PRU13 panas, getir dan mencabar

CG Sponsors




dhiaperfumes

Banned
Joined
Nov 12, 2009
Messages
41,571
Reaction score
63
Points
120
'Just around the conner' itu pepatah Inggeris yang gemar dipakai apabila sesuatu peristiwa itu begitu dekat masanya akan berlaku. Dan pertanyaan 'bila tarikh mengundi', adalah antara yang paling popular ditanya sepanjang minggu ini, tidak kiralah samada di kalangan ahli politik itu sendiri, petugas media hatta orang kebanyakan termasuk yang sedang makan tengahari di restoran ayam penyet ataupun yang sedang minum petang di kopitiam-kopitiam kecil di kampung.

Bila dan hari apa pun yang akan ditentukan oleh SPR selepas bermesyuarat Rabu ini, kita tunggu dan lihat sahaja. Biar mereka yang terlibat mengendalikan proses pilihan raya itu yang menetapkan. Kita sebagai pengundi ada banyak lagi perkara yang perlu diketahui sebelum tiba masa untuk memangkah calon kegemaran kita.

Ia perlu anda ketahui kerana sebelum anda mengundi pastinya anda juga mahu menjadi pengundi yang berpengetahuan dan tahu isu semasa. Bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ikuti penjelasan beliau berhubung beberapa persoalan yang dikemukakan oleh Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir dan rakaman lensa oleh Mohd Zulfadzli Ahmad Zaki.


Apa perkara baru yang akan dibuat pada PRU13 kali ini?

Aziz: Kita akan melaksanakan 19 perkara baru pada PRU13 kali ini. Dan ia adalah hasil daripada cadangan pelbagai pihak. Antaranya ialah syor oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC). Penubuhan PSC ini telah melonjakkan usaha SPR ke arah penambahbaikan dalam semua bidang berkaitan urusan pilihan raya. Ada juga perkara baru itu atas inisiatif SPR sendiri dan juga cadangan daripada parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagi pihak SPR, kita sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan bagi memperbaiki pengurusan dan proses pilihan raya negara ini. Misi utama kami ialah untuk mengurus, memelihara dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui sistem pilihan raya yang bebas dan adil. Justeru, hasil daripada cadangan, desakan dan syor-syor yang dikemukakan kepada kami selain inisiatif kami sendiri, 19 perkara baru yang akan dilaksanakan ialah:

1. Penggunaan dakwat kekal bagi pengundian awal dan pengundian biasa.
2. Pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan, serta anggota polis dan pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA).
3. Pengundian pos bagi warganegara Malaysia di luar negara selain Pengundi Tidak Hadir (PTH).
4. Pembersihan Daftar Pemilih, perkara ini dilaksanakan setiap masa sepanjang tahun.
5. Akses media kepada semua pihak yang bertanding.
6. Pelanjutan tempoh berkempen daripada 7 hari ke minimum 11 hari.
7. Melantik pemerhati pilihan raya tempatan dan antarabangsa.
8. Tiada bantahan dibenarkan pada hari penamaan calon. Mereka yang menghantar penamaan calon juga tidak dibenarkan lagi menarik diri selepas proses penamaan calon dibuat.
9. Bagi pemilih orang kurang upaya (OKU), mereka kini boleh dibantu untuk membuang undi oleh orang yang dipercayai dan yang dinamakan oleh mereka. Tidak lagi terhad kepada keluarga terdekat seperti sebelum ini.
10. Susunan kedudukan ejen-ejen tempat mengundi juga ditambah baik bagi memudahkan mereka memerhati setiap pemilih yang memasuki saluran pengundian.
11. Petugas media yang terlibat membuat liputan pilihan raya dibenarkan mengundi secara pos.
12. Pemanjangan tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tahunan, daripada 7 hari kepada 14 hari.
13. Kertas penamaan calon juga hanya perlu dikemukakan satu salinan sahaja kepada Pegawai Pengurus.
14. Tidak membenarkan calon menarik diri selepas tamat waktu penamaan calon.
15. Penggunaan pen mata bola ketika mengundi bagi menggantikan pensel turut diperkenalkan.
16. Tiada khemah dan jamuan disediakan semasa hari penamaan calon kecuali kepada petugas SPR sahaja.
17. Lantikan Awal Pegawai Pengurus bagi mempercepatkan urusan pentadbiran terutamanya dalam pengurusan Undi Pos, namun perkara ini masih di dalam peringkat perancangan;
18. Perlaksanaan Kod Etika 'Caretaker Goverment'.
19. Portal PRU13 khas bagi memberikan maklumat terkini mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13. Portal ini termasuk mengeluarkan keputusan pilihan raya yang boleh diakses semua pengunjung portal.

