Covid-19 UPDATE Perkembangan COVID-19 Wuhan (Luar Negara)

CG Sponsors




Sponsored Post

InstaForexRebat

CG Hardcore Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
50,935
Reaction score
4,385
Points
601
COVID-19: Indonesia catat 5,444 kes baharu, kes harian tertinggi

JAKARTA: Indonesia mencatatkan 5,444 kes baharu COVID-19, pada Jumaat, sekali gus merekodkan jumlah kes harian tertinggi di negara itu setakat ini.

Pasukan petugas COVID-19 nasional yang mengesahkan perkara itu berkata, kes kematian kumulatif pula kini melepasi 15,000.

Peningkatan kes itu direkodkan dua minggu selepas cuti panjang di Indonesia pada akhir Oktober lalu di mana ribuan penduduk republik berkenaan mengambil peluang bercuti dan pulang ke kampung.

Jumaat adalah kali pertama kes harian COVID-19 melepasi angka 5,000 dengan rekod tertinggi sebelum ini dilaporkan pada 8 Oktober membabitkan 4,850 kes baharu.

Dengan bilangan kes baharu itu, Indonesia mencatatkan 457,735 kes secara keseluruhannya sehingga kini.

Pasukan petugas itu juga memaklumkan sebanyak 104 kes kematian dicatatkan pada hari sama dengan keseluruhan korban di Indonesia seramai 15,037 orang.

Seramai 385,094 pesakit COVID-19 pula sudah sembuh, menjadikan kes aktif setakat ini ialah sebanyak 57,604 di seluruh negara.

Seramai 37, 892 individu menjalani ujian dengan kadar positif 14.3 peratus.

Angka itu hampir tiga kali ganda berbanding lima peratus yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Jawa Tengah merekodkan kes paling tinggi berbanding wilayah lain iaitu 1,362 kes baharu, melepasi Jakarta dengan 1,033 kes baharu.

Sebanyak 801 kes baharu direkodkan di Jawa Barat manakala Kalimantan Timur sebanyak 277.

Sebelum ini, pihak berkuasa dan sekumpulan pakar menyatakan kebimbangan berhubung potensi lonjakan kes disebabkan cuti panjang sempena Maulidur Rasul, akhir Oktober lalu.

Ratusan ribu penduduk dilihat meninggalkan Jakarta dengan lapangan terbang selain jalan raya dipenuhi orang ramai yang mengambil kesempatan bercuti kes destinasi pelancongan di seluruh negara.

Meskipun terdapat kebimbangan mengenainya, namun jumlah pelaksanaan ujian adalah menurun selepas cuti, menyebabkan lebih sedikit kes dikesan iaitu sekitar 2,000 hingga 3,000 dalam tempoh beberapa hari.

Ia disebabkan tindakan pihak makmal yang mengurangkan waktu bekerja dan kakitangan ekoran cuti berkenaan.

Bercakap kepada The Jakarta Post sebelum ini, Pemangku Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Indonesia bagi kawalan penyakit dan pencegahan, Muhammad Budi Hidayat, berkata kadar ujian yang lebih rendah disebabkan hanya sedikit sampel dihantar ke makmal.

Muhammad Budi berkata, ia berikutan terdapat penurun kes yang disyaki di beberapa wilayah.

Namun, sehingga Jumaat, seramai 58,896 individu yang disyaki COVID-19 belum lagi menjalani ujian atau sedang menunggu keputusan. - AGENSI
 

InstaForexRebat

CG Hardcore Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
50,935
Reaction score
4,385
Points
601
mati_1605327822.jpg

Pemilik krematorium di Republik Czech berdepan tekanan berikutan kes kematian akibat COVID-19 meningkat. - Foto AFP

COVID-19: Kematian tinggi di Czech beri tekanan kepada pemilik krematorium

PRAGUE: Pemilik krematorium di Republik Czech berdepan tekanan susulan peningkatan kes kematian akibat COVID-19 yang meletakkan negara itu paling teruk terjejas di Eropah.

