combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,195
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,195
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
40 Rumah Orang Asli Uzur Di DUN Machap Jaya Dicadang Dibaik Pulih
Kredit: FB - Ngwe Hee Sem
Sebanyak 40 rumah masyarakat Orang Asli yang uzur di tujuh kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dicadang untuk dibaik pulih menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri Melaka dengan anggaran kos keseluruhan RM800,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata permohonan bagi kerja baik pulih berkenaan dikemukakan secara berperingkat, termasuk fasa pertama dan kedua bagi membantu keluarga yang berdepan keadaan kediaman rosak dan memerlukan pembaikan.
“Usaha ini turut mendapat persetujuan kerajaan negeri untuk membolehkan peruntukan negeri digunakan bagi kerja baik pulih rumah masyarakat Orang Asli, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“JAKOA sememangnya mempunyai peruntukan, namun peruntukan itu terhad. Untuk tahun ini, mereka hanya dapat membina dua rumah baharu di DUN Machap Jaya manakala jumlah rumah yang dapat dibaik pulih juga tidak sampai lima,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di DUN Machap Jaya di sini hari ini.
Ngwe berkata kos baik pulih setiap rumah dianggarkan tidak melebihi RM20,000 manakala jumlah permohonan bagi 40 rumah berkenaan dianggarkan sekitar RM800,000.
Sementara itu, beliau berkata program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Machap Jaya memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila Ketua Menteri turun padang bagi meninjau permasalahan rakyat di setiap lokasi program.
“Ramai penduduk kampung gembira apabila Ketua Menteri melapangkan masa untuk turun menyantuni mereka di setiap lokasi dan beberapa masalah dapat diselesaikan apabila beliau turun sendiri,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu membolehkan kerajaan negeri melihat sendiri keperluan penduduk, selain memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk dalam aspek perumahan, pendidikan serta keperluan agensi dan komuniti setempat.