BTC USD 62,082.5 Gold USD 4,259.57
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Suka ambil kesempatan

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg



RUNSING hati Farah dibuatnya. Kalau setahun dua, bolehlah bersabar. Tapi dah masuk tahun ketujuh mereka mendirikan rumah tangga. Namun sikap suaminya tidak pernah berubah. Daripada sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara, Farah perlu memikirkan dan mencari jalan penyelesaiannya. Kalau tidak, tak tahulah Farah apa akan terjadi.

Farid? Entahlah. Ada atau tidak dia dalam kehidupan Farah, sama sahaja. Adapun dia dalam rumah tangga, tidak membantu apa-apa. Semuanya Farah yang kena lakukan. Hatta hendak membetulkan mentol yang terbakar pun, Farah terpaksa mengerah kudrat yang ada untuk menggantikannya dengan mentol yang baharu. Nak harapkan Farid, katanya mudah, “Tunggulah. Nanti aku ganti!”

Masalahnya tunggu punya tunggu, tak juga dilakukan. Terpaksalah Farah memanjat tangga dan melakukannya sendiri. Kalau tidak, bergelaplah ruang dapurnya. Sekali gus menyukarkan kerja-kerjanya untuk memasak di dapur.

Bukan itu sahaja. Farid seakan melepaskan segala urusan rumah tangga kepadanya. Walhal Farah juga bersama-sama bekerja bagi membantu meringankan beban kewangan Farid. Paling membuatkan Farah naik darah, apabila Farid hampir terlepas mendaftarkan anak sulungnya masuk ke darjah satu.

Sudah puas Farah mengingatkan Farid tentang tarikh akhir pendaftaran sekolah anaknya. Namun Farid sering sahaja memberikan alasan, “Nantilah dulu. Kan lambat lagi tarikh tutupnya.” Berdesing telinga Farah dibuatnya. Mahu tak mahu, tinggal satu hari lagi tarikh pendaftaran hendak ditutup, Farah jugalah yang terpaksa menguruskannya.

Semua ini membuatkan Farah bosan dengan Farid. Pernah terfikir dalam hati Farah untuk berpisah sahaja dengan Farid. Tapi kerana kasihankan anaknya, Farhana, Farah pendamkan sahaja perasaannya.

Bukannya Farah tak pernah tegur sikap Farid. Sudah banyak kali. Namun Farid tak pernah berubah. Dia tetap dia yang dulu. Tak ambil kisah tentang keperluan rumah tangga. Yang dia tahu, balik kerja, makanan dah terhidang untuknya. Baju kerjanya telah digosok. Rumahnya telah dibersihkan dan macam-macam lagi. Tapi nak membantu meringankan tugas-tugas Farah sebagai isteri, tidak sekali.

Jadi terpaksalah Farah melakukannya sendirian sekalipun dia tahu itu sebenarnya bukan tugasnya. Menukar paip yang pecah, pam tandas yang rosak, membasuh longkang sekeliling rumah, membaiki sinki yang tersumbat dan apa sahaja kerja-kerja pertukangan di rumah tersebut, semuanya Farah yang lakukan. Farid? Jawapannya hanya nanti dulu sehinggalah segala-galanya diselesaikan oleh Farah. Ada kala mendidih juga darah Farah dibuatnya. Tapi apa nak buat, dah nasib Farah dapat suami yang sedemikian rupa. Ambil kesempatan di atas keupayaan isteri.

SUAMI ketua dalam sebuah rumah tangga ibarat sebuah kereta yang ada pemandu, manakala isteri dan anak-anak merupakan penumpang yang bergantung kepada kecekapan suami membawa kenderaan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab.

Demikianlah juga dengan rumah tangga amat memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa dan mempunyai nilai peribadi yang tinggi untuk mengelola sebuah kehidupan berkeluarga yang penuh ranjau dan cabaran untuk melaluinya. Berbekalkan ilmu dan kemahiran mengurus keluarga, seorang suami mampu menjadikan keluarganya bukan sahaja bahagia tetapi mampu mendepani cabaran yang berliku. Isteri pula selaku pembantu, memastikan segala perancangan berjalan dengan baik dan mengikut apa yang dirancang bersama ketua rumah tangga iaitu suami.

Fenomena suami yang kurang kredibiliti dalam mentadbir sebuah keluarga bukanlah menjadi suatu masalah yang besar sekiranya suami tersebut bersedia menerima pandangan dan tunjuk ajar seorang isteri untuk menjadi seorang pemimpin yang cekap dan berkaliber.

Di samping itu juga suami tidak segan dan malu untuk belajar mengubah sikap dirinya dan tidak hanya bergantung kepada isteri untuk melakukan sesuatu perubahan diri dan corak kepimpinan rumah tangga. Bahkan suami juga perlu meningkatkan harga dirinya dengan menambah ilmu pengetahuan dalam apa juga bidang supaya perkara tersebut dapat dimanfaatkan dalam mentadbir rumah tangga dan keluarganya.

Sikap suami yang tidak mampu mengurus dan menjalankan peranan kepimpinannya dalam kehidupan berkeluarga membuatkan isteri menjadi bosan dan terpaksa mengambil alih tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh suami. Sebagai contoh apabila paip di rumah rosak atau lampu dapur yang tidak diganti apabila mentolnya terbakar selama berbulan-bulan tanpa ada pembaikan. Sikap berdiam diri dan tidak ambil peduli suami membuatkan isteri semakin bosan sehingga ada yang bertindak sendiri tanpa meminta pertolongan suami.

