Rekod & Sejarah Perang Kelantan-Trengganu & Patani - 1795 - 1801

CG Sponsors




TXT

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Top Poster #1
Joined
Mar 15, 2010
Messages
286,796
Reaction score
11,941
Points
2,376
FB_IMG_1605110198595.jpg

FB_IMG_1605110202113.jpg

Rekod & Sejarah Perang Kelantan-Trengganu & Patani - 1795 - 1801.

Nukilan Wan Amir

Deskripsi:
Syahdan Patani-Kelantan-Terengganu itu bersaudaralah.....tapi adalah kisah suatu ketika berperanglah saudara itu, yang menang menjadi raja, kerajaanlah dan yang alah balik ke negeri.
Adalah satu surat Sultan Mansur Terengganu kepada Francis Light membuka satu cerita asal usulnya dan jadilah di zaman Sultan Zainal Abidin II, Patani saudaranya duduk sebelah Terengganu berperang dengan Kelantan, saudaralah juga.

#Terengganu
Maka disebut begini oleh Sultan Mansur kepada Francis Light di dalam warkahnya pada tahun 1787.

"...syahadan sebagai pula kita (iaitu Sultan Mansur Shah) memberi istifham kepada anak kita (iaitu Light) daripada keturunan Raja Johor lalu sampai kepada kita...

"...dan adiknya Sultan Abdul Jalil itu (iaitu Sultan Johor) Sultan Zainal Abidin namanya maka ia beranakkan Sultan Mansur yang jadi Raja Terengganu sekarang ini kerana Sultan Zainal Abidin itu pergi beristeri ke Patani akan anak Datu Muda saudara kepada Raja Patani iaitu Long Baha maka lalu beranakkan Sultan Mansur yang jadi Raja Terengganu maka Sultan Mansur pun beristerikan anak Sultan Sulaiman..."

Maka itulah sebutan bahawa bondanya nama Nang Rogayah itu berbintikan Datu Muda adalah bernama tubuh Long Abdul Kadir memang saudara kepada Long Baha memerintah Jembal melalui jalur Wan Daim juga. Dan sebutan ibunya Rogayah selalu dikata orang Raja Mas Kelantan adalah khilaf, tetapi ibunya adalah RAJA MAS CAYAM.

Maka itulah Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu itu adalah menantu Raja Mas Cayam memerintah Patani pada 1698-1707 buat kali pertama dan memerintah buat kali kedua di antara tahun 1721-1728.

Maka kata orang Patani, Sultan Zainal Abidin I itu MENANTU Raja Patani dan Sultan Mansur itu cucunya Raja Patani.
Adalah sebutan Raja Mas Cayam menabalkan Tun Jenal menantunya menjadi Sultan Terengganu di antara tahun 1721-1728 selepas mangkatnya Sultan Omar, Raja Jembal IV (1662-1721) barulah dia boleh berbuat titah sedemikian dan ketika itu Long Baha bin Wan Daim sudah diangkat oleh Raja Pah binti Sultan Omar bersama besannya Datuk Bendahara Wan Musa Tuan Dagang menjadi Raja Jembal V (1721-1733). Adalah Raja Mas Kelantan, bonda Raja Mas Cayam dengan Raja Pah itu sepupulah, dan bekas madu Raja Pah juga.

Pertabalan Tun Jenal menjadi Sultan Terengganu bergelar Sultan Zainal Abidin I beriringan dengan 80 keluarga Patani dan orang-orang besarnya antara namanya Tok Raja Kilat bersama alat kebesaran berupa sebilah keris panjang bergelar Keris Panjang Mas Cayam, Keris Sakti Gemala Hikmat dan yang lain-lain adatnya. Maka keris panjang Mas Cayam itulah menjadi alat kebesaran Terengganu sehingga sekarang.

Nasab sebelah Bonda :
Sultan Mansur bondanya Nang Rogayah bondanya Raja Mas Cayam bondanya Raja Mas Kelantan (dengan Long Baha bin Wan Daim).

Raja Mas Cayam adik beradik seibu sebapa dengan Raja Long Sulaiman.

Maka Long Yunus dan Nang Rogayah itu sepupu dan Sultan Mansur itu berpangkat anak sepupu kepada Long Yunus.

Dua Orang Putera Sultan Mansur Berbesan dengan Puteri Long Yunus:
1. Tengku Muhammad (Yang Di Pertuan Kelantan) + Engku Tuan Nawi.
2. Tengku Abdul Kadir (Raja Besut) + Che Ku Penambang.

