BTC USD 63,090.0 Gold USD 2,381.54
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Covid-19 UPDATE Perkembangan COVID-19 Wuhan (Luar Negara)

COVID-19: Sepanyol negara EU pertama rekod sejuta kes

MADRID: Sepanyol muncul negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang pertama merekodkan sejuta kes COVID-19, menurut data rasmi, semalam.

Kementerian Kesihatan mengumumkan, negara ini mencatat 16,973 jangkitan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlahnya mencecah 1,005,295 selepas kes pertama dikesan pada 31 Januari di pulau terpencil, La Gomera di Kepulauan Canary.

Daripada jumlah itu, 34,366 pesakit telah meninggal dunia, termasuk 156 kematian baharu.

Sepanyol yang memiliki kira-kira 47 juta penduduk, adalah negara keenam di dunia melepasi angka mengerikan itu selepas Amerika Syarikat (AS), India, Brazil, Russia dan Argentina, menurut penjumlahan AFP berdasarkan data rasmi.

Bagaimanapun, angka korban dalam gelombang baharu wabak itu menurun berbanding akhir Mac dan April lalu yang mencatatkan lebih 800 kematian sehari.

Namun Menteri Kesihatan, Salvador Illa, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah baharu bagi membendung penularan wabak itu, termasuk perintah berkurung pada waktu malam seperti yang dilaksanakan di Perancis dan Belgium, baru-baru ini.

Ia berikutan amaran petugas kesihatan berhubung keupayaan hospital untuk terus menampung lonjakan kes COVID-19.

"Kita sedang berdepan waktu mendatang yang sangat mencabar.

"Musim sejuk menjelang tiba, gelombang kedua bukan lagi satu ancaman, ia adalah satu hakikat di seluruh Eropah," katanya pada sidang media, kelmarin.

Beliau sekali gus menegaskan, kerajaan 'terbuka kepada segala langkah' bagi mengekang virus itu. - AFP
 
Sponsored Post

Kes COVID-19 Korea Selatan meningkat di hospital, rumah jagaan

SEOUL: Korea Selatan mencatat peningkatan kes COVID-19 tertinggi dalam tempoh 40 hari dengan kebanyakan jangkitan dilaporkan di hospital dan pusat jagaan.

Di sebuah rumah jagaan di Namyangju, timur Seoul, penghuni terpaksa diasingkan selepas lebih 30 pekerja dan penghuni pusat itu disahkan positif.

Kira-kira 120 jangkitan dikaitkan dengan sebuah hospital di Gwangju yang berdekatan dengan pusat jagaan berkenaan.

Sebanyak 155 kes baharu diumumkan hari ini oleh Badan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Korea menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara itu meningkat kepada 25,698 kes serta 455 kematian.

Agensi itu memberitahu sebanyak 138 kes baharu membabitkan jangkitan tempatan, kebanyakannya dilaporkan dari kawasan ibu kota, negara itu.

Sekurang-kurangnya 17 kes baharu berkaitan dengan jangkitan luar termasuk penumpang yang datang dari Perancis, Kuwait, Nepal, Bangladesh dan Jepun.

Penyebaran virus itu sudah berlarutan beberapa bulan, kini menimbulkan kebimbangan baharu selepas negara itu mula melonggarkan sekatan jarak sosialnya minggu lalu dalam usaha merancakkan ekonomi yang semakin lemah.

Perniagaan berisiko tinggi seperti kelab malam dan bar karaoke telah dibuka semula sementara peminat kembali ke gelanggang sukan profesional. - AGENSI
 
India buka semula sempadan di sebalik ancaman COVID-19

NEW DELHI: India membuka semula pintu sempadannya kepada pelawat antarabangsa dalam usaha merancakkan ekonomi yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Walaupun negara di Asia Selatan itu merekodkan kes kedua tertinggi virus itu di dunia, ekonomi yang merudum teruk memaksa keputusan itu dibuat.

Justeru, Perdana Menteri India, Narendra Modi, memutuskan pembukaan semula sektor ekonomi berikutan penurunan kes baharu COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pintu sempadan hanya dibuka kepada warga asing bagi urusan perniagaan, manakala sektor pelancongan masih ditutup.

