Yallah
Super Active Member
- Messages
- 7,171
- Joined
- Jun 21, 2021
- Messages
- 7,171
- Reaction score
- 977
- Points
- 121
Rumah pengasas Republik Islam Iran dibakar penunjuk perasaan
November 19, 2022 @ 4:06amDUBAI: Klip video menunjukkan kebakaran di rumah pusaka pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, tersebar di media sosial, dengan aktivis mendakwa ia dibakar oleh penunjuk perasaan.
Reuters mengesahkan lokasi dua klip video menggunakan gerbang dan bangunan tersendiri yang sepadan dengan imej fail.
Bagaimanapun, agensi berita Tasnim menafikan rumah Khomeini dibakar, sebaliknya menyatakan hanya sebilangan kecil orang ramai berkumpul di luar rumah.
Video media sosial menunjukkan berpuluh-puluh orang bersorak ketika percikan api kelihatan dari dalam sebuah bangunan. Reuters bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan secara bebas tarikh video itu dirakam.
Rangkaian aktivis 1500Tasvir berkata, kejadian itu berlaku pada petang Khamis di bandar kelahiran Khomeini iaitu Khomein, di selatan ibu negara Tehran, yang kini diubah suai menjadi muzium.
"Laporan itu adalah pembohongan. Pintu rumah mendiang pengasas revolusi masih terbuka luas kepada orang ramai," katanya.
Khomeini meninggal dunia pada 1989 dan penggantinya, Ayatollah Ali Khamenei, berada di bawah tekanan hebat daripada penunjuk perasaan seluruh negara.
Mereka menggesa golongan ulama menghentikan pemerintahan keras sejak kematian wanita Kurdish Iran, Mahsa Amini, ketika dalam tahanan polis moral Iran September lalu.
Video berasingan disiarkan oleh 1500Tasvir dikatakan menunjukkan perarakan di beberapa bandar di wilayah Sistan-Baluchistan, termasuk ibu kota Zahedan, di mana penunjuk perasaan melaungkan 'Matilah Khamenei'.
Di bandar Chabahar pula, penunjuk perasaan mengalihkan dan memijak tanda jalan yang dinamakan sempena Ayatollah Khomeini.
Media kerajaan berkata, pihak berkuasa mengadakan upacara pengebumian tujuh orang yang terbunuh di bandar barat daya Izeh dalam apa yang disifatkannya sebagai tindakan pengganas.
Bagaimanapun, rintihan ibu kepada salah seorang mangsa berusia 10 tahun, Kian Pirfalak, boleh didengari dalam video itu yang menyalahkan pasukan keselamatan kerana menembak anaknya.
Klip video yang disiarkan di media sosial dan dikatakan daripada pengebumian Pirfalak menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan 'Khamenei kami akan kuburkan kamu'.
Reuters tidak dapat mengesahkan ketulenan video itu secara bebas tetapi semalam, Tasnim melaporkan berlaku tunjuk perasaan pro-kerajaan di bandar timur laut Mashhad, di mana dua anggota militan Basij terbunuh.
Video di media sosial menunjukkan polis rusuhan berdepan orang ramai yang menghadiri pengebumian Aylar Haghi, seorang pelajar perubatan yang didakwa dibunuh oleh pasukan keselamatan ketika protes di bandar barat laut Tabriz.
Pihak berkuasa sebaliknya mendakwa, dia terbunuh selepas terjatuh ke dalam lubang di tapak pembinaan.
Lewat semalam, protes berterusan di beberapa bandar dan pekan di barat laut dihuni majoriti penduduk Kurdish, termasuk di Piranshahr, di mana penunjuk perasaan menduduki balai polis.
Menurut laman berita Pengawal Revolusi, dua ejen perisikan terbunuh dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan pada malam kelmarin.
Selain itu, tiga Pengawal Revolusi dan seorang anggota Basij terbunuh di Tehran manakala seorang anggota Basiji dan seorang anggota polis terbunuh di Kurdistan. - REUTERS