Tindakan isteri menunjukkan protes dan kegagalan suami sebagai pemimpin rumah tangga. Ramai suami yang tidak perasan perkara ini kerana beranggapan apa yang dilakukan oleh isterinya adalah juga sebahagian daripada tugasnya dalam rumah tangga.

Sedangkan ia merupakan sindiran terhadap suami kerana tugasan tersebut adalah tugas lelaki bukannya wanita.

Bahkan ada yang menganggap lebih baik tidak mempunyai suami jika semua perkara harus dilakukan oleh isteri. Jika ini yang terjadi ia menunjukkan kedudukan suami di sisi isteri semakin rendah bahkan tidak memberi sebarang makna.

Sikap suami yang terlalu mengharap dan bergantung kepada isteri dalam semua perkara walaupun perkara yang remeh-temeh menjadikan penghormatan isteri terhadap suami semakin menurun. Bahkan isteri semakin beranggapan suami sebagai individu yang tidak boleh diharap. Kehadiran suami dalam rumah tangga tidak lebih daripada menjadi boneka dan hanya tertulis dalam sijil nikah.

Semua urusan rumah tangga terpaksa dilakukan oleh isteri kerana jika mengharapkan sikap suami yang lembap, keperluan rumah tangga akan terjejas dan menimbulkan banyak masalah yang lain pula.

Demikian juga halnya dalam pendidikan anak-anak. Isteri terpaksa mengurus itu dan ini tanpa bantuan suami. Semua urusan persekolahan, yuran pengajian dan peperiksaan anak-anak diserahkan kepada isteri. Sudahlah urusan mencari rezeki terpaksa dibuat oleh isteri, makan pakai suami dan anak-anak juga perlu diuruskan. Begitu juga dengan sakit pening, ditanggung sendiri. Hal-hal sedemikian sebenarnya mengundang rasa bosan terhadap suami.

Sedangkan tanggungjawab memberi nafkah dan kecukupan keluarga adalah tanggungjawab suami. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Dan janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan jangan juga menjadikan seseorang bapa itu menderita kerana anaknya. (al-Baqarah: 233).

Rasulullah SAW juga mengingatkan golongan suami agar sentiasa memberikan yang terbaik untuk keluarganya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Sudah cukup bagi seseorang menanggung dosa kerana mensia-siakan orang yang sepatutnya diberi nafkah.” (riwayat Abu Daud)

Apa yang lebih bahaya ialah perasaan isteri mula berubah dan beralih kepada sesiapa yang memahami keadaan dirinya. Berkemungkinan isteri akan mencari pelbagai alasan dan hujah tentang kebenaran apa yang dilakukannya. Ditambah pula setiap keluhan si isteri mendapat perhatian pihak lain. Dan hal sedemikianlah akan mencetuskan bunga-bunga kecurangan dalam sesebuah rumah tangga.

TIP KAUNSELOR

1 Suami yang bertanggungjawab adalah suami yang menjalankan perintah Allah SWT. Rasulullah SAW adalah contoh seorang suami yang bertakwa dan sentiasa melakukan yang terbaik kepada ahli-ahli keluarganya. Baginda juga seorang bapa yang penyayang dan mengambil berat tentang keperluan keluarganya walaupun Baginda seorang pemerintah dan pendakwah yang sangat sibuk dengan tanggungjawabnya.

2 Sebaliknya suami yang lalai dan tidak melakukan kewajipan terhadap isteri dan ahli keluarganya, akan sentiasa mengambil kesempatan daripada kebaikan isterinya sehingga menimbulkan rasa tidak rela dan ikhlas isteri melakukan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

3 Suami adalah tunggak rumah tangga yang perlu ke hadapan dalam banyak perkara terutama dalam membuat sesuatu keputusan untuk kepentingan keluarganya. Baik soal keperluan isteri dan anak-anak sehinggalah kewajipan terhadap ibu bapa kedua-dua pihak tanpa melakukan sikap berat sebelah dan pilih kasih.

4 Isteri juga memainkan peranan memberikan dorongan dan sokongan kepada suami agar belajar memperbaiki dan merubah diri ke arah yang lebih baik. Berikan suami ruang dan peluang untuk melakukan secara berperingkat-peringkat. Elakkan daripada meremehkan usahanya agar suami akan merasa dihargai oleh isteri.

5 Suami yang sayang kepada isteri dan keluarganya akan bersikap terbuka dan sentiasa belajar daripada kelemahan dirinya untuk menjadi suami yang lebih bertanggungjawab dan peka kepada peranan yang perlu dimainkan dalam rumah tangga. Melalui sikap ini suami akan mendapat tempat di hati isteri. Bahkan isteri akan merasa bangga dengan usaha yang dilakukan suami sekaligus memberi motivasi untuk berubah ke arah yang lebih baik lagi.

6 Sekiranya suami belum mencapai tahap yang diharapkan isteri perlulah belajar untuk bersabar dan terus mendorong suami sambil berdoa agar suami akan menjadi seorang ketua keluarga yang mampu membawa ahli keluarganya kepada kehidupan yang diredai oleh Allah SWT.
 
dari kisah benar ke..???

tpi mmg benar ada cerita yg sebegini rupa...
 
Back
Top
Log in Register