BTC USD 61,362.0 Gold USD 2,317.90
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Remaja perempuan hilang

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,652
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,652
Reaction score
1,896
Points
591
MASJID TANAH: “Saya terlalu risau dengan keselamatan dirinya kerana dia seorang perempuan, tetapi paling terkilan apabila dia (Salwa) tidak sempat menjamah sambal udang, walaupun sudah meminta saya memasaknya pada pagi sebelum menghilangkan diri tanpa sebarang pesan.”

Begitu kata Nah Panjang, 71, nenek kepada Nurul Salwa Zamri, 16, yang dipeliharanya sejak kecil apabila pelajar Tingkatan Empat itu keluar dari rumahnya di Kampung Lubok Redan, dekat sini, lebih dua minggu lalu dipercayai mengikut rakan perempuan sebaya yang tidak bersekolah.


Anak sulung daripada dua beradik yang menuntut di sebuah sekolah menengah di Kuala Sungai Baru, di sini, tinggal bersama dengan warga emas berkenaan selepas kedua-dua ibu bapanya berpisah.


Nah berkata, cucu perempuannya dikatakan keluar rumah pada 8 Oktober lalu dengan membawa bersama sebuah beg sandang dipercaya mengandungi pakaian tanpa sebarang wang belanja kerana mungkin terpengaruh ajakan seorang rakan perempuan sekampung.

Menurutnya, dia berasa hairan dengan tindakan cucunya kerana dia adalah seorang anak pendiam dan mendengar kata, malah tidak pernah ponteng sekolah tetapi berubah kelakuan sejak berkawan dengan seorang rakan perempuan yang sudah tidak bersekolah.


“Saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sebelum ini, malah pada hari dia keluar dari rumah dan hilang, dia ada beritahu dengan saya, katanya esok (Jumaat) tak sekolah kemudian suruh saya memasak sambal udang untuk makan tengah hari.

“Pada sebelah paginya (sebelum menghilangkan diri), dia (Salwa) tidak menunjukkan sebarang perubahan malah sempat bergurau senda dengan saya sebelum saya keluar rumah kerana ada majlis perkahwinan.


“Bagaimanapun, apabila pulang semula ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari, saya dapati dia sudah tiada,” katanya.


Nah berkata, anak lelakinya, Yusri Ahmad, 47, memaklumkan ternampak cucunya itu mundar mandir di depan rumah.


Sementara itu, Yusri berkata, dia tidak menyangka Salwa seperti merancang sesuatu apabila melihat gadis terbabit berjalan ke hulu ke hilir di luar rumah kerana anak saudaranya tidak pernah bersikap sedemikian sebelum ini.


Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengesan anak saudaranya, tetapi masih menemui jalan buntu dan meminta bantuan orang ramai yang ternampak atau mengenali Salwa agar dapat menghubunginya di talian 017-2722186.
 
Sponsored Post

Sponsored Post

Back
Top
Log in Register