hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 21,206
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 21,206
- Reaction score
- 1,501
- Points
- 201
Saintis China ditahan, kilang haram e-waste RM1.3 bilion disita
SUNGAI SIPUT - Seorang saintis warganegara China antara 27 individu yang ditahan dalam serbuan Op Hazard di sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) haram di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang di sini pada Sabtu.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, kilang yang beroperasi lebih lapan bulan lalu itu dilengkapi dengan mesin-mesin memproses, peleburan dan makmal bagi mengurai bahan logam antaranya timah, besi, aluminium dan tembaga.
"Kilang seluas 4.8 hektar ini mempunyai empat bangunan dan pengoperasiannya menggunakan 10 generator dengan mendapatkan bekalan air dari kawasan lombong berdekatan.
"Siasatan mendapati kilang ini memproses sisa terjadual yang dipercayai dibawa masuk melalui kontena dari beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, Bolivia, Oman yang dilabelkan sebagai makanan haiwan dan garam untuk mengelak dikesan.
"Sisa terjadual seperti besi atau aluminium ini diproses dan dijadikan jongkong logam dan tembaga untuk dieksport semula ke luar negara," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Menurut Shahrum, tangkapan membabitkan dua lelaki warga tempatan dan 25 warga asing termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun.
"Warga tempatan ini dipercayai berperanan sebagai pemilik hartanah dan penyelia yang mengendalikan pekerja di dalam kilang terdiri 11 lelaki warganegara China, 10 lelaki dan dua wanita serta kanak-kanak warga Myanmar.
"Kesemua warga China ada dokumen namun, siasatan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai cop keluar dan masuk ke negara ini.
"Perkara ini kita akan siasat sama ada dokumen tersebut palsu atau tidak manakala warga Myanmar pula tidak mempunyai sebarang dokumen," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Seksyen 14 Akta sama kerana tiada lesen serta Akta Imigresen 1959/63.
16 Februari 2025 03:52pm
Kredit
