BTC USD 58,451.0 Gold USD 2,291.56
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ibadah Puasa

Manfaat Berpuasa

Dari segi Bahasa, perkataan Ramadan diambil dari kata akar ramada yang membawa maksud panas yang membakar. Kata Imam al-Qurtubi: Dinamakan Ramadan kerana ia seakan membakar dosa melalui amal-amal soleh. Ibadat puasa Ramadan membakar dosa-dosa. Rasulullah SAW dalam sabdanya menyebutkan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Dari segi kesihatan, apabila seseorang berpuasa dalam tempoh sekitar 12 hingga 13 jam sehari, tubuh badan seseorang memerlukan tenaga yang berterusan. Apabila berpuasa, badan akan kekurangan sumber tenaga dari glycogen yang telah digunakan dahulu. Oleh itu badan perlu membakar lemak sebagai sumber tenaga. Ini boleh menyebabkan berat badan turun.
Puasa dari segi kesihatan memberikan berbagai manfaat. Antaranya:

1. Merehatkan usus setelah bekerja terus menerus selama 11 bulan
2. Membantu membakar lemak dalam badan yang boleh menyebabkan berat badan turun.
3. Berpuasa boleh mengurangkan keradangan kronik di dalam badan.
4. Berpuasa berupaya menurunkan kolesterol LDL dan triglyceride dan menaikkan kolesterol HDL
5. Berpuasa boleh menurunkan kadar insulin resistance.
6. Ada kajian yang menunjukkan bahawa berpuasa menyebabkan sistem immune lebih mantap dan berupaya melawan sel-sel kanser.

 
Sponsored Post

Kesan berpuasa pada badan dan panduan ketika berbuka, sahur​

By Zubaidah IbrahimMarch 14, 2024

Dates-for-Fasting-768x512.jpg

KETIKA berbuka puasa, makan makanan ringkas terlebih dahulu iaitu makanan yang mudah dihadam, bukannya makan makanan berat yang akan membebankan sistem pencernaan.


SECARA ringkasnya, badan kita menukar makanan menjadi tenaga dan sebarang lebihan akan bertukar menjadi glikogen yang kemudiannya disimpan.

Proses ini dikawal insulin yang dihasilkan badan semasa kita makan. Lebih banyak kita makan, lebih banyak insulin yang terhasil dan semakin banyak tenaga disimpan.

Sebaliknya, ketika berpuasa, badan seseorang akan menggunakan dahulu tenaga daripada makanan terakhir yang dimakannya sebelum bertukar menjadi glikogen disimpan. Dengan berlalunya hari, badan akan memecahkan protein dan lemak yang tersimpan untuk tenaga.

Menurut Pakar Diet di Jabatan Pemakanan dan Dietetik IMU, Nur Adila Samingan, bagi melindungi diri, badan meningkatkan penghasilan hormon tumbesaran manusia untuk mengurangkan kehilangan otot.

IMU_ADILA-SAMINGAN_DIETITIAN-300x200.jpg

“Selain itu, berpuasa turut mengurangkan penghasilan tekanan oksidatif dan meningkatkan aktiviti enzim antioksidan.

“Oleh itu, ia mengurangkan proses keradangan yang dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih panjang dan sihat,” jelasnya.

Biarpun begitu, realitinya berpuasa sangat mencabar terutama kanak-kanak dan mualaf yang berpuasa untuk kali pertama.

Berpuasa bagi pesakit diabetes dan gastrik

“Bagi orang yang sudah biasa berpuasa selama bertahun-tahun, beberapa hari pertama juga sangat mencabar kerana badan menyesuaikan diri dengan jadual pemakanan yang berbeza.

“Sungguhpun begitu, badan kita cepat menyesuaikan diri, sama seperti ketika kita mula bersenam yang menyebabkan otot terasa sakit sebelum kita menjadi lebih kuat,” tuturnya.

Nur Adila turut menasihatkan agar pesakit diabetes, berbincang dengan doktor untuk mengetahui cara terbaik menguruskan pengambilan ubat dan makanan bagi mengelakkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Dalam kalangan pesakit diabetes, kencing yang kerap adalah petanda gula dalam darah yang tinggi, manakala peluh sejuk atau pening-pening merupakan gejala gula dalam darah yang rendah. Sekiranya rendah, pesakit dinasihatkan untuk segera berbuka puasa kerana dalam kes yang melampau, keadaan begitu boleh menyebabkan koma diabetik.