Kerajaan turut memaklumkan kesemua visa sedia ada kecuali elektronik, pelancong dan perubatan, akan dibuka semula dalam tempoh terdekat.

Individu yang visa mereka sudah tamat tempoh boleh membuat permohonan semula manakala warga asing yang ingin ke India bagi tujuan perniagaan, persidangan, kerja, pengajian atau sebab perubatan akan turut dibenarkan membuat permohonan.

Kementerian Dalam Negeri, dalam satu kenyataan semalam, berkata pengembara dari luar negara boleh menggunakan perkhidmatan penerbangan komersial selain penerbangan melalui program penghantaran kerajaan atau pesawat persendirian.

Selain itu, pengangkutan laut menggunakan kapal turut dibenarkan, bagaimanapun pengembara yang masuk ke India perlu mematuhi sepenuhnya semua garis panduan termasuk memenuhi syarat kuarantin.

Keputusan yang mengejutkan itu dibuat selepas angka kes harian di India menurun kepada 55,000 orang berbanding hampir 100,000 kes pada bulan lalu.

Kumpulan saintis panel kerajaan berkata, pada minggu ini kes baharu pandemik itu dijangka kembali meningkat dan ia hanya dapat dikawal pada Februari tahun depan.

Bagaimanapun, pengkritik mengaitkan penurunan terbabit dengan penurunan kadar saringan berikutan wabak itu sudah merebak secara meluas di kawasan pedalaman.

Selain India, negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, yang merekodkan lonjakan kes COVID-19, turut mempertimbangkan untuk membuka semula pintu sempadannya, kata Menteri Luar, Retno Marsudi, dalam sesi taklimat semalam. - AGENSI
 
COVID-19: Virus menular lebih pantas berbanding berbanding sebelumnya

PARIS: Virus COVID-19 menular lebih cepat daripada ketika wabak awalnya pada musim bunga, kata penasihat ilmiah kerajaan Perancis, Arnaud Fontanet, dalam salah satu amaran paling keras mengenai skala kebangkitan penyakit yang melanda Eropah.

"Virus ini beredar dengan lebih cepat... Kebangkitan pandemik bermula pada bulan Ogos," kata Fontanet, seorang ahli epidemiologi, kepada BFM TV, menambah bahawa memerangi penyakit itu akan menjadi "maraton".

Beliau bercakap sehari selepas Perancis melaporkan 41,622 kes harian jangkitan COVID-19, menjadikan negara itu semakin menghampiri angka sejuta kes, apabila kini sudah merekodkan 999,043 kes.

Perancis dijangka melepasi paras sejuta kes hari ini, menjadi negara Eropah Barat kedua yang mencatatnya selepas Sepanyol.

Seperti banyak negara Eropah lain yang menghadapi peningkatan jumlah kes sejak awal September, Perancis telah meningkatkan sekatan untuk membendung penyakit ini.

Semalam, ia mengumumkan perluasan perintah sekatan, yang awalnya dikenakan terhadap sembilan bandar termasuk Paris, kepada lebih dari dua pertiga daripada jumlah penduduknya.

Fontanet berkata, pihak berkuasa Perancis telah berjaya mengendalikan virus terbabit pada akhir Jun, sambil menambah bahawa angka kemasukan ke hospital yang masih rendah sehingga akhir Ogos telah memberikan rasa kelegaan yang salah, walaupun kes sudah meningkat pada masa itu.

"Selepas itu, ada satu minggu yang sejuk pada bulan September dan semua petunjuk sekali lagi menuju ke arah salah ke seluruh Eropah.

"Virus ini menular dengan lebih baik pada waktu sejuk kerana kita tinggal lebih banyak di dalam rumah," katanya.

Selepas mencapai puncak dengan 32,292 kes pada 14 April, ketika Perancis berada di tengah-tengah salah satu penutupan paling ketat Eropah, jumlah kemasukan ke hospital akibat COVID-19 jatuh ke paras terendah, iaitu 4,530 pada 29 Ogos.

