Faqih Ali al-Malbari – Ulama dan Panglima Patani
Ada pun ramai pengkaji sejarah ulama Patani yang dilahirkan pada akhir abad ke-16 Masihi ini. Bermula dengan ringkasan Ceritera Kelantan yang telah beberapa kali disalin tulis itu munculnya pandangan bahawa Faqih Ali al-Malbari itulah Andi Ali. Beliau dikatakan adalah seorang putera Raja Bugis dari Sulawesi yang merantau ke Patani. Seterusnya keturunan beliaulah yang menjadi Sultan Kelantan bermula sehingga sekarang.
Salah satu kajian bersumberkan Ringkasan Cetera Kelantan
Kisah yang memperkatakan bahawa Faqih Ali al-Malbari ini berketurunan Bugis ini didapati bercanggah dengan kisah dari Patani mahu dari jurai keturunan tertentu beliau sendiri di Kelantan. Banyak pihak menjadi buntu untuk mentahqiq keturunan masing-masing apabila tiba pada nama Faqih Ali al-Malbari atau pun Syeikh Faqih Ali al-Abasi. Mungkinkah terdapat rahsia besar kenapa keturunan Sultan Kelantan dikatakan berdarah Bugis?
Faqih Ali al-Malbari adalah seorang ulamak yang juga Panglima Agung Tentera Patani bergelar Datuk Temenggung Seri Paduka. Hal ini telah disahkan oleh Pengkaji Ulama Nusantara dari Khazanah Fathaniyyah, Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir di dalam tulisan serta pembentangan kajiannya dengan beberapa pihak berkaitan. Pengkajian Ustaz Wan Mohd Shaghir itu bertepatan dengan pengkajian penulis sendiri.
Nama sebenar beliau ialah Nik Ali, putera kepada Datuk Nik Mustaffa, seorang Raja Negeri Jambu di Patani. Datuk Nik Mustafa yang kemudiannya melepaskan jawatan sebagai Datu Jambu (Raja Jambu) kerana ingin meneruskan perjuangan sebagai Panglima Perang Champa menentang penjajahan Vietnam ke atas Champa. Setelah berhasil merebut kembali hampir keseluruhan wilayah Champa daripada Vietnam, beliau telah ditabalkan sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Penabalan Sultan Abdul Hamid Syah adalah kesinambungan perjuangan datuknya, Sultan Wan Abdullah yang berjuang mempertahankan kesucian agama dan penganutnya di Champa.
Jadi jelas di sini bahawa Faqih Ali al-Malbari adalah anak bumi Patani, yang mana beberapa tempat di sana telah diteroka dan dibuka oleh datuk nenek beliau, semenjak hampir dua ratus tahun sebelum kelahirannya lagi. Di Patani, Faqih Ali telah mempelajari ilmu agama dengan guru-guru agama tempatan. Setelah meningkat remaja, beliau telah dihantar mendalami ilmu agama di negeri Malabar di India. Apabila tamat pelajaran, beliau telah menumpang kapal dagang lalu singgah di Johor. Di sana beliau membantu pedagang serta penduduk sekitar Johor berulang alik ke Riau. Oleh kerana Faqih Ali cekap mengemudi tongkang di perairan, maka beliau dijoloki dengan gelaran Nakhoda Wangkang. Walaupun cekap menongkah golombang di lautan, sifat terpujinya masih terpelihara lantaran beliau sentiasa beramal dengan ilmu agama yang dipelajarinya. Atas keluhuran sifat itulah masyarakat Bugis di Johor memanggilnya sebagai Andi’ Ali.
Di Johor, Faqih Ali menumpang di rumah Datuk Laksaman Kota Tinggi, yang masih mempunyai pertalian kekeluargaan dari sebelah buyutnya. Datuk Laksamana pula mengahwinkan puterinya bernama Wan Tija. Perkawinan tersebut telah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri.
Pada kira-kira tahun 1640, Faqih Ali al-Malbari bersama anak isterinya pulang ke Patani. Di Patani beliau berkahwin pula dengan Che Dewi binti Dato’ Seri Biji DiRaja To’ Majid. Berita kepulangan Faqih Ali al-Malbari lama kelamaan sampai jua kepada pengetahuan Raja Kuning, Raja Patani (1635 – 1688). Beliau telah dilantik oleh Raja Kuning sebagai Panglima Agung Tentera Patani, setelah 8 tahun jawatan tersebut kosong semenjak kematian Datuk Seri Maharajalela Syeikh Faqih Ali bin Orang Kaya Seri Akar Wan Muhammad bin Syeikh Syafiyuddin al-Abbasi / Tok Raja Fiqih yang terbunuh semasa serangan Siam 1632, sewaktu pemerintahan Raja Ungu (1624 – 1635). Gelaran jawatan yang disandang itu ialah Datuk Temenggung Seri Paduka Nik Ali. Selain itu beliau juga dikenali sebagai Tok Koda Bonang oleh rakyat Patani.
