Info Tragedi Pengusiran Orang Islam Circassia - Siapakah Mereka Sebenarnya ?

CG Sponsors




Xploit Machine

CG Top Poster Club
Joined
Nov 23, 2012
Messages
26,011
Reaction score
3,798
Points
236
Circassia adalah orang asli yang sebahagian besarnya beragama Islam, dari wilayah Kaukasus Barat Laut. Mereka ini tinggal di Kaukasia yang terletak di sepanjang timur Laut Hitam hingga ke Laut Kaspia. Menggelarkan diri mereka sebagai "Adyghe", orang Circassia secara tradisional terkenal sebagai pendaki gunung, sudah biasa hidup dalam keadaan yang mencabar, dan secara tradisional mengikuti struktur suku yang terdiri dari 12 suku. Tanah yang memberi mereka nama mereka adalah Cir cassia, yang terletak di sepanjang pantai timur Laut Hitam. Ini adalah lokasi yang sangat strategik antara dua kerajaan masa lalu yang juga merupakan musuh ketat, iaitu Empayar Uthmaniyah dan Rusia. Dari segi budaya dan politik, orang Circassia dipengaruhi oleh Empayar Uthmaniyah dan pengikut mereka, etnik Tatar dari Krimea. Disebabkan oleh hubungan ini dan lokasinya yang penting menjadikan Circassia sebagai sasaran serangan besar-besaran oleh Rusia pada abad ke-19.

Screenshot-3627.jpg


1. Orang Circassia dan Islam

Sebilangan besar orang Circassia adalah Kristian sebelum mereka memeluk Islam pada abad ke-15. Beberapa negara Islam telah merekrut orang Circassia dan Kaukasia lain ke dalam unit tentera elit mereka. Malah, ada pejuang Circassia yang mencapai kedudukan tinggi dalam tentera elit berkenaan. Dinasti Mamluk Mesir, yang berkuasa pada abad ke-13 dan memerintah sebagian besar Timur Tengah selama lebih dari 300 tahun, dipimpin oleh orang Circassia. Pada awal abad ke-17, hampir semua orang Circassia akhirnya memeluk Islam.


2. Perluasan kuasa Empayar Rusia

Perluasan kuasa Rusia selepas abad ke-17 bergerak ke arah selatan di mana populasi besar umat Islam (termasuk orang Tatar Krimea dan Circassia) telah hidup selama berabad-abad di bawah perlindungan Empayar Uthmaniyyah dan Dinasti Qajar dari Parsi. Pengembangan ini membuatkan Empayar Rusia ingin memutuskan hubungan antara Kerajaan Uthmaniyyah dan Circassia. Mereka juga ingin menguasai Laut Hitam timur laut sepenuhnya sebagaimana Empayar Uthmaniyyah menguasai Laut Hitam selatan. Dan untuk merealisasikan rancangan mereka, Empayar Rusia memutuskan untuk merampas tanah orang Circassia. Tentera Rusia bergerak ke dataran tinggi Caucasia setelah mengalahkan tentera Islam yang berjiran seperti Qajar dalam perang berturut-turut sejak awal abad ke-18. Realiti politik baru mewujudkan situasi yang berbahaya bagi semua umat Islam di wilayah ini, namun orang Circassia adalah yang paling teruk terjejas kerana mereka memberikan tentangan paling kuat terhadap Rusia.


3. Perang Rusia-Circassia

Untuk tempoh lebih dari 100 tahun iaitu di antara tahun 1763 dan 1864, orang Circassia berperang menentang tentera Rusia di pergunungan Kaukasus. Orang Circassia menggunakan taktik perang gerila yang sangat berkesan terhadap Rusia semasa perang. Namun perebutan kuasa di antara suku-suku Circassia dan perselisihan dalaman antara ketua dan rakyat jelata menimbulkan masalah serius bagi penentangan tersebut. Tambahan pula, orang Circassia tidak dapat menjalin pakatan ketenteraan yang berkesan dengan orang-orang Kaukasia yang lain walaupun musuh mereka adalah sama. Meskipun begitu, orang Circassia berjuang bermati-matian untuk memanjangkan perang dan menggunakan taktik yang mengejutkan ahli strategi tentera Rusia dengan cara yang tidak pernah mereka jangkakan.


4. Rusia menyerang perkampungan Circassia

Pasukan tentera Rusia mengembangkan strategi balas baharu pada awal tahun 1800-an terhadap serangan Circassia. Tentera-tentera Rusia diperintahkan untuk menyerang kampung-kampung di mana tempat ahli keluarga pejuang Circassia tinggal. Malah, Rusia melakukan pelbagai pembunuhan dan penculikan untuk menghapuskan sokongan luar bandar yang sangat meluas. Tak cukup dengan itu, mereka juga memusnahkan tanaman dan ternakan, yang menyebabkan orang awam Circassia tidak dapat bertahan hidup. Akhirnya mereka terpaksa tunduk kepada pemerintahan Rusia atau diusir dari kampung sendiri.


