BTC USD 26,328.1 Gold USD 1,942.06
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Salah faham status Malaysia negara Islam, sekular perlu diperbetulkan

akudotcom

CG Top Poster Club
gem
Messages
40,420
Top Poster #2
Joined
Jun 17, 2007
Messages
40,420
Reaction score
5,238
Points
481
Awards
1
Salah faham status Malaysia negara Islam, sekular perlu diperbetulkan

- Foto hiasan
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara mengikut Perkara 4(1) dan dokumen penentu takdir mengambil kira kehendak tempatan.

Suruhanjaya Reid adalah suruhanjaya bebas dibentuk pada 21 Mac 1956 ditubuhkan bertujuan untuk merangka Perlembagaan sebagai persediaan negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sebanyak 118 persidangan diadakan dan 131 memorandum diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat dan organisasi untuk dikaji dari Jun hingga Oktober 1956.

Perkara penting dibincangkan suruhanjaya dipengerusikan Lord William Reid (Hakim Mahkamah Rayuan England) seperti pembentukan sebuah kerajaan Pusat, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, pengekalan hak istimewa orang Melayu dan pelantikan seorang Ketua Negara berperlembagaan.

Hasilnya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mula terpakai pada 31 Ogos 1957 sehingga hari ini adalah satu dokumen dapat diterima semua pihak daripada pelbagai latar kaum, bangsa dan agama.

Ia sebuah kontrak sosial dipersetujui tiga etnik besar, iaitu Melayu, Cina dan India yang membentuk Parti Perikatan pada masa itu.

Uniknya, agama Islam adalah satu-satunya agama disebutkan dalam Perlembagaan. Tiada agama lain disenaraikan dalam Perlembagaan, jauh sekali perkataan sekular. Ini berbeza dengan negara seperti Turkiye dan India yang secara jelas menyebut perkataan sekular dalam Perlembagaan mereka.

Bermula dari Perkara 3(1) diperuntukkan Islam agama bagi Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.


Perkara 3 juga memperuntukkan berkaitan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong pula Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya serta negeri tiada beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Bahagian I dan II Jadual Keempat menerusi Perkara 37 pula memperuntukkan lafaz angkat sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong menyaksikan baginda berdua sentiasa memelihara agama Islam.

Perkara 38 menerangkan fungsi dan peranan Majlis Raja-Raja seperti memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, memperkenan atau tidak undang-undang dan melantik anggota Mahkamah Khas.

Antara peruntukan lain dalam Perlembagaan yang mengesahkan lagi kedudukan istimewa agama Islam ialah Perkara 12(2), membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam: "…tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam ajaran dalam agama Islam…"

Meskipun Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pernah menjelaskan dalam sesi Parlimen, negara ini ialah negara sekular dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan hanya untuk tujuan rasmi negara, namun kenyataan beliau tidak sama sekali menjejaskan kedudukan sebenar Perlembagaan yang tidak menyebut perkataan sekular.

Begitu juga dengan kes Che Omar Che Soh melawan Pendakwa Raya pada 1988 yang mungkin dijadikan hujah bagi sesetengah peguam dan pengamal undang-undang mengakui Malaysia bukan negara Islam dan mengesahkan negara ini sebagai negara sekular.

Dalam kes ini, perayu mempertikaikan hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah yang bercanggah dengan undang-undang Islam.

Pandangan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas bahawa agama Islam bukan hanya semata-mata ibadat khusus, tetapi meliputi satu cara hidup merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada individu atau kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman wajar diteliti dalam mentakrif Perkara 3(1).

Perkara ini juga turut disokong Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah dalam memutuskan isu pemakaian serban tiga murid sekolah melalui kes Meor Atiqulrahman dan lain-lain melawan Fatimah Sihi dan lain-lain pada 2000.

Beliau mengatakan agama Islam ialah 'ad-deen' dan satu cara hidup, bukan khusus untuk upacara rasmi sahaja. Status Islam sebagai agama utama adalah mengatasi agama lain dan tidak boleh disamakan di negara ini.

Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pula berpendapat lazimnya, peruntukan agama rasmi bagi negara tidak dimasukkan dalam Perlembagaan negara dalam negara sekular dan tiada peruntukan serta bantuan diberikan bagi aktiviti agama.

Agama diberikan kedudukan tinggi


Jika dilihat dalam Perlembagaan, perkataan 'agama' itu sendiri diulang tidak kurang daripada 20 kali. Agama diberikan penekanan dan kedudukan tinggi, sekali gus membuktikan Perlembagaan bukan sekular kerana sekular bermaksud mengasingkan urusan duniawi dengan hal keagamaan.

Bapa Perundangan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan mengatakan negara ini sekular.

Menurut beliau, Perkara 3(1) seharusnya meliputi undang-undang utama negara dan tidak disempitkan untuk upacara rasmi keagamaan semata-mata.

Menelusuri sejarah, undang-undang Islam adalah undang-undang utama negara (law of the land) sebelum kedatangan penjajah Inggeris. Selain Islam, undang-undang ketika itu turut dipengaruhi elemen adat tempatan.

Hukum Kanun Melaka yang kemudian menjadi rujukan dan contoh bagi negeri lain banyak mengandungi peraturan dan hukuman berlandaskan agama Islam dan adat Melayu.

Hanya dengan kedatangan penjajah Inggeris, ia membataskan sedikit demi sedikit undang-undang Islam terhad kepada undang-undang diri dan keluarga sahaja.

Asalnya, dalam draf awal Perlembagaan tidak terdapat peruntukan Islam sebagai agama negara tetapi Hakim Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran laporan Suruhanjaya Reid yang turut dianggotai beliau.

Kemudian, satu peruntukan mengenai Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan atas cadangan Parti Perikatan tanpa mengenepikan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka.

Namun begitu, agama lain tidak boleh dikembangkan dan disebar luaskan kepada orang Islam menurut Perkara 11(4).

Berdasarkan bukti dan hujah diberikan menerusi beberapa peruntukan terdapat dalam Perlembagaan, kes berkaitan dan pandangan tokoh, Islam diletakkan di tempat tertinggi di negara ini dan ia bergantung kepada individu untuk menilai dan mentafsir kepentingan Islam mengikut konteks hendak diketengahkan.

Penulis adalah Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
Top
Log in Register