Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.
Difahamkan Razali, 59, rebah ketika bermain badminton di institut itu.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.
Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi.
Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.
Allahyarham menghadiri sesi permukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini.
Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.
Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima
anak.
Malaysiakini difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.
Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.
'Hisham: Satu kehilangan'
Sementara itu, Bernama juga melaporkan, seorang kakitangan institut itu berkata ketika kejadian, Razali sedang bermain badminton di situ untuk beriadah dengan beberapa kakitangan institut berkenaan.
"Dia tidak ada acara spesifik di situ tetapi dia datang untuk berekreasi," katanya.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketika dihubungi pula berkata, kematian Razali merupakan satu kehilangan besar kepada kementeriannya.
"Terlalu sedih...Ia satu kehilangan besar," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Hishammuddin berkata beliau sedang menguruskan jenazah Allahyarham di tempat kejadian.