berkenaan yang mendorong penternak di sini dan negeri sekitar mengambil lembu dari Thailand.
"Malah, risikan kita mendapati penternak lembu tempatan sendiri disyaki antara yang menjadi dalang kepada kegiatan penyeludupan lembu berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, PGA sentiasa mengatur kawalan ketat sepanjang Sungai Golok untuk menghalang kemasukan lembu dan lain-lain barang yang menyalahi undang-undang.
Jelasnya, kelompongan dalam sistem perundangan berhubung akta dan enakmen berkaitan haiwan ternakan menyebabkan penyeludup tidak gerun sekiranya ditangkap oleh pihak berkuasa.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 70,000 lembu seludup direkodkan di empat negeri bersempadan Thailand, termasuk Kelantan, sepanjang tempoh tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, dilaporkan berkata jumlah berkenaan adalah tinggi sehingga menyebabkan penternak di negeri sempadan terjejas teruk.
Disiarkan pada: March 20, 2025 @ 10:18am