kan betul apa yg aku cakap.. balik2 nak carik pengalaman je.. petikan dari berita minggu
Sukan Asia: ‘Anak didik Norizan cuma mahu cari pengalaman’
Daripada V Ashok dan Ahmad Khawari Isa di Doha
JANGAN sesekali cuba menaruh harapan, kerana realiti kini tertera jelas betapa Malaysia hanya memburu peluang meraih pengalaman apabila turun dalam langkahan kedua bola sepak kumpulan E Sukan Asia menentang China, malam ini.
Selepas kecundang 1-3 di tangan Oman dalam aksi pembukaan, Rabu lalu, anak buah Norizan kini berdepan tugas lebih sukar kerana China yang menanti jelas memiliki tahap kemampuan lebih mantap dan berkualiti berbanding lawan sebelumnya.
Hakikat itu diakui sendiri Norizan yang bagaimanapun mahu anak buahnya terus mempamer kesungguhan jitu serta cuba meneruskan kebangkitan hasil persembahan positif ketika kecundang di tangan Oman.
"Jika diteliti, memang China memiliki kelebihan dari semua segi. Tetapi ia tidak bermakna pemain perlu tunduk mengalah apabila memasuki padang.
"Mereka sudah tunjukkan persembahan bersemangat dalam perlawanan pertama lalu dan saya harapkan mereka dapat sekurang-kurangnya mengulangi apa yang berjaya mereka hasilkan sebelum ini," katanya.
Norizan, biarpun enggan mengulas barisan kemungkinannya, tampak cenderung mengekalkan kesebelasan utama, biarpun tempat Azlan Ismail selaku rakan seganding Samransak Kram di barisan depan, mungkin belum ditentukan.
Azlan menjadi pemain pertama dikeluarkan pada babak kedua aksi ketika menentang Oman selepas kelihatan gagal menjelmakan bantuan ataupun mencipta gerak mengancam ke kubu lawan.
Tempat pemain sayap lincah, Nor Farhan Mohamad, tampak terjamin kerana di sebalik gol sendiri yang dijaringkannya, Farhan diakui sebagai antara pemain paling menyerlah dalam aksi pembukaan di Stadium Al-Arabi lalu.
Peluang Malaysia untuk melangkah jauh dalam acara bola sepak Sukan Asia tampak sudah terkubur selepas kekalahan di tangan Oman kerana China dan lawan terakhir mereka, Iraq, diakui setahap lebih tinggi.
China menundukkan Iraq 1-0 dalam perlawanan pembukaan masing-masing, tetapi ia bukanlah sesuatu yang dianggap mengecewakan buat Iraq kerana skuad itu dijangka bangkit untuk merebut tempat kedua Kumpulan E ke pusingan berikutnya apabila turun menentang Oman, lewat malam nanti.