Tambah beliau, bagi pesakit gastrik pula perlulah mengelak daripada mengambil makanan yang boleh menjadi pencetus kepada keadaan itu seperti makanan tinggi lemak, pedas, berlada, jus sitrus, minuman bergas dan kafein.
Jadi, sebaiknya rujuklah doktor anda sebelum mengambil sesetengah makanan.

Pertama kali berpuasa

Bagi membantu memudahkan anak-anak berpuasa, Nur Adila menyarankan ibu bapa supaya memperkenalkan puasa secara beransur-ansur sebelum mereka mencapai usia dewasa.
“Ibu bapa boleh memulakan untuk anak-anak berpuasa setengah hari atau berpuasa makan tetapi membenarkan minum.

“Pastikan anda meraikan pencapaian mereka supaya anak-anak terus bermotivasi.
“Bagi golongan mualaf pula, anda boleh berlatih berpuasa sunat sebelum Ramadan untuk menguatkan diri berpuasa menahan lapar dan dahaga selama sebulan di bulan Ramadan,” ujarnya.

Pengambilan makanan baik dan bertenaga

Adalah penting untuk menguruskan pengambilan makanan dengan baik pada bulan Ramadan bagi memastikan nutrien dan tenaga mencukupi ketika berpuasa sepanjang hari.

Sebagai contoh, pilihan baik untuk sahur termasuklah:
  • Makanan tinggi serat dan karbohidrat kompleks seperti nasi dari beras basmati, bijirin gandum penuh dan oat yang direndam semalaman.
  • Lemak sihat seperti kekacang, bijian dan minyak yang baik.
  • Protein seperti telur, daging tanpa lemak, lentil, legum, susu dan yogurt.
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai, timun dan nanas.
Terang Nur Adila, makanan seperti ini, terutamanya yang berserat tinggi dan kaya dengan protein, mengambil masa lebih lama untuk dicernakan.

Oleh itu, anda akan berasa kenyang lebih lama dan ini akan memberikan anda tenaga berterusan, sementara buah-buahan membantu penghidratan.

Beliau turut menasihati supaya mengambil makanan dan minuman berikut secara minimum:
  • Minuman berkafein seperti teh dan kopi yang menyumbang kepada dehidrasi.
  • Makanan yang tinggi kandungan sodium kerana ia akan menyebabkan rasa dahaga.
  • Makanan bergula tinggi yang menyebabkan peningkatan mendadak gula dalam darah dan diikuti dengan merosotnya tenaga rendah.
Ketika berbuka puasa, beliau menyarankan supaya makan makanan ringkas terlebih dahulu iaitu makanan yang mudah dihadam, bukannya banyak makan makanan berat yang akan membebankan sistem pencernaan.
Pilihan terbaik adalah air, kurma dan makanan ringan seperti agar-agar, puding dan buah-buahan yang menghidratkan badan atau bubur lambuk.

Kesimpulannya, Nur Adila menganjurkan hidangan lengkap dengan adanya protein, bijirin, buah-buahan, sayur dan lemak sihat yang mencukupi untuk memberi nutrien penting kepada tubuh badan. – RELEVAN

 
IMG_20240318_105252_807.jpg


SALAM RAMADAN

Selamat berpuasa kepada para muslimin yang berpuasa.
Hari ini admin nak berkongsi sedikit rawatan-rawatan yang tidak membatalkan puasa. Jadi jangan ada yang ragu-ragu lagi ya.

Sumber : Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (HR Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh).

2. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).

3. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan.

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan” (Surah Az Zariyat ayat: 18)

4. Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.

Rebutlah peluang waktu istimewa ini dengan solat sunat seperti tahajud dan berdoa serta memohon keampunan daripada dosa.

Jadikan ibadat Ramadan kali ini menyuburkan amalan kita bagi membangunkan jiwa taqwa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

20hb Mac 2024
09hb Ramadan 1445H
 
IMG_20240320_141000_330.jpg


Syafaat Daripada Puasa Dan Al-Quran

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat.

Puasa berkata: “Wahai Rab!, Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya.

Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya.

Kemudian, keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya). Kemudian, keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya).

HR Ahmad (6226) dan al-Thabarani (88)

Sumber: JAKIM
 
Mahu bersahur atau tidak?

Ada orang telah siap makan sebelum tidur malam dengan beranggapan dia telah bersahur. Adakah benar fahaman dan amalan sebahagian orang ini? Apakah hikmat dan rahsia Rasulullah sangat menggalakkan dan menghukumnya sebagai sunat muakkad bagi yang bangun bersahur apabila mahu berpuasa.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa waktu bersahur bermula pada tengah malam. Imam al-Nawawi menyebutkan, waktu bersahur adalah di antara tengah malam dan terbitnya fajar. Terdapat ulama yang berpendapat masuknya waktu sahur adalah pada seperenam akhir malam. Maksud sahur itu tercapai dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air.

1. Bersahur adalah sunnah yang paling besar dan tidak ditinggalkan oleh Rasulullah. Bersahur juga adalah bertujuan untuk mmembezakan antara puasa kita dengan penganut agama lain.. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Nabi SAW bersabda :

إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya :” Pemisah (perbezaan) di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah bersahur.”
Riwayat Abu Daud (2343)

2. Sangat rugi jika kita tidak bersahur kerana di dalamnya ada keberkatan. Rasulullah memerintahkan agar jangan meninggalkan sahur. Ini terbukti melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya :” Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”

3. Rasulullah melewatkan bersahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

(maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Tidak digalakkan untuk bersahur awal, sebaliknya disunnahkan melewatkannya. Kata Zaid bin Thabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ»، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ " قَالَ: «قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

4. Seseorang itu masih boleh untuk makan sebelum azan subuh berkumandang. Ini merujuk kepada firman Allah :

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

(maksudnya): "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam" (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.

5. Rasulullah akan memakan kurma Ketika bersahur Kurma mengandungi banyak khasiat.
Kurma merupakan pilihan makanan yang tepat untuk sahur. Buah ini mengandung kalori, serat, dan karbohidrat yang cukup untuk memberikan tenaga pada tubuh. Kita akan merasa kenyang lebih lama saat mengambilnya kerana kurma termasuk sumber karbohidrat kompleks

Kesimpulannya, sangat rugi sekiranya seseorang itu mengambil ringan untuk meninggalkan bersahur sama ada puasa sunat apatah lagi puasa fardu bulan Ramadan.

 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sahur Dengan Kurma Kering

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW baginda bersabda: Sebaik-baik (makanan) ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Sunan Abi Daud No: 2345) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bersahur adalah sunnah Rasulullah SAW.

2. Sebaik-baik makanan untuk bersahur adalah kurma kering

3. Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad mensyarahkan hadis ini menyebut: “Pada hadis ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri. Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, "Rumah yang tiada tamar padanya, maka akan lapar penghuninya", kerana tamar merupakan makanan asasi yang utama di sisi mereka. Hal ini menunjukkan bahawa bersahur dengan tamar itu dipuji, kerana perkataan ni'ma (نِعْمَ) ini menunjukkan sighah pujian sebagaimana yang diketahui. (Syarh Sunan Abi Daud, oleh Syeikh Abd al-Muhsin al-'Abbad, 8/255)

4. Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% gula dalam kurma berbentuk glukosa, sedangkan 45% lagi membentuk fruktosa.

5. Glukosa dalam kurma akan cepat berubah menjadi fruktosa, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga. Khususnya jaringan yang perlu tinggi energi, seperti: sel-sel otak, sel-sel saraf, sel-sel darah merah dan sel-sel tulang belakang.

6. Selain glukosa, kurma juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa.

At-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dari Uqbah bin Amir RA

أن النبي صلى الله عليه وسلم أخذ حفنة من تمر، فقال: نعم سحورٌ للمسلم

Bahawa Nabi SAW pernah mengambil segenggam kurma, kemudian bersabda, “Ini sebaik-baik hidangan sahur orang Muslim.” (Mu’jam al-Kabir, 17/282).

Jika kita memiliki kurma, selain mengambil nasi bersama ikan dan sayur di waktu sahur, elok juga makan sedikit kurma kering.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: "Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini, "lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: "Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepat berbuka." (Musnad Ahmad No: 20996) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa.

2. Antara amalan yang perlu dicontohi ketika berpuasa ialah segera berbuka apabila masuk waktu berbuka.

3. Melewatkan bersahur juga merupakan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya.

4. Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA dari Zaid bin Tsabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

"Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah", Anas berkata kepada Zaid: "berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?" Zaid menjawab: "sekitar bacaan al-Quran 50 ayat" (HR Bukhari No: 550) Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis ini, jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh) yang juga disebut waktu imsak (atas dasar berhati-hati).

Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

Semoga kita dapat mengikuti sunah Nabi SAW dengan bersegera berbuka apabila masuk waktu dan melewatkan sahur.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

22hb Mac 2024
11hb Ramadan 1445H
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register