Selama berminggu-minggu, Republik Czech menjadi negara paling teruk di Eropah dari segi kematian baharu bagi setiap 100,000 penduduk, menurut Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Eropah.

Sejak akhir Oktober, negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang memiliki populasi 10.7 juta orang itu merekodkan kes kematian setiap hari sekitar 200 orang.

"Kami terbeban, kes kematian jauh lebih banyak daripada kebiasaan," kata Josef Melich, pemilik krematorium swasta di pusat bandar Tabor.

"Peningkatan kira-kira 40 peratus. Ia sukar," katanya kepada AFP.

Perkhidmatan Pengebumian Persekutuan Eropah mengatakan bahawa membakar mayat adalah kaedah pengebumian yang paling popular di Republik Czech yang mempunyai 27 krematorium di wilayahnya.

Pada 2016, empat daripada lima mayat rakyat Czech dibakar.

"COVID-19 secara semula jadi adalah beban bagi semua krematorium," kata Ivo Furmancik, pengarah krematorium di timur Ostrava.

Kemudahan dengan tiga tungku meliputi kawasan tanah yang luas dan membakar sekitar 11,000 mayat setiap tahun, jumlahnya mungkin meningkat menjadi 12,500 tahun ini kerana pandemik.

"Kami bekerja tanpa henti dan sejak gelombang kedua dengan peningkatan kematian pada musim luruh, kami berdepan masalah kapasiti," kata Furmancik kepada AFP. - AFP
 

InstaForexRebat

CG Hardcore Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
50,935
Reaction score
4,385
Points
601
COVID-19: Australia berdepan penularan baharu di Adelaide

SYDNEY: Satu kluster COVID-19 tiba-tiba muncul di Adelaide, Australia hari ini, selepas tujuh bulan tanpa sebarang lonjakan penularan wabak di bandar itu, dengan virus itu sekali lagi terlepas daripada sistem kuarantin di hotel yang dilaksanakan negara itu.

Negeri di Australia Selatan itu melaporkan, empat kes baharu dikesan di bandar itu semalam, sebelum kluster itu melonjak kepada 17 orang hari ini, iaitu yang terbesar di kawasan itu sejak April lalu.

Sebanyak 15 kes adalah daripada anggota keluarga yang sama, termasuk seorang yang bekerja di sebuah hotel yang pernah digunakan untuk mengkuarantin individu yang pulang dari luar negara.

Bimbang dengan kemungkinan lonjakan kes, pihak berkuasa mengenakan semula beberapa sekatan dan menggantung penerbangan antarabangsa ke Adelaide.

"Kita tidak akan menangguhkan usaha untuk memperlahan dan menghentikan penularan kluster yang kuat ini," kata Ketua Menteri Australia Selatan, Steven Marshall dalam satu sidang media.

Pihak berkuasa mengarahkan ratusan individu untuk berada di rumah, di samping menutup sekolah dan perniagaan yang berkait dengan kes berkenaan.

"Tempoh 24 jam akan datang amat kritikal, namun kami tidak akan menunggu sehingga situasi bertambah buruk," kata Marshall.

Penduduk Australia Selatan digesa memakai pelitup muka, bekerja dari rumah dan mengelak daripada keluar jika tiada urusan penting.

Kes di Adelaide juga menyebabkan beberapa negeri lain mengenakan sekatan baharu terhadap mana-mana individu yang tiba dari Australia Selatan. - AFP
 

InstaForexRebat

CG Hardcore Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
50,935
Reaction score
4,385
Points
601
Shanghai saring makanan sejuk beku import 'berisiko tinggi'

SHANGHAI: Kerajaan Shanghai berkata, semua barangan makanan sejuk beku 'berisiko tinggi' yang diimport, perlu menjalani ujian coronavirus dan bungkusannya pula dinyah kuman sebelum disimpan atau dijual di bandar itu.

Menerusi akaun rasmi bandaraya itu di WeChat, pihak berkuasa Shanghai bagaimanapun tidak memperincikan apa yang dimaksudkan dengan 'berisiko tinggi', namun pengumuman itu dibuat ketika dua lagi bandar China memaklumkan menemui virus itu pada barangan import sejuk beku.

