TT
CG Super Hardcore Club




- Messages
- 166,137
- Joined
- Jan 13, 2009
- Messages
- 166,137
- Reaction score
- 22,840
- Points
- 1,831
- Awards
- 1

MUHAMMAD Fuad Abu Zarim memperkatakan sesuatu kepada Sharifah Erna Berson ketika membuat kunjungan ke atas keluarga Zakia di Kampung Popokan, Tinulihan, Tuaran, Sabah, semalam. Turut kelihatan ibu Zakia, Juna Gumbur (kanan). - BERNAMA
TUARAN 11 Okt. - Jumlah tuntutan wang tebusan yang tidak menentu merupakan faktor rundingan membebaskan Konstabel Zakia Aliep, 26, yang dipercayai diculik kumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lalu, memakan masa yang lama.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim mendedahkan, setakat ini pihak penculik meminta wang tebusan berjumlah kira-kira RM3 juta untuk membebaskan Zakia.
Namun menurut beliau, pihaknya masih dalam proses rundingan hingga membolehkan Zakia dibebaskan tanpa membayar sebarang wang tebusan.
"Mereka ada memberi tempoh untuk membayar wang tersebut sebagai contoh 10 hari. Apabila tempoh itu tamat dan kita cuba berunding harga yang mereka tetapkan, mereka bertindak menaikkan jumlah itu.
"Paling tinggi mereka pernah minta RM10 juta. Apa yang boleh saya beritahu, harga yang mereka tetapkan keterlaluan serta tidak konsisten, sekejap turun, sekejap naik dan selepas itu turun semula," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Zakia termasuk isterinya, Sharifah Erna Berson, 22 di Kampung Popokon Tinulihan, di sini hari ini.
Yang hadir sama, isteri Mohammad Fuad, Datin Normah Mohd. Shah; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander Polis Marin, Datuk Abdul Aziz Yusof.
Pada lawatan kebajikan itu, Normah menyampaikan sumbangan wang tunai serta barang keperluan kepada Sharifah Erna dan keluarga yang diharap dapat membantu meringankan beban sepanjang ketiadaan Zakia.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, setakat ini Zakia telah membuat 82 panggilan telefon kepada isterinya untuk bertanya khabar selain memaklumkan dia berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Kata beliau, Zakia juga memaklumkan kepada isterinya bahawa dia tidak tahu di mana lokasinya namun polis percaya suami kepada Sharifah Erna itu berada di pedalaman selatan Filipina.
"Penculik akan berpindah randah bagi mengelak dicekup pihak berkuasa Filipina. Kita percaya Zakia disembunyikan di kawasan hutan di pedalaman selatan negara itu," katanya.
Selain usaha membebaskan Zakia, Muhammad Fuad menegaskan, pihaknya komited untuk membantu membebaskan seorang lagi pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Sapang, Kunak Chan Sai Chiun, 32 yang diculik pada 16 Jun lalu.
Ditanya sama ada Zakia dan Sai Chiun ditempatkan di lokasi sama, beliau bagaimanapun berkata kedua-dua mereka disembunyikan di dua lokasi berlainan.
Sementara itu, Sharifah Erna berharap suaminya segera dibebaskan.
Jelas Sharifah Erna, harapan masih disandarkan dirinya dan keluarga untuk melihat Zakia dibebaskan dengan cepat dan selamat.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Jenayah...n-punca-Zakia-lambat-dibebaskan#ixzz3FrdNtorG
© Utusan Melayu (M) Bhd