dhiaperfumes
CG Top Poster Club

- Messages
- 41,571
- Joined
- Nov 12, 2009
- Messages
- 41,571
- Reaction score
- 63
- Points
- 120
Mungkin ramai tertanya-tanya dan terkejut melihat kelibat sebuah trak yang dilengkapi wajah penyampai radio Suria FM, berlegar-legar di jalan raya. Ada juga yang mengagak, trak itu menggantikan Chery Tiggo yang digunakan untuk Lintasan Suria Wheels, kendalian AK dan Capit.
Namun, jangan panik kerana ia adalah modus operandi yang digunakan stesen radio tempatan itu untuk mempromosikan siaran mereka kepada seluruh pendengar di Lembah Klang.
Sebelum ini, kebanyakan stesen radio menggunakan iklan dan promosi di radio, papan iklan atau bas untuk memberi hebahan kepada pendengar.
Menjadi stesen radio pertama yang menggunakan kaedah, trak ceria yang tampil memperkenalkan pendekatan baru dengan cara berbeza.
Menurut Ketua Pegawai Penyiaran, Yusry Abu Samah, konsep trak ini telah diperkenalkan pada 10 Mei lalu dan ianya akan beroperasi selama sebulan.
"Alhamdulillah, walaupun baru sahaja diperkenalkan, idea daripada Bahagian Pemasaran Suria FM, ini nyata memberi impak kepada masyarakat di Lembah Klang.
"Selain dilengkapi wajah-wajah penyampai radio seperti Halim Othman, Adibah Noor, Reza Mohamed, Seri, Linda Onn, Bob Ringgo dan DJ Lin, trak ini juga turut memasang siaran Suria FM di sepanjang perjalanan untuk menarik perhatian orang ramai.
"Trak ini juga turut beroperasi pada waktu malam dan ia kelihatan bercahaya dan ceria, selari dengan tema stesen kita. Ramai yang memuji idea promosi ini dan ia dilihat sangat berkesan," katanya.
Walaupun idea promosi ini dilihat lebih berkesan, namun iklan dan promosi melalui medium lain masih diteruskan.
Menurut Yusry, iklan yang menggunakan billboard, dada bas, akhbar dan hebahan melalui radio masih diteruskan sehingga kini.
"Kami tidak akan menghentikan medium lama kerana trak ini adalah kelainan baru yang menyokong usaha terdahulu dalam mempromosikan radio kita.
"Idea trak ini bukanlah bermakna, cara yang lama kurang berkesan. Namun, kami cuba memberi kelainan untuk tujuan promosi.
"Trak ini adalah usaha berterusan untuk Suria FM dan mendekatkan pendengar serta masyarakat untuk mengenali lebih dekat barisan penyampai radio dan siarannya," katanya yang mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil gambar bersama trak dan muat naiknya di laman Facebook atau Twitter Suria FM.
Hanya melibatkan lokasi di Lembah Klang sahaja, namun Yusry mengakui pendekatan ini boleh dilanjutkan untuk masyarakat di luar daerah.
Katanya, sehingga kini perkara itu masih belum diputuskan lagi untuk diteruskan di negeri-negeri lain.
"Mungkin ia akan dilanjutkan ke negeri lain sekiranya mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat di sini ataupun mendapat permintaan di negeri lain.
"Sehingga kini, kami berpuas hati dengan sambutan yang diterima. Insya-ALLAH, jika tiada halangan, perkara ini akan dibincangkan.
"Selepas tamat operasi di Lembah Klang pada 9 Jun nanti, mungkin kami akan keluar ke negeri lain," katanya yang mengakui ada beberapa lagi kelainan yang bakal diperkenalkan di Suria FM.