Berdasarkan 19 perkara baru ini, SPR telah membuat persiapan rapi termasuk perolehan peralatan dan logistik, program latihan kepada petugas, sesi simulasi dan penerangan kepada parti-parti politik dan pihak media. Apa yang saya harapkan, perkara-perkara baru yang akan dilaksanakan ini akan menjadi lebih berkesan jika parti politik dan pengundi memahami dengan jelas setiap proses yang akan dilaksanakan itu melalui makluman-makluman yang berterusan dari SPR.


Mengapa 19 perkara ini perlu?

Aziz: Ia adalah usaha penambahbaikan yang berterusan dalam pilihan raya. Walaupun memang ada tuntutan itu, namun kita juga dari semasa melakukan proses penambahbaikan ini sebagai proses yang berterusan. Perkara ini kita lakukan bagi meningkatkan tahap ketelusan dalam setiap proses pilihan raya seperti penggunaan dakwat kekal semasa proses pengundian, membuat pengubahsuaian kedudukan ejen calon dalam pusat pengundian. Ia dibuat bagi memastikan ejen itu dapat melihat pengundi yang masuk dan lain-lain lagi. Selain itu perkara juga dilakukan untuk meningkatkan keyakinan kepada pengundi bahawa undi mereka itu adalah rahsia selain meningkatkan kecekapan dalam proses pilihan raya bagi memastikan setiap proses dalam pilihan raya itu berjalan lancar.


Bagaimana dengan tuntutan BERSIH? Berapa peratus yang dilaksanakan dan mengapa ada yang tidak dapat ditunaikan?

Aziz: Bersih1.0, 10 November 2007 muncul dengan 4 tuntutan iaitu 1) Penggunaan dakwat kekal; 2) Pembersihan daftar pemilih; 3) Hapuskan undi pos; dan 4) Akses media yang bebas. Kemudian Bersih 2.0, 9 Julai 2011 datang pula dengan 8 tuntutan iaitu 1) Bersihkan daftar pemilih; 2) Mengkaji undi pos; 3) Gunakan dakwat kekal; 4) Masa kempen minimum 21 hari; 5) Akses media yang bebas dan adil; 6) Kukuhkan institusi awam; 7) Hentikan rasuah; dan tuntutan ke 8) Hentikan politik kotor. Tidak habis dengan itu kemudian Bersih pada 28 April 2012 lalu yang mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka.

Berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh Bersih, pada SPR, ia tidak lagi menjadi isu. Perkara yang dibangkitkan itu telah dijelaskan dan akan dilaksanakan dalam PRU13.

Walau bagaimanapun, daripada 8 tuntutan Bersih tahun 2012, 3 tidak dapat dilaksanakan SPR seperti kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor, kerana di luar bidang kuasa SPR. Apa yang diperuntukkan oleh undang-undang ataupun apa yang boleh dibuat dalam bidang kuasa SPR, SPR akan laksanakan penambahbaikan itu.


Bagaimana Tan Sri melihat kerjasama parti-parti politik dan jentera mereka bagi memastikan pilihan raya kali ini lebih baik dan seperti diharapkan?

Aziz: Banyak pihak mengatakan PRU13 kali ini adalah paling sengit, paling mencabar dan dikatakan the mother of general election. Tidak kurang juga yