BTC USD 96,233.0 Gold USD 2,899.27
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Rakyat Malaysia Di Utara Vietnam Di Nasihatkan Bersedia Hadapi Taufan Yagi

Rakyat Malaysia Terkandas Di Sapa Kerana Taufan Yagi

12.09.2024 - Rakyat Malaysia yang terkandas di Sapa, Vietnam masih mencari jalan keluar untuk ke Hanoi ekoran banjir besar dan tanah runtuh disebabkan Taufan Yagi yang bermula Jumaat lalu. Berkongsi kejadian tersebut, Nor Hela Hassan, 30, berkata dia dan tiga orang lagi rakannya tiba di Hanoi, Vietnam pada Jumaat lalu bagi tujuan melancong. Katanya, ketika itu taufan sudah pun bermula membuatkan mereka bergerak ke Sapa pada Sabtu bagi mengelakkan terkena ribut dan angin kuat di Hanoi. Bagaimanapun setibanya Nor Hela dan rakan-rakan di Sapa, tanah runtuh dan banjir besar sudah mula berlaku membuatkan jalan darat untuk pulang ke Hanoi terputus.

“Sepatutnya tiket penerbangan kami pulang ke Malaysia adalah semalam (10 September) tetapi kami terkandas sebab jalan darat ke Hanoi tertutup, jambatan runtuh. Bas semua tidak boleh lalu, yang boleh lalu hanya motosikal sahaja. Hari ini (11 September) kami cuba keluar ke Lao Cai menaiki teksi, tetapi teksi tersebut juga rosak di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Nor Hela, buat masa ini dia dan rakan-rakannya cuba untuk keluar dari Sapa, menuju ke Lao Cai sebelum merancang membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia setelah tibanya di Hanoi.

“Tapi keadaan cuaca di sini masih buruk, hujan berterusan membuatkan semakin banyak kawasan mengalami tanah runtuh. Kami memang pergi sendiri (solo traveller) bukan di bawah agensi pelancongan mana-mana. Buat masa sekarang keadaan kami selamat cuma ada yang demam sebab hari-hari hujan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hela juga berkata dia sudah menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Vietnam sejak awal lagi tiba di negara tersebut bagi memaklumkan keadaan semasa mereka. Katanya, pihak kedutaan menasihati agar dirinya dan kawan-kawan untuk peka dengan pengumuman yang dibuat oleh Wilayah Sapa serta berada di tempat yang selamat sepanjang bencana tersebut berlaku. Terdahulu, media melaporkan petugas-petugas kecemasan bergelut untuk memindahkan beribu-ribu penduduk daripada banjir besar hari ini selepas Taufan Yagi menghentam utara Vietnam, menyebabkan 63 orang terbunuh dan 40 yang lain hilang. Yagi merupakan taufan paling kuat pernah melanda utara Vietnam dalam tempoh 30 tahun dan telah tiba di daratan Sabtu lepas dengan membawa angin selaju 149 kilometer sejam.

Utara Vietnam kini bergelut dengan banjir besar dengan sebilangan komuniti ditenggelami air. Banyak rumah setingkat di bandar Thai Nguyen dan Yen Bai hampir tenggelam sepenuhnya pagi tadi dengan penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung untuk menunggu bantuan. Di Hanoi pula, penduduk di sepanjang Sungai Merah digenangi air dengan mereka terpaksa berpindah.
1726110110516.png
 
Sponsored Post

Hampir 6 Juta Kanak-Kanak Terjejas Di Asia Tenggara

19.09.2024 - Taufan Yagi yang mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh di seluruh Asia Tenggara turut menjejaskan hampir enam juta kanak-kanak, selain memutuskan akses kepada sumber penting seperti air bersih, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan, dan tempat perlindungan, kata Unicef. Dianggap paling kuat melanda Asia tahun ini, agensi PBB itu berkata, Taufan Yagi menjerumuskan komuniti yang memang sudah terpinggir ke dalam krisis yang lebih mendalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Unicef berkata banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Yagi memusnahkan Vietnam, Myanmar, Laos, dan Thailand. Pengarah Serantau Unicef bagi Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi, berkata kanak-kanak dan keluarga yang dalam keadaan paling rentan sedang menghadapi kesan yang paling dahsyat akibat kemusnahan yang ditinggalkan taufan berkenaan.

“Keutamaan mendesak ialah untuk memulihkan perkhidmatan penting yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak dan keluarga, termasuk bekalan air bersih, pendidikan, dan penjagaan kesihatan. Peningkatan kejadian cuaca ekstrem di Asia Tenggara yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim adalah peringatan menyedihkan bahawa apabila bencana melanda, kanak-kanak yang rentan sering menanggung akibat yang paling besar,” katanya dalam kenyataan itu.

Taufan Yagi membawa hujan lebat yang menambah curahan hujan bermusim sedia ada, menyebabkan sungai melimpah dan mencetuskan tanah runtuh yang membawa maut. Sementara itu, Unicef berkata agensi itu bersama rakan kemanusiaan sedang menyalurkan bantuan kecemasan kepada kanak-kanak dan keluarga di kawasan yang terjejas banjir di seluruh Asia Tenggara.Ia termasuk mengagihkan air yang selamat diminum, bahan kebersihan, tambahan pemakanan, dan kit perubatan, sambil menyediakan sokongan kesihatan mental serta bahan pembelajaran dan rekreasi bagi membantu kanak-kanak kembali kepada keadaan normal dan meneruskan pembelajaran serta bermain dalam persekitaran yang selamat.

“Unicef juga komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memastikan usaha pemulihan bertumpu kepada kanak-kanak apabila banjir surut,” katanya.

Unicef berkata lebih 850 sekolah dan lebih 550 pusat kesihatan rosak dengan kebanyakannya berlaku di Vietnam, manakala penilaian masih dijalankan di wilayah itu. Di Vietnam, negara yang paling teruk terjejas, kira-kira tiga juta penduduk termasuk ramai kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi, meningkatkan risiko penyakit. Kira-kira dua juta kanak-kanak juga tidak mempunyai akses kepada pendidikan, sokongan psikososial, dan program pemberian makanan di sekolah.

Di Myanmar, beban berganda konflik yang berterusan dan kesan dahsyat Taufan Yagi memburukkan lagi krisis bagi komuniti yang sudah dipindahkan akibat konflik, sekali gus memburukkan lagi suasana yang sudah genting.Lebih 170 kematian dan lebih 320,000 pemindahan dilaporkan, manakala rangkaian jalan raya, telekomunikasi, dan infrastruktur elektrik mengalami kerosakan teruk di seluruh tengah negara berkenaan.Di utara Thailand pula, hujan lebat dan banjir menjejaskan hampir 64,000 kanak-kanak dengan beberapa sekolah dilaporkan musnah, dan guru terpaksa menjalankan pembelajaran dalam talian dan menghantar bahan pembelajaran ke rumah pelajar. Di Laos, banjir menjejaskan lapan wilayah melibatkan kira-kira 60,000 kanak-kanak, merosakkan infrastruktur penting, dan mengancam mata pencarian komuniti yang sudah bergelut dengan kesan negatif perubahan iklim.

Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/719693
 
Palang Merah SG Perluas Usaha Kumpul Dana Untuk Mangsa Taufan Yagi; Hulur Bantuan S$50,000 Kepada Myanmar

20.09.2024 - Palang Merah Singapura (SRC) memperluaskan usaha bantuannya untuk masyarakat-masyarakat yang terjejas akibat Taufan Yagi dan monsun barat daya yang turut menjejas Myanmar.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar di seluruh rantau ini untuk membantu masyarakat yang terjejas teruk di seluruh Asia Tenggara", menurut Palang Merah dalam satu kenyataan media pada Jumaat (20 Sep).

Sekurang-kurangnya 293 orang di Myanmar terbunuh akibat Taufan Yagi, dengan media pemerintah melaporkan bahawa hampir 270,000 hektar sawah dan tanaman lain musnah akibat banjir. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah memberi amaran bahawa seramai 630,000 orang mungkin memerlukan bantuan di Myanmar akibat taufan itu. Kerosakan itu menyebabkan pemerintah junta mengeluarkan rayuan yang meminta bantuan asing pada hujung minggu lalu. Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Yagi telah menjejas hampir 6 juta kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara, dedah PBB pada 18 Sep. SRC akan menyumbang S$50,000 untuk menyokong usaha bantuan bencana di Myanmar, bekerjasama rapat dengan Persatuan Palang Merah Myanmar.

