BTC USD 83,089.9 Gold USD 4,164.22
Time now: Jun 1, 12:00 AM

INT Cape Verde mara ke Piala Dunia 2026

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,994
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,994
Reaction score
290
Points
146
3308028.webp

Livramento ledak gol awal buat Cape Verde ketika menentang Eswatini. Foto: Agensi

CAPE Verde mencipta sejarah baharu dalam bola sepak dunia apabila layak ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Eswatini 3-0 di Estádio Nacional de Cabo Verde, pada Selasa.

Kemenangan itu mengesahkan skuad Blue Sharks sebagai juara Kumpulan D kelayakan zon Afrika sekali gus menyingkirkan pasukan pilihan, Cameroon, untuk menempah tempat ke temasya berprestij yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Dailon Livramento membuka jaringan sebaik babak kedua bersambung selepas menyambar bola muntah dalam kotak penalti, sebelum Willy Semedo menambah gol kedua menerusi voli menarik tidak lama kemudian.

Pertahanan berpengalaman Stopira memastikan kemenangan mutlak Cape Verde dengan jaringan ketiga pada masa kecederaan.

Sorakan gemuruh penonton di stadium menandakan detik bersejarah buat negara kepulauan kecil di Atlantik itu apabila ribuan penyokong membanjiri padang meraikan kejayaan pertama mereka mara ke Piala Dunia.

Cape Verde yang mempunyai populasi sekitar 525,000 orang, memperoleh kemerdekaan daripada Portugal pada 1975 dan mula menyertai kempen kelayakan sejak edisi 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

Negara itu turut mencipta nama di Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) apabila mara ke suku akhir pada penampilan sulung 2013 dan mengulangi pencapaian sama pada 2023.

Kemenangan 1-0 ke atas Cameroon bulan lalu menjadi titik penting dalam perjalanan mereka apabila keputusan itu melonjakkan Cape Verde ke tangga teratas kumpulan dan hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia.

Kini, Cape Verde muncul sebagai negara kedua terkecil di dunia yang layak ke Piala Dunia selepas Iceland pada edisi 2018 di Rusia, bukti nyata bahawa semangat dan kerja keras mampu membawa sebuah negara kecil ke pentas bola sepak terbesar dunia.
 

Dari Kepulauan Atlantik ke temasya Piala Dunia​

3309308.webp

Stopíra bersara daripada skuad Cape Verde pada Jun 2024, kembali bersama Blue Sharks pada September 2025 setelah pasukan berdepan masalah pertahanan dan kecederaan pemain.

DETIK jaringan Stopira pada minit ke-91 bukan sekadar memastikan kemenangan 3-0 ke atas Eswatini, tetapi mengubah sejarah Cape Verde selama-lamanya sebuah negara kecil di Atlantik kini sah melangkah ke Piala Dunia buat pertama kali.

Sorakan membingitkan udara di Stadium Nasional Praia, ribuan penyokong berpakaian biru, merah dan putih meraung kegembiraan, manakala pemain serta barisan kejurulatihan berpelukan di tepi padang.

Ada yang menitiskan air mata bukan kerana kemenangan semata-mata, tetapi kerana impian yang ditanam puluhan tahun akhirnya menjadi nyata.

Kejayaan bersejarah itu menjadi hadiah paling bermakna sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Cape Verde daripada Portugal.

“Memberi kegembiraan ini kepada rakyat amat besar ertinya. Ia detik istimewa ketika negara meraikan 50 tahun kemerdekaan,” kata pengendali Bubista.

Bagi rakyat Cape Verde, layak ke Piala Dunia adalah peristiwa paling besar sejak 5 Julai 1975.

Penyokong enggan beredar dari stadium walaupun perlawanan telah lama berakhir sebaliknya terus berpesta dengan bendera di tangan dan mengenakan baju khas bertulis 'Cape Verde ke Piala Dunia 2026'.

Pemain mengelilingi padang dalam pusingan penghormatan penuh air mata dengan antara yang paling terharu ialah pertahanan Steven Moreira, pemain kelahiran Perancis yang kini beraksi bersama Columbus Crew di Amerika Syarikat.

“Saya pernah menang di Eropah dan MLS, tapi bermain untuk negara ini lain rasanya. Kami seperti keluarga setiap kali menjaringkan gol, kami menari bersama,” katanya.

Presiden Jose Maria Neves turut menjadi sebahagian daripada pesta, mengibarkan sepanduk bertulis 'Cape Verde ke Piala Dunia' sebaik wisel penamat dibunyikan menyifatkan kejayaan itu seolah-olah mengulangi detik kemerdekaan negara.

Sementara itu, pengarah teknikal, Rui Costa yang baru dilantik Februari lalu selepas sedekad berkhidmat di England turut bangga dengan barisan pasukan yang digelar sebagai generasi emas bola sepak Cape Verde.

“Kami ada jurulatih hebat, pemain luar biasa. Masa depan Cape Verde amat cerah,” katanya.

Sambutan diteruskan di Estadio da Varzea, tempat bersejarah sambutan kemerdekaan pertama negara itu pada tahun 1975 dan gelanggang kelayakan pertama mereka pada tahun 2000.

Stadium sesak dengan penyokong yang menonton siaran langsung sebelum bertukar menjadi pentas konsert malam dengan persembahan artis tempatan dan diaspora, termasuk dua anggota kumpulan hip hop Belanda, Broederliefde, salah seorangnya abang kepada penjaring terbanyak Cape Verde, Dailon Livramento.

Di jalan-jalan sekitar ibu kota, lautan manusia berpesta dengan gendang dan bunyi hon yang bersahut-sahutan.

“Saya menjerit sampai hilang suara, tapi saya gembira,” kata Jose Vieira, antara penyokong bertuah di stadium.

Bagi pemandu teksi, Maximo Gomes, perasaannya jelas: “Ya, ini peristiwa terbesar selepas kemerdekaan. Presiden kata begitu dan seluruh rakyat merasakannya.”

Kemenangan bersejarah itu diraikan tepat 100 hari selepas ulang tahun ke-50 kemerdekaan Cape Verde dengan tumpuan seluruh negara menanti detik lebih manis di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat tahun depan dan mungkin berdepan bekas penjajah mereka, Portugal, yang dibarisi Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes.
 
Back
Top
Log in Register