wokyoh fx
Super Active Member
- Messages
- 7,161
- Joined
- Aug 25, 2010
- Messages
- 7,161
- Reaction score
- 49
- Points
- 70
LONDON - Bekas penyerang Arsenal, Emmanuel Adebayor menjadi pemain paling malang ketika Tottenham Hotspur tewas 2-5 kepada skuad The Gunners pada aksi Liga Perdana England malam tadi.
Pada aksi di Stadium Emirates tersebut, Adebayor mengejutkan penyokong tuan rumah apabila meledakkan gol pertama, sekali gus meletakkan Spurs di depan seawal minit ke-10.
Bagaimanapun, lapan minit kemudian, penyerang Togo itu ditimpa malang apabila diarahkan keluar padang selepas dia mengkasari pemain tengah Arsenal, Santi Cazorla.
Situasi itu melonjakkan semangat para pemain Arsenal untuk mencipta kemenangan dan gol penyamaan skuad The Gunners hadir menerusi tandukan pemain pertahanan, Per Mertesacker pada minit ke-24.
Skuad bimbingan Arsene Wenger terus melancarkan serangan dan memperoleh dua lagi gol sebelum babak pertama berhenti rehat hasil jaringan penyerang, Per Mertesacker dan Olivier Giroud masing-masing pada minit ke-42 dan 46.
Cazorla menambah derita Spurs yang dibimbing Andre Villas-Boas apabila menyumbat gol keempat Arsenal pada minit ke-60 sebelum pemain tengah Wales, Gareth Bale merapatkan jurang pada minit ke-71.
Namun, pemain sayap England, Theo Walcott mengesahkan kemenangan Arsenal apabila menyumbat masuk gol kelima pada masa kecederaan.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Arsenal terutamanya dalam misi memintas kedudukan Tottenham, sekali gus menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik liga musim ini.
Selepas mengharungi 12 perlawanan liga musim ini, Arsenal berjaya mengumpul 19 mata, dua mata di depan Spurs.
Ini adalah kemenangan pertama Arsenal sepanjang empat perlawanan dalam semua pertandingan, sekali gus melonjak di tangga keenam liga.
Spurs pula terperosok di tangga kelapan liga selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut. - Agensi
