Syabas teruskan Tabung Budi

CG Sponsors




eboss

CG Hardcore
Platinum Member
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,652
Reaction score
1,894
Points
591
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak akan menghentikan program Tabung Budi seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Malah, syarikat tersebut akan mempertahankan projek murni yang bertujuan membantu golongan miskin di negeri tersebut mendapat bekalan air bersih secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan memberitahu, sebaik sahaja menerima notis pemberhentian itu, Syabas telah melantik peguam bagi menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang berkemungkinan diambil oleh pentadbiran negeri.

Menurutnya, Syabas bersedia diheret ke mahkamah dan dibicarakan kerana percaya mereka berada di pihak yang benar.

"Negara kita ada undang-undang dan setiap orang berhak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Terpulang kepada diri masing-masing.

"Bukan sahaja pihak kerajaan negeri, sesiapa sahaja yang tahu dan faham tentang konsep sebenar pelaksanaan program ini sudah pasti tidak timbulkan isu," ujarnya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai arahan kerajaan negeri minggu ini supaya Syabas menghentikan program Tabung Budi dalam tempoh 14 hari kerana ia didakwa melanggar syarat perjanjian konsesi air.

Terdahulu, beliau bersama lebih 20 kakitangan Syabas mengadakan sesi lawatan ke rumah tiga keluarga terpilih di Desa Pandan, Taman Cheras dan Batu 3 1/2 Jalan Cheras bagi menyampaikan sumbangan air percuma menerusi dana Tabung Budi.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Komunikasi Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som dan Pengarah Eksekutif Kewangan, Thien Swee Kim.

Mengulas lanjut, Ruslan tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri tidak faham konsep dan pelaksanaan sehingga menjadi punca arahan itu dikeluarkan.

Sehubungan itu, beliau sedia bertemu dengan pihak berkenaan bagi memberi penjelasan mengenai program yang dilancarkan pada 28 Oktober lalu itu.

"Pihak Syabas sudah menulis surat kepada pejabat Menteri Besar mengenai perkara ini tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas diterima. Kami dengan tangan terbuka bersedia memberi penjelasan mengenai perkara ini," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu ada pihak yang salah faham dan salah anggap terhadap usaha murni tersebut.

Kata Ruslan, bukan sahaja kerajaan negeri, bahkan orang ramai juga perlu memahami tujuan pelaksanaan program itu supaya tidak bersangka buruk terhadap Syabas.

"Syabas hanya pemegang amanah kepada program ini. Program bekalan air percuma ini merupakan inisiatif Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka)," ujarnya.

Sejak Tabung Budi dilancarkan, sebanyak 1,747 individu bersetuju menyerahkan air percuma yang mereka terima kepada golongan yang memerlukan.

Jumlah yang dikumpulkan setakat hari ini adalah RM95,308.95 dengan RM66,639.60 akan diterima secara berperingkat-peringkat, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM161,948.55.

Mengenai penyampaian air percuma semalam, Ruslan berkata, pemberian itu menjadikan jumlah penerima sumbangan Tabung Budi setakat ini adalah seramai 14 orang.

Penerima terbaru ialah Nor Haslina Mohamed Yunus, 41, Hasma Om, 65, dan S. Loganathan, 36.
 
Top
Log in Register