China meningkatkan ujian pada makanan sejuk beku selepas beberapa kali mengesan virus itu pada barangan import, yang mencetuskan larangan terhadap produk import, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan risiko jangkitan COVID-19 daripada makanan sejuk beku adalah rendah.

Hari ini, bandar Xiamen memaklumkan penemuan virus itu pada bungkusan daging babi dari Perancis yang tiba ke gudang simpanan Sabtu lalu, ketika melakukan pemeriksaan rawak.

Bandar itu tidak menamakan syarikat yang menghantar produk terbabit ke China, namun memaklumkan menutup sementara gudang berkenaan, dan ujian pada pekerja serta kawasan berkenaan didapati negatif buat masa ini, menurut kenyataan di laman sesawang Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Xiamen.

Dalam laporan lain hari ini, agensi berita Xinhua melaporkan bandar Jining di timur wilayah Shandong pula menemui strain COVID-19 pada sampel bungkusan produk makanan laut sejuk beku yang diimport, Sabtu lalu.

Kedua-dua kes baharu itu adalah susulan penemuan beberapa laporan sama sepanjang minggu lalu. - AGENSI
 

InstaForexRebat

CG Hardcore Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
50,935
Reaction score
4,385
Points
601
COVID-19: Perintah berkurung enam hari di Australia Selatan

ADELAIDE: Australia Selatan menguatkuasakan perintah berkurung selama enam hari bermula hari ini bagi mengawal penularan COVID-19 susulan kewujudan kluster baharu di ibu negeri yang tidak merekodkan jangkitan dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Susulan itu, semua sekolah, restoran dan kilang diarahkan ditutup bermula tengah malam tadi manakala perintah untuk duduk di rumah dikeluarkan kepada penduduk di seluruh negeri itu.

Langkah itu dibuat susulan muncul dua kes baharu yang dikaitkan dengan kluster jangkitan dari hotel dijadikan tempat kuarantin bagi pengembara luar negara yang sebelum ini mencatatkan 22 kes.

Semua majlis perkahwinan dan pengebumian dilarang manakala pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan di negeri yang tidak merekodkan jangkitan sejak April lalu.

Ketua Menteri, Steven Marshall, berkata pihak berkuasa terpaksa melaksanakan langkah tegas itu dengan segera.

"Masa sangat berharga dan kami perlu bertindak pantas dan tegas. Kami tidak mahu 'tunggu dan lihat' kesan buruk yang akan muncul," katanya.

Pendekatan yang diambil ini berbeza seperti di Amerika Syariat (AS) yang mana beberapa pemimpin politik menolak langkah pencegahan awal walaupun kes jangkitan meningkat manakala di Eropah, perintah berkurung dilaksanakan apabila kes jangkitan meningkat.

Penduduk Australia Selatan yang dibenarkan keluar rumah pula adalah petugas dalam bidang keperluan, membeli barang keperluan atau atas keperluan kesihatan.

Australia Selatan menjadi negeri pertama yang melarang segala aktiviti luar kepada penduduknya sejak pandemik itu menular.

Ketua pegawai perubatan, Nicola Spurrier berkata, langkah 'ekstrim' itu akan memberikan masa kepada negeri yang memiliki 1.8 juta penduduk untuk mengesan kontak dijangkiti COVID-19 dan memutuskan rantaian jangkitan.

"Saya tidak dapat membuat keputusan ini dalam tempoh dua atau tiga minggu atau pun dua atau tiga hari kerana ia akan mengambil masa," katanya.

Pada Isnin lalu, sebanyak 17 kes COVID-19 dikesan dan kerajaan mula mengarahkan ribuan individu yang mempunyai kontak rapat untuk menjalani kuarantin kendiri dan membatalkan penerbangan antarabangsa.

Australia secara relatifnya berjaya mengawal penularan COVID-19 dengan mencatatkan 27,700 kes jangkitan dan merekodkan 907 kematian sejak pandemik itu merebak. - AFP
 
Sponsored Post
Top
Log in Register