Selepas meningkat melebihi 700 kes sehari dalam empat hari terakhir, jumlahnya kini berada pada 14,032, tahap yang tidak pernah dilihat sejak awal bulan Jun.

"Hospital dan kakitangan perubatan akan berada dalam situasi yang sudah mereka ketahui," kata Fontanet, merujuk pada akhir Mac hingga awal April, ketika sistem hospital berada di ambang kehancuran.

"Kami memiliki banyak alat untuk melindungi diri dari virus tetapi kami menghadapi masa yang sulit," tambahnya, bersetuju dengan Perdana Menteri, Jean Castex, yang meramalkan "November yang sukar" ketika memperincikan langkah-langkah sekatan yang baharu.

Seperti pakar perubatan lain, Fontanet mengatakan memerlukan masa sekitar dua minggu untuk tindakan membendung memberi kesan. - AGENSI
 
COVID-19: 46 juta penduduk Perancis dikenakan perintah berkurung waktu malam

AMMAN: Kerajaan Perancis mengenakan perintah berkurung waktu malam ke atas dua per tiga daripada jumlah penduduk negara itu membabitkan 46 juta orang, selama enam minggu bermula semalam.

Langkah itu diambil selepas negara terbabit merekodkan 41,622 kes baharu COVID-19 dalam tempoh sehari.

Agensi Berita Jordan (Petra) melaporkan, penularan wabak itu di Perancis sudah melepasi jumlah sejuta jangkitan.

Menurut laporan itu, perintah berkurung waktu malam telah dikuatkuasakan di Paris dan lapan bandar lain di negara itu, minggu lalu.

Kini, sebanyak 38 lagi kawasan menjalani perintah berkurung dari jam 9 malam hingga 6 pagi.

Kebanyakan negara Eropah sedang mengalami lonjakan kes COVID-19. - BERNAMA
 
Hemisfera utara berdepan saat genting - WHO

GENEVA: Hemisfera utara kini berdepan saat genting dalam memerangi COVID-19 yang menyaksikan terlalu banyak negara mencatat lonjakan kes, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menekankan beberapa bulan mendatang akan sangat mencabar, dengan sebilangan negara berada dalam landasan berbahaya.

"Terlalu banyak negara sedang mengalami lonjakan kes COVID-19 yang menyebabkan hospital serta unit rawatan rapi (ICU) sudah menghampiri ataupun melebihi kapasiti - dan sekarang baru Oktober.

"Justeru, kami menggesa pemimpin supaya mengambil tindakan segera untuk mencegah lebih banyak lagi kematian," katanya pada sidang media maya.

Wabak itu telahpun menjangkiti hampir 42 juta orang dan meragut sekurang-kurang 1.1 juta nyawa sejak ia tercetus di China pada Disember tahun lalu, menurut penjumlahan oleh AFP berdasarkan sumber rasmi.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, pula menegaskan keadaan adalah 'sangat membimbangkan' di Eropah yang mencatat lebih separuh daripada jumlah kes baharu seluruh dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

"Kita bukan saja melihat peningkatan kes di banyak bandar seluruh Eropah, malah ICU bakal mencecah kapasiti dalam beberapa minggu mendatang," katanya. - AFP
 
Indonesia khuatir amalan balik kampung naikkan jangkitan COVID-19

JAKARTA: Indonesia khuatir akan berlaku peningkatan kes COVID-19 berikutan cuti panjang hujung minggu ini sempena sambutan Maulidur Rasul yang lazimnya menyaksikan majoriti penduduknya melancong atau pulang ke kampung.

Indonesia menyaksikan cuti panjang selama lima hari yang diputuskan kerajaan bermula Rabu ini hingga 1 November depan.

Susulan kebimbangan itu, kerajaan mewujudkan pusat pemeriksaan di beberapa kawasan sempadan untuk menyaring penduduk yang melancong dengan kereta persendirian.

Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi, menjangkakan Rabu ini akan menyaksikan penghijrahan besar-besaran susulan bermulanya cuti dan pihaknya meminta orang ramai mengelakkan keluar pada hari terbabit jika tidak perlu.