Bagi merungkaikan sedikit perbezaan di antara Faqih Ali al-Malbari dan Syeikh Faqih Ali, penulis akan menyentuh sedikit tentang keturunan Tok Raja Fiqih yang mengIslamkan Raja Patani bernama Raja Antira (Indera) serta menukarkan nama baginda kepada Sultan Muhammad Syah. Datuk Maharajalela Syeikh Faqih Ali merupakan anak kepada Bendahara Raja Patani bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar DiRaja. Ini bermaksud bahawa Syeikh Faqih Ali juga adalah cucu kepada Syeikh Syafiyuddin al-Abbasi (Tok Raja Fiqih).
Kajian Keturunan Syeikh Faqih Ali pada tahun 1970-an
Kepulangan Faqih Ali al-Malbari pada tahun 1640 adalah untuk menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan setelah kematian Syeikh Faqih Ali.
Antara putera-putera Faqih Ali al-Malbari yang memikul tanggung jawab kerajaan Patani ialah Wan Ismail (Tok Kaya Pandak), Wan Yusuf (Tok Kaya Rakna DiRaja). Wan Ismail dan Wan Yusuf adalah putera dari bonda Wan Tija binti Datuk Laksamana Kota Tinggi. Manakala Wan Nik (Datuk Wan) pula telah dilantik sebagai Raja Jambu, jawatan yang pernah disandang oleh datuknya dahulu, Datuk Nik Mustaffa (Sultan Abdul Hamid Syah, Raja Champa). Wan Nik pula adalah putera dari bonda Che Dewi binti Dato’ Seri Biji DiRaja To’ Majid. Daripada keturunan Wan Nik pula kemudiannya lahirnya zuriat Kesultanan di Patani dan Kelantan.
Di sini jika diperhatikan dengan teliti bahawa amalan perlantikan raja-raja di negeri-negeri Melayu adalah dari pewaris keturunan yang sah. Disamping itu, hanya anak negeri sahaja yang diakan ditabalkan sebagai raja. Apatah lagi Patani dan Kelantan pula tiada hubungan dengan Bugis. Dakwaan Faqih Ali sebagai anak raja Bugis adalah sesuatu yang rapuh dan tiada asas sama sekali.
Wan Daim ialah cucu kepada Faqih Ali al-Malbari, juga merupakan anak kepada Datuk Wan (Wan Nik). Setelah kemangkatan ayahandanya, Wan Daim telah dilantik sebagai Datu Jambu serta ditabalkan sebagai Raja Jambu sebelum menjadi Raja Champa (1684 – 1692). Setelah berundur dari Champa setelah Champa jatuh ke tangan Vietnam, Wan Daim kemudian dilantik oleh Raja Patani sebagai penasihat dengan gelaran Datuk Pengkalan Tua. Dari keturunan Wan Daim lahirnya raja-raja Kelantan seperti Tuan Long Bahar, Sultan Long Sulaiman, Sultan Long Yunus dan Tuan Long Ghaffar sehinggalah Sultan Senik Mulut Merah. Di Patani pula, Raja Tuan Long Nuh sebelum ditabalkan sebagai Raja Patani, adalah merupakan Raja Jambu, adinda baginda, Tuan Long Man adalah Raja Jala manakala Tuan Long Deraman adalah Raja Legeh. Selain itu Tuan Sulong serta Tuan Besar Long Muhammad sehingglah Sultan Patani terakhir, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin adalah berketurunan Faqih Ali al-Malbari.
Golongan ulamak dari keturunan Faqih Ali al-Malbari sangatlah ramai. Menerusi puteranya, Wan Nik, lahirlah Tok Slehor ( Syeikh Abdul Rahman bin Utsman bin Senik), Tuan Guru Haji Abbas bin Haji Muhammad dan lain-lain. Daripada keturunan Wan Abu Bakar pula, muncullah nama seperti Syeikh Uthman al-Fathani bin Wan Derahman bin Wan Abu Bakar, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas bin Abdul Rahim bin Abdul Rahman, Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyong) bin Syeikh Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Kadhi) bin Syeikh Wan Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Yusuf (Tok Syeikh Janggut Putih) bin Wan Ahmad, Syeikh Wan Muhammad (Tok Nik Mat Kechik) bin Syeikh Wan Ismail (Syeikh Janggut Merah) bin Wan Ahmad, serta ramai lagi.
Jadi dari kajian penulis serta kajian-kajian mereka yang terdahulu banyak mendapati bahawa Faqih Ali al-Malbari adalah dari marga Sayyid Hussein Jamadil Kubro menerusi Sayyid Ali Nurul Alam. Keturunan mereka berada di Nusantara untuk berdakwah serta menjalani kehidupan sufi yang sederhana. Sebahagian dari mereka telah ditakdirkan menjadi raja atau sultan, tetapi mereka melaksanakan pemerintah itu sebagai satu ibadah serta amanah dari Allah SWT. Terdapat juga sebahagian dari mereka telah terfitnah dengan pelbagai helah dunia. Wallahu a’lam….