BTC USD 60,958.7 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

Bursa Malaysia Dibuka Rendah​

5fcbdff5383a72322097a80f23fec1b56642e77568121


Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa apabila terdapat aktiviti pengambilan untung awal dalam persekitaran harga minyak mentah rendah berikutan petunjuk potensi ketegangan mereda antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI menurun 2.43 mata atau 0.14 peratus kepada 1,706.07 daripada 1,708.50 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.73 mata kepada 1,706.77.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 253 berbanding 158 manakala 305 kaunter tidak berubah, 1,971 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 187.76 juta saham bernilai RM130.35 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata niaga hadapan saham AS pada amnya tinggi berikutan kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa perjanjian AS-Iran hampir dicapai.

“Oleh yang demikian, harga minyak mentah menurun, dengan minyak mentah Brent kini diniagakan pada kira-kira US$96 setong.

“Bagi bursa tempatan, peniaga kebanyakannya tidak memasuki pasaran yang dapat dilihat daripada jumlah dagangan yang rendah, hanya melebihi paras tiga bilion saham.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI berada dalam julat 1,700 hingga 1,715 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM11.08 dan Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.76 manakala Tenaga Nasional menurun empat sen kepada RM14.42, CIMB berkurangan dua sen kepada RM7.71 dan IHH Healthcare merosot sembilan sen kepada RM8.87.

Bagi saham aktif, Zetrix AI naik dua sen kepada 82.5 sen, IFCA MSC meningkat satu sen kepada 27.5 sen dan Skychip menambah lima sen kepada RM2.97 manakala Genetec Technology berkurangan 1.5 sen kepada 28.5 sen dan Top Glove menurun dua sen kepada 77.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Greatech Technology meningkat 13 sen kepada RM2.87, Scicom naik 12 sen kepada RM1.76, Westports menambah 10 sen kepada RM6.17, ITMax System menokok sembilan sen kepada RM4.85 dan MI Technovation naik lapan sen kepada RM4.61.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle menurun RM1.40 kepada RM94.40, Malaysian Pacific Industries berkurangan 18 sen kepada RM47.82, Panasonic Manufacturing merosot 17 sen kepada RM7.08, Kelington, menyusut 14 sen kepada RM7.19 dan United U-LI menurun 11 sen kepada RM1.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 18.35 mata kepada 12,661.99, Indeks FBM Top 100 menurun 16.03 mata kepada 12,502.51, Indeks FBM Emas Shariah merosot 23.83 mata kepada 12,584.01, Indeks FBM Mid 70 menyusut 15.69 mata kepada 18,251.20 dan Indeks FBM ACE berkurangan 1.54 mata kepada 4,720.18.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.22 mata kepada 197.94 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 3.72 mata kepada 20,007.83, Indeks Tenaga menurun 2.29 mata kepada 783.63 dan Indeks Perladangan jatuh 6.82 mata kepada 8,519.45.

 
Back
Top
Log in Register