_________________________________________
#Kelantan
Alkisah ketika Perang Kota Kubang Labu II pada tahun 1762, Long Yunus dibantu oleh anak sepupunya Sultan Terengganu, Sultan Mansur, Marhum Janggut itu kerana Nang Rogayah, bondanya Sultan Mansur itu adalah sepupu Long Yunus asalnya Patani.
Maka ditabalkan Long Yunus itu jadi Yang Dipertuan Besar Kelantan dikapit kiri kanan bapa sepupunya, Raja Long Gaffar anak Raja Reman itu bergelar Engku Sri Maharaja Perdana Menteri dan sepupunya Tuan Khomis bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa.

1) Yang Dipertuan Besar Long Yunus beranakkan yang sulung dengan jurutanaknya bernama tubuh Long Mamat kelak bergelar Sultan Muhammad I.

2) Duduk pula dengan Tuan Jumat bergelar Che Puan Balai Dua anak Engku Tena Wangsa Terengganu, beranakkan Che Wan Teh (Che Ku Tuan Nawi), Che Wan Ngah, Che Ku Telor (Che Ku Tila), Engku Che Wok dan Tuan Dagang (Long Muda). Tuan Jumat itu adalah anak saudara Sultan Mansur, Terengganulah dia.

3) Duduk dengan anak Long Kodok beranakkan lima orang, Long Yusof, Long Zainal, Che Ku Penambang, Long Tan dan Long Ismail.
4) Duduk dengan sepupunya Tuan Membunga puterinya Tuan Kundur cucunya Long Baha dengan Raja Pah, beranakkan Long Hassan dan Tuan Namah.

5) Dua anak angkatnya, Sheikh Abdul Halim al Yunani (anak Cina Yunan) dan Tuan Lebar bin Tuan Khomis anak sepupunya sendiri.

_________________________________________
#Patani
Maka adalah Raja Mas Cayam itu ibu mertua Sultan Zainal Abidin I dan mangkatnya Baginda Raja Mas Cayam, Raja Perempuan Patani itu pada 1728M.

Kerajaan Patani diperintah oleh Sultan Alung Yunus bin Long Nik bin Wan Daim, anak saudara dan menantu jugalah kepada Long Baha dengan Raja Pah, kerana Sultan Alung Yunus itu bernikah dengan Tuan Lepok digelar juga Tuan Puteri Balai Kuning.

Mangkatnya Sultan Alung Yunus maka anak Long Baha dengan Raja Pah, Tuan Senik Junuh kerajaanlah di Patani bergelar pula Sultan Haji Yunus bergelar Datu Charakan sehingga tahun 1749M. Bergantilah pula Patani itu Rajanya kepada anak saudara Long Baha juga iaitu Long Nuh bin Long Nik sehingga 1771M.

Maka mangkatlah Long Nuh itu berajalah Patani oleh Raja Bakar sehingga tahun 1774M.

Maka Raja Bakar itu beranakkan dengan keturunan besar Patani tiga orang anak, Long Ahmad bergelar Sultan Muhammad Patani (1774-1785), Tuan Sulong dan Tuan Nang Jamilah dan dengan Che Limah anak Datu Pohon Kerengga, beranakkan Long Ismail dan Long Mansur.

Adapun Sultan Muhammad Patani itu duduk dengan anak Long Yunus iaitu yang bernama Engku Che Wok beranakkan Nang Teluk, Nang Benua, Nang Membang, Nang Jambul Nidan, Tuan Long Hamat dan Tuan Cherang.

Maka dua buah meriam besar Patani, Seri Negara dan Seri Patani itu yang dibuat zaman Ratu Biru adalah duduk jaga raja-raja Patani turun ke Ratu Ungu sehinggalah Sultan Muhammad Patani (SMP) itu diperintahlah Patani itu anak cucu Wan Daim, adik kepada Raja Long Baha bin Wan Daim kerana baginda itu menantu kepada Sultan Omar Jembal, Raja Besar Patani Raya.

Maka disebutlah di dalam surat Sultan Mansur Terengganu itu kepada Francis Light pada 1787, 2 tahun sudah mangkatnya Sultan Muhammad bahawa Patani itu duduk di bawah Terengganu atas kehendak kerajaan juga kerana Tengku Lamidin itu dilantik Siam.

"......sebagai pula adalah fasal bonda kita (Nang Rogayah) yang di sebelah barat itu, ada adik Long Baha jadi raja negeri Patani itu ganti Long Baha dengan segala anak raja-raja itu dia menyerahkan negeri Patani itu kepada kita serta ia memulangkan segala daerah negeri Patani kepada kita maka inilah kita memberi tahu kepada anak kita (gelaran hormat kepada Francis Light)."

_________________________________________

#Keluarga_Belaka

Maka nyata di atas itu memang tiga negeri itu bersaudara asalnya dan apabila turun kepada anak-anak berbesan sesama mereka, anak-anak Yang Dipertuan Besar Long Yunus itu disunting duduklah dengan anak Sultan Terengganu, duduk dengan anak Raja Patani dan ada yang duduk dengan anak Raja Legeh dahulunya Raja Legeh Long Deraman itu dibunuh Long Yunus sendiri ketika Perang Kota Kubang Labu II.

