Rugi RM200,000 wanita beri cek tendang

CG Sponsors




eboss

CG Hardcore
Platinum Member
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,652
Reaction score
1,894
Points
591
KUALA LUMPUR: Seorang sub kontraktor mendakwa kerugian RM200,000 selepas pemilik syarikat perunding yang menjadi orang tengah projek menghias beberapa pasar raya menghilangkan diri akibat 'diburu' ramai pihak yang menuntut hutang.
Mohd Adlan Safry, 39, mendakwa dia hanya diberikan cek tendang oleh wanita itu sebaik menyudahkan kerja menghias beberapa pasar raya antara Mac hingga November lalu.

Menurutnya, sepatutnya sebagai orang tengah, syarikat wanita itu yang mengeluarkan modal tetapi disebabkan percaya, dia menggunakan wang simpanan isteri dan anak untuk menyiapkan projek terbabit.

"Pembayaran sudah dibuat pengurusan pasar raya itu tetapi wang berkenaan tidak sampai kepada saya sebaliknya diberi cek tendang.

"Sebelum ini, kami boleh menjalankan urusan dengan baik namun saya syak perkenalannya dengan seorang lelaki beberapa bulan lalu menyebabkan semua wang syarikatnya lesap malah wanita itu berani meminjam daripada ceti haram," katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Menurutnya, wanita itu juga meminjam wang RM65,000 daripada sebuah syarikat milik kenalannya dan membayar menggunakan cek tendang.

"Berdasarkan pemeriksaan, saya dapati dia berhutang antara lima hingga enam individu dan saya yang paling banyak.

"Sekarang selepas kami cuba menuntut, dia bersembunyi sejak 27 Januari lalu malah suaminya juga tidak tahu di mana dia berada," katanya yang membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras masing-masing pada 3 Disember dan 28 Januari lalu.

Mohd Adlan berkata, dia mengesyaki wanita menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan dipergunakan sehingga semua wang syarikatnya habis begitu saja.

"Kami pula yang menjadi mangsa sehingga kehilangan semua wang yang digunakan untuk menyempurnakan kerja," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Adlan meminta wanita itu tampil membayar semua hutang dan jika gagal dia akan membawa perkara itu ke mahkamah.

"Jika dia mempunyai masalah peribadi, jangan kaitkan orang lain sehingga kami terpaksa tanggung kerugian besar," katanya.
 
Top
Log in Register