5. Mati atau keluar

Setelah berjaya menawan tanah yang mereka inginkan, Jeneral Tentera Rusia terkemuka iaitu Dmitry Milyutin menemui penyelesaian bagi masalah Rusia dengan orang-orang Circassia. Dia menganjurkan pengusiran orang-orang Circassia sepenuhnya dari tanah air mereka, sebuah dasar yang disebutnya sebagai "keperluan awam." Dmitry berkongsi pandangannya secara terbuka dengan menerbitkannya pada tahun 1857. Dia berkata, "Menghapuskan orang Circassia adalah untuk membersihkan tanah dari unsur-unsur permusuhan". Rancangan jahatnya ini diluluskan oleh Tsar Alexander II dan Dmitry dilantik sebagai Menteri Perang pada tahun 1861. Tak lama kemudian, komander tentera Rusia, Nikolai Yevdokimov mencadangkan agar orang-orang Circassia diusir ke Empayar Uthmaniyyah. Nikolai berkata orang Circassia boleh memilih satu daripada dua pilihan iaitu mati atau setia dengan Empayar Rusia.


6. 1864: Tahun hitam bagi orang Circassia

Di antara 6 Mac dan 21 Mei 1864, hampir seluruh populasi Ubykhs iaitu suku Circassia yang terkenal diusir ke Anatolia (sebahagian besar kawasan di Turki moden) di Empayar Uthmaniyyah. Pengusiran itu dilakukan secara besar-besaran sehingga Empahar Rusia tidak mampu mencari petani yang cukup untuk mengusahakan tanah subur di Kaukasia barat. Pada hari ini, semua orang Circassia di seluruh dunia menandakan 21 Mei sebagai hari mengenang pengasingan tragis mereka ini. Aktivis Circassia pada masa ini menganggarkan bahawa 90% orang Circassia iaitu sekitar 3 juta orang, telah diusir dari Kaukasia oleh Rusia semasa proses pengusiran tersebut.


7. 1864: Tahun diraikan di Empayar Rusia

Walau bagaimanapun, tahun 1864 ini dilihat dengan cara yang sangat berbeza bagi Empayar Rusia. Mereka melihat pembunuhan dan pengusiran orang Circassia sebagai kemenangan besar untuk tujuan nasional dan harus diraikan. Tentera Kaukasia Rusia berkata, "Pada tahun ini, suatu tindakan telah dilaksanakan yang mana hampir tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah. Tidak ada seorang pun penduduk pendaki gunung ini yang tersisa di tempat kediaman mereka sebelum ini, dan langkah-langkah sedang diambil untuk membersihkan wilayah tersebut". Pengusiran itu dilakukan untuk mempersiapkan Kaukasia untuk didiami oleh orang Kristian Rusia. Catatan Imperial Rusia mendakwa "lebih dari 400,000 orang Circassia terbunuh dan 497,000 dipaksa meninggalkan tanah air ke luar negara ke Turki. Hanya 80,000 yang tersisa hidup di tanah asal mereka."


8. Kubur terapung di Laut Hitam

Empayar Uthmaniyyah menghantar kapal untuk membawa orang-orang Circassia ke Anatolia. Ketika pengusiran besar-besaran ini, ribuan orang Circassia kehilangan nyawa mereka di perairan Laut Hitam. Antara penyebab kematian adalah penyakit dan juga lemas, menjadikan Laut Hitam sebagai tempat persemadian beribu-ribu nyawa. Dasar penempatan orang Circassia oleh Empayar Uthmaniyyah, yang dilihat oleh beberapa pihak sebagai cara untuk mengenakan kawalan yang lebih besar terhadap penduduk Kristiannya, juga dikritik dengan alasan ia dirancang dan dilaksanakan dengan buruk.


9. Tanah air baharu

Hari ini, orang-orang Circassia tinggal di banyak bahagian di dunia. Keseluruhan populasi global mereka dianggarkan sekitar 8 juta dan sebahagian besarnya tinggal di Turki. Anggaran pecahan adalah seperti di bawah:

Turki: 2 hinggga 3 juta
Russia: 718,729
Syria 80,000 hinggga 120,000[
Jordan: 170,000
Jerman: 40,000
Iraq: 34,000
Amerika Syarikat: 25,000
Arab Saudi: 23,000
Mesir: 12,000
Israel: 4,000 hingga 5,000
Uzbekistan: 1,257
Ukraine: 1,001
Bulgaria: 834
Belanda: 500
Poland: 1,000
Belarus: 116
Turkmenistan: 54
Libya: 35,000
Bulgaria: 573
Kosovo: 1,200

Mereka telah menyumbang kepada banyak perkembangan dan pencapaian di Turki, seperti kemunculan gerakan reformasi politik yang dikenali sebagai Orang Muda Turki dan Perang Kemerdekaan Turki. Mereka juga dikreditkan dengan penciptaan Amman zaman moden, iaitu ibu kota Jordan di Timur Tengah. Selain itu, beberapa orang perdana menteri Iraq mempunyai akar umbi dari orang Circassia. Di Syria dan Mesir, sesetengah keluarga elit dengan pengaruh politik dan ekonomi juga banyak berasal dari latar belakang Circassia. Namun, ramai yang rindu untuk kembali ke tanah air mereka di kawasan tanah tinggi Kaukasia. Pada hari ini, wilayah tersebuat adalah sebahagian daripada Persekutuan Russia.

Pada 21 Mei setiap tahun, orang Circassia di seluruh dunia memperingati pembunuhan dan penguisan nenek moyang mereka pada tahun 1864.


Rujukan;
 
Top
Log in Register