1) Che Ku Wan Teh (Che Ku Tuan Nawi)
bersuamikan Yamtuan Tila Terengganu, bernama tubuh Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur, Terengganu.

2) Che Ku Penambang
bersuamikan Raja Besut I, Tengku Abdul Kadir ibni Sultan Mansur, Terengganu.

3) Che Ku Wok
bersuamikan Long Ahmad bin Raja Bakar (Sultan Muhammad Patani)

4) Che Ku Telor (Ku Tila)
bersuamikan Long Nik bin Raja Long Deraman, Legeh.

_________________________________________

Maka itulah Sultan Muhammad Patani (1771–1785) dengan Che Ku Wok beranakkan :

i) Nang Benua bersuamikan Datu Pengkalan, Raja Long Jaafar beranakkan Tengku Lamidin dan Tuan Sulong.

ii) Nang Teluk bersuamikan Tuan Kuming bin Raja Jenal.

Tuan Kuming itu cicit Long Baha bin Wan Daim daripada kedua belah ayahanda dan bondanya.

Ayahanda : Raja Jenal bin Sultan Hj Yunus bin Long Baha (isteri Raja Pah).
Bonda : Tuan Dewi binti Raja Long Sulaiman bin Long Baha (isteri Raja Mas Kelantan).

Tuan Dewi itu kakanda Yang Dipertuan Long Yunus maka itulah Tuan Kuming adalah anak saudaranya.

Maka bila cucu Yang Dipertuan Long Yunus, Nang Teluk itu bernikah dengan Tuan Kuming peringkat anak sepupulah nikahnya berdua.

iii)Nang Membang*
iv)Nang Jambul Nidan*
v) Tuan Cherang*
vi)Tuan Long Hamat*

* Tidak dibincangkan di dalam posting ini...
_________________________________________

#Perang

Sampailah hukum Tuhan, maka mangkatlah Yang Dipertuan Long Yunus dan Sultan Mansur Terengganu itu mangkat pada tahun yang sama iaitu pada tahun 1794M.

Maka Terengganu itu, Sultan Zainal Abidin II bagindalah Sultannya.
Maka di Kelantan, menantu Long Yunus, suaminya Che Ku Wan Teh, Tengku Muhammad jadilah pemangku Rajanya dahulu adat raja-raja, serah kuasa sebelum kebumikan almarhum. Ada cerita selepas 100 hari mangkatnya Yang Dipertuan Besar, ditabalkan puteranya Long Yunus menjadi Yang Dipertuan Besar yang baru. Maka kata hikayat di Lundang...

"Maka sabdanya Yang Dipertuan Tengku Muhamad pada Long Mamat....apa kehendak kanda mengadap kita dengan ramai-ramai ini.

Maka pada waktu itu panaslah hati Long Hitam mendengar (Long Tan, ayahanda SM II, Long Senik Mulut Merah), lalu jawab Long Hitam dengan panasnya....adakah tuanku tiada buat tidak tahu segala perjanjian itu?"

Tetapi tidaklah terjadi sehinggalah tahun 1799M, maka kata hikayat..."....maka tiadalah juga Tuanku hendak turun, maka tiadalah cara lain melainkan perang.

Maka titah Yang Dipertuan Tengku Muhammad ..jika sudah itu kehendak kanda Mamat silalah berangkat kita mengadap lawan."
Long Mamat dan kekandanya sekalian serta sepupu sepapat kerabatnya, mahu menyerang Kota Galuh tempat bersemayam Tengku Muhammad itu.

Maka kata hikayat, adat tiga bersaudara itu bagaimana Long Yunus itu kerajaan dengan sokongan dua saudaranya, Tuan Khomis dan Long Gaffar maka begitulah Long Mamat adalah sokongan daripada keduanya, Tuan Lebar bin Tuan Khomis dan Long Sri bin Long Gaffar itu.

Maka Long Mamat masuk mengadap saudaranya itu Tuan Lebar yang duduk di Limbat kerana bernikah sudah dengan Engku Che Nik puteri Long Gaffar itu saudara juga.

Tetapi Long Sri putera Long Gaffar itu tiadalah di Kelantan, belum balik menunaikan rukun Islam di Mekah ada berpesan segala pekerjaan tertanggunglah ke atas Tuan Lebar...maka tidaklah menunggu Long Sri balik.

Tuan Lebar pergi ke Kadok mengajak sepupunya, Wan Abdullah anak Penghulu Adas itu sertai perang. Wan Abdullah itu bondanya Tuan Namah binti Tuan Kundur bin Long Baha lah, peringkat 3 pupu juga dengan Long Mamat.