"Ini akan membiayai pengagihan makanan, air bersih, kit kebersihan, dan bekalan penting lain kepada masyarakat-masyarakat yang paling teruk dilanda musibah baru-baru ini," katanya.

"Disebabkan keperluan mendesak untuk air minum yang selamat, SRC juga akan menghantar penapis air dalam masa beberapa minggu akan datang."

Sokongan untuk Myanmar diumumkan selepas komitmen awal SRC sebanyak S$50,000 setiap satu terhadap bantuan kemanusiaan untuk Laos dan Vietnam. SRC menyatakan bahawa rayuan untuk mengumpul dana akan menyokong usaha bantuan dan pemulihan di Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Filipina dan Vietnam.

whatsapp_image_2024-09-20_at_5.37.48_pm.jpeg
1726848828170.png

whatsapp_image_2024-09-20_at_5.37.55_pm.jpeg



OPERASI SRC DI LAOS DAN VIETNAM

Pasukan respons SRC seramai tiga anggota tiba di Laos pada 16 Sep untuk memberikan sokongan bagi operasi bantuan dan penilaian keperluan.

"Pasukan itu dikerahkan ke wilayah Luang Namtha, di mana 40,000 orang di dua daerah memerlukan bantuan segera, dan menjalankan penilaian keperluan dan aktiviti bantuan di Kampung Thong Kua dan Kampung Tavanh di wilayah Luang Namtha," dedah SRC.

Di Kampung Thong Kua, pasukan itu mengedarkan kit isi rumah yang mengandungi selimut, kelambu dan barangan lain. Mereka juga dikerahkan ke Kampung Tavanh untuk mengajar penduduk kampung dan sukarelawan Palang Merah Lao cara-cara menggunakan penapis air. Pasukan itu akan terus berada di Laos sehingga 24 Sep.

"Jika sokongan tambahan diperlukan, SRC bersedia untuk menempatkan lebih banyak pasukan untuk membantu usaha pemulihan."

SRC juga menghantar 50 penapis air ke Laos melalui Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Penapis air akan membantu meningkatkan akses masyarakat kepada air minum yang bersih. Pada Oktober, SRC akan menghantar satu lagi pasukan seramai tiga anggota ke Vietnam untuk menyokong usaha pemulihan awal. Rancangan juga sedang dijalankan untuk menghantar sebuah pasukan ke Yangon, di mana perbincangan akan tertumpu kepada usaha bersama bagi operasi bantuan dan pemulihan yang berterusan di Myanmar, dengan tumpuan untuk menangani kedua-dua keperluan mendesak dan berterusan bagi masyarakat-masyarakat yang paling teruk terjejas, kata SRC. Benjamin William, Ketua Pegawai Eksekutif dan Aetiausaha Agung SRC, berkata "kesan dahsyat" Taufan Yagi diburukkan lagi dengan monsun barat daya, mencetuskan salah satu bencana iklim paling dahsyat di Asia Tenggara.

"Kehilangan nyawa, termasuk kanak-kanak dan warga tua, dan pemindahan besar-besaran masyarakat telah menyebabkan banyak kemusnahan dan kesedihan. Semasa krisis, perpaduan adalah kekuatan terbesar kami."

Menurut Encik William, SRC sedang bekerjasama dengan rakan-rakan mereka di seluruh Asia Tenggara untuk berkongsi sumber, dan ia bersedia memberikan bantuan tambahan.

"Kami berharap rakyat Singapura akan menyokong usaha kemanusiaan kami, dan menyumbang dengan murah hati kepada pengumpulan dana kami."

Rayuan awam Palang Merah Singapura untuk mengumpul derma bagi respons banjir Asia Tenggara bermula pada 13 Sep dan akan diteruskan sehingga 31 Okt. Orang ramai boleh menderma melalui kad kredit di laman web SRC atau menerusi Giving.sg. Kaedah pendermaan lain, termasuk PayNow, cek, menderma secara peribadi atau pengumpulan dana juga disediakan.

Berita asal https://berita.mediacorp.sg/singapu...gi-hulur-bantuan-s50000-kepada-myanmar-878621
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register