Katanya, Pasukan Petugas Mitigasi COVID-19 turut meminta semua pengendali pelancong untuk mengehadkan hanya 50 peratus saja kapasiti kemasukan di semua pusat pelancongan bagi membolehkan penjarakan fizikal dipatuhi.

"Orang ramai juga diminta untuk mengurangkan perhimpunan dalam kalangan keluarga atau mengadakan majlis keraian bagi mengelakkan kewujudan kluster baharu," katanya.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengarahkan pihak berkuasa mengambil langkah menangani peningkatan kes COVID-19 sepanjang musim cuti panjang khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Widodo, melalui mesyuarat Kabinet Isnin lalu, berharap peningkatan ketara kes COVID-19 ketika musim cuti pada Ogos lalu tidak berulang kali ini.

"Kita sudah pernah berdepan pengalaman ini di mana cuti panjang pada akhir Ogos lalu menyebabkan kes COVID-19 melonjak tinggi," katanya.

Malah, Pengerusi Perhimpunan Penasihat Rakyat Indonesia, Bambang Soesatyo, ini turut meminta kerajaan dan Pasukan Petugas Mitigasi COVID-19 bertindak lebih awal mencegah peningkatan kes pandemik itu sepanjang musim cuti ini.

"Kerajaan juga harus mendesak ketua pentadbiran di wilayah dan pengendali pusat pelancongan untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Sebelum ini, kerajaan sudah mengeluarkan nasihat supaya penduduk yang berada di zon merah kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, " katanya.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan kes COVID-19 di negara itu meningkat 4,070 kes termasuk 128 kematian.

Berdasarkan statistik terkini, Indonesia mencatatkan 385,980 kes jangkitan COVID-19 termasuk 13,205 kematian dan kekal sebagai negara paling terjejas akibat virus itu di Asia Tenggara. - AGENSI
 
WHO rekod peningkatan kes COVID-19 tiga hari berturut-turut

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad merekodkan peningkatan kes baharu yang tinggi dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Sebanyak 465,319 kes disahkan kepada agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada Sabtu, melebihi 449,720 kes yang dicatatkan pada Jumaat dan 437,247 kes (Khamis).

Berikutan itu, WHO mengeluarkan amaran bahawa beberapa negara berada di 'landasan berbahaya' apabila peningkatan kes berlaku dengan cepat.

Dalam setiap minggu, pola kes yang dilaporkan kepada WHO cenderung melonjak pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, manakala menurun sekitar Selasa dan Rabu.

Berdasarkan perangkaan WHO, terdapat lebih 42.3 juta kes penyakit pernafasan yang disahkan, sementara hampir 1.15 juta orang kehilangan nyawa, termasuk 6,570 pada Sabtu.

Hampir separuh kes baharu pada Sabtu di wilayah Eropah WHO, mencatat rekod tertinggi harian iaitu 221,898 kes.

Secara keseluruhan, lebih sembilan juta kes kini telah didaftarkan di wilayah itu.

Kami berada di titik kritikal dalam pandemik ini, terutama di hemisfera utara," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media pada Jumaat.

"Beberapa bulan akan datang akan menjadi sangat sukar dan beberapa negara berada di landasan berbahaya.

"Terlalu banyak negara menyaksikan peningkatan kes dan menyebabkan hospital dan ICU (unit rawatan intensif) berjalan hampir atau di atas kapasiti." - AFP
 
WHO beri amaran 'nasionalisme vaksin' berlaku

BERLIN: Pemimpin Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menuntut solidariti global bagi menghadapi sebarang kemungkinan terhadap pengagihan vaksin COVID-19 ketika peningkatan kes terus berlaku di seluruh dunia.

Dalam ucapan menerusi video ketika pembukaan Sidang Kemuncak Kesihatan Dunia di Berlin, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata satu-satunya cara untuk bangkit daripada pandemik itu adalah bersatu dan bersama memastikan negara miskin memperoleh akses vaksin dengan seimbang.