Adapun Tuan Lebar itu peringkat 3 pupu juga dengan Tuan Kuming menantu Sultan Muhammad Patani itu.

Maka sampailah ketentuan, berperanglah di Kota Galuh sekalian bala angkatan maka alahlah Tengku Muhammad itu berundur ke kuala Sungai Kelantan perahulah ke Terengganu, adalah berpesan kepada Wan Mahmud Wan Ibrahim di Kampung Laut (cucunda Long Gaffar melalui Engku Che Kuntum, bergelar Menteri Besar kelak selepas perang) bahawa dia akan kembali mengambil Kelantan.

Sampai ketika waktu...sampailah berita Long Ismail daripada Patani, kekanda almarhum Sultan Muhammad Patani duduk sebelah Terengganu mahu menyerang Kelantan Barat dengan ribuan orang Patani dan Terengganu. Ini adalah kerana seperti sabda Sultan Mansur Terengganu kepada Francis Light, 1201 Hijrah (1787M) dulu, Patani itu duduk di bawah Terengganu selepas mangkatnya Sultan Muhammad Patani pada tahun 1785 syahid dengan Siam;
".....segala anak raja-raja itu dia menyerahkan negeri Patani itu kepada kita serta ia memulangkan segala daerah negeri Patani kepada kita."

Maka Long Mamat, saudaranya sekalian Tuan Lebar, Long Hitam, Long Jenal, Long Ismail, Long Sri (sudah balik daripada Mekah), Wan Mahmud cucunda Long Gaffar, Long Muda, Long Yusof, Penghulu Raja Daud Jembal, Penghulu Che Saad Dalam Kota, Long Dagang, Long Pandak, Wan Abdullah Kadok, Penghulu Tamat Latin, Tok Mekong Penambang dengan segala rakyat turunlah perangi orang Patani dan Terengganu itu 20 hari lamanya, maka alahlah Long Mamat dan sekalian saudaranya berundur ke Kubu Limau Nipis tetapi di langgar juga mereka, berundur pula ke Kubu Kandih tetapi dikapit serang orang Terengganu maka tiadalah tahan berundur ke Pasir Mas.

Orang Long Ismail Patani itu, Datuk Lela Bija Pahlawan itu bertikamlah dengan Tuan Lebar di Bukit Tanjung maka matilah dan Datuk Hulubalang Bendang Chepa dan beberapa orang Patani mengaku alah dan mohon diampunkan dan mahu undur balik ke Patani maka lepaslah.

Long Ismail dan orang Terengganu yang lain itu datang mari langgar pula kubu Pasir Mas, maka tiadalah tahan Kelantan maka alahlah kerana terlalu ramai angkatannya lalu berundur ke Sokor dan Kuala Nal. Maka Long Mamat itu titahkan adindanya Long Hitam itu pergi ke Galas minta orang Cina lombong emas itu mari tolong perang. Maka berbelas hari lepas itu sapa marilah bantuan Cina Galas itu diketuai Tuan Lebar perangilah Long Ismail di Kubu Pasir Mas bersama Long Sri iparnya itu, maka alahlah Long Ismail undur ke Kota Galuh bertemu Tengku Muhammad dan Yang Dipertuan Besar Terengganu, Sultan Zainal Abidin II diikuti orang Kelantan juga maka berperanglah keduanya tidak takut mati. Maka alahlah orang Patani dan Terengganu itu boleh baliklah Kota Galuh itu. Tapi sudahnya hancurlah Kota Galuh itu maka berbuat kota yang baru di Pulau Saba itulah Kota Masenta dan Long Mamat itu bergelar nobat Sultan Muhammad I.

Maka adalah satu meriam Belanda, REMY ME FECIT AMSTELODAMI A, 1686 dengan 4.37" calibre, 92" panjang dan kemampuan menembak 10.5 lb tinggalkan orang Terengganu sehingga sekarang di tapak Kota Galuh itu.

Itulah maka kata orang.... Perang Saudara Kelantan-Terengganu Patani kerana merekalah bersaudara dekatlah.

Sekian...ambo cuba ceritakan seringkas mungkin...nak cerita memang panjang lagi. Kena lepak kedai Tokey Air Buah Gelas Besar sembang sampai pagi baru habis. Belum cerita sebutan Dato Mata-Mata daripada Terengganu lagi. Cukuplah.

Rujukan :
Notes on the old Cannon found in Malaya, and known to be of Dutch origin.C. A. Gibson-Hill. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 26, No. 1 (161)(July, 1953), pp. 145-174.


Sumber: Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah
 
Sponsored Post

jom

Active+ Member
Joined
Jun 18, 2012
Messages
2,633
Reaction score
89
Points
30
Sape boleh translate jawi tue ??
 
Sponsored Post
Top
Log in Register