ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
POLIS meneruskan siasatan selepas seorang penjenayah ditembak mati dan seorang lagi cedera di Pangsapuri Bukit Tinggi 2, Bukit Tinggi, Klang, Selangor, semalam. UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
KLANG 12 Ogos - Seorang penjenayah paling dikehendaki berikutan aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah sejak 15 tahun lalu berjaya ditahan di Bandar Bukit Tinggi, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, polis terpaksa bertindak agresif untuk menahan suspek yang berusia 34 tahun dan berasal dari Sabah dengan melepaskan beberapa das tembakan hingga mencederakan tangan kanannya.
Suspek yang cedera pernah melakukan lebih 10 kes pecah rumah dan samun sejak dua bulan kebelakangan ini dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan samun.
Rakan jenayah suspek yang berusia 35 tahun juga dari Sabah bagaimanapun mati di tempat kejadian akibat terkena peluru pada rusuk kanannya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, sebelum itu, sepasukan anggota polis terserempak dengan kenderaan pelbagai guna yang dipandu suspek di Bayu Perdana.
“Polis kemudiannya mengejar kereta jenis Perodua Alza itu sejauh lima kilometer sehingga ke Pangsapuri Bukit Tinggi 2 dan cuba dihalang beberapa kali oleh kenderaan polis namun gagal diberhentikan.
“Dalam usaha melarikan diri, kenderaan suspek telah bergesel dengan dua buah kereta lain (Perodua Kancil dan Hyundai Atos) sebelum berjaya dipintas di persimpangan pangsapuri tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Azman, suspek bertindak agresif dengan melanggar Proton Saga yang dinaiki pasukan polis bagi meloloskan diri menyebabkan mereka terpaksa melepaskan sebanyak enam das tembakan bagi mempertahankan diri.
Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek katanya, polis menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
“Mayat suspek serta rakannya yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat dan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.