"Adalah perkara biasa apabila negara mahu melindungi rakyat mereka terlebih dahulu tetapi jika dan bila kita mempunyai vaksin yang efektif, kita mesti menggunakannya secara efektif. Cara terbaik adalah untuk memberikan vaksin untuk sebilangan rakyat di seluruh dunia, berbanding semua rakyat di sebuah negara.

"Saya ingin jelaskan, nasionalisme vaksin mungkin akan memanjangkan pandemik ini, bukannya memendekkan hayatnya," katanya.

Saintis di seluruh dunia ketika ini berlumba untuk menghasilkan vaksin menentang COVID-19, yang sudah membunuh lebih 1.1 juta penduduk dunia.

Puluhan calon vaksin kini sedang diuji dalam ujian klinikal, dengan 10 daripadanya sudah memasuki 'fasa ketiga' membabitkan lebih 10,000 sukarelawan.

Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS), Britain, Jepun dan beberapa negara lain sudah menempah vaksin dengan syarikat yang terbabit dalam penghasilan vaksin yang paling mempunyai peluang cerah.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap negara miskin dilihat akan terbelakang bagi mendapatkan vaksin itu.

WHO sebelum ini melancarkan skim antarabangsa yang dikenali sebagai COVAX yang akan membantu negara mendapatkan vaksin itu namun gagal mendapatkan dana.

Sementara itu, WHO melaporkan, rekod baharu jangkitan dicatat dalam tempoh tiga hari berturut-turut di seluruh dunia dan menyeru negara-negara mengambil tindakan segera untuk mencegah penularan wabak itu.

Agensi itu melaporkan sebanyak 465, 319 kes dilaporkan pada Sabtu dengan separuhnya daripadanya berlaku di Eropah.

"Ini adalah saat yang bahaya untuk banyak negara di hemisfera utara selepas kes meningkat naik," kata Tedros. - AFP
 
COVID-19: Perancis catat lebih 50,000 kes dalam 24 jam

BEIJING: Perancis mencatatkan 52,010 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam, laporan harian terkini selepas mencatat 45,422 kes pada Sabtu, menurut Badan Kesihatan Awam pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Sejak pandemik bermula, Perancis setakat ini mempunyai kes terkumpul 1,138,507.

Sejumlah 116 pesakit lagi meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian kepada 34,761.

Turki pula mengesahkan 2,017 pesakit baharu pada Ahad, meningkatkan jumlah yang didiagnosis kepada 361,801.

Sementara itu, 72 orang maut dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian kepada 9,799, kata Kementerian Kesihatan Turki.

Di London, 19,790 di Britain diuji positif COVID-19, menjadikan jumlah kes di negara ini meningkat kepada 873,800, menurut angka rasmi dikeluarkan pada Ahad.

Menurut data berkenaan, kematian berkaitan dengan virus itu di Britain meningkat 151 kepada 44,896.

Di Budapest, Hungary mencatatkan 3,149 kes baharu juga pada Ahad, menurut laman web maklumat COVID-19 kerajaan.

Angka dari laman web itu menunjukkan jumlah kes yang disahkan sejak kemunculan COVID-19 di Hungary berjumlah 59,247, dengan 16,242 pemulihan dan 1,425 kematian. Ketika ini, 2,449 pesakit sedang dirawat di hospital, termasuk 221 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur Barat Laut China telah mengenal pasti 137 kes baharu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Semua kes baharu dilaporkan di Wilayah Kashgar selatan Xinjiang selepas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari perkampungan Shufu di wilayah itu disahkan sebagai pembawa virus tanpa gejala ketika ujian rutin asid nukleik pada Sabtu.

Di Hanoi, Vietnam mencatat lapan lagi kes baharu menjadikan jumlah kes disahkan kepada 1,168 dengan 35 kematian akibat jangkitan ini, menurut Kementerian Kesihatan.

Kes terbaharu, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia setahun, semuanya warga Vietnam yang baru pulang dari luar negara dan dikuarantin sejurus ketibaan, kata kementerian itu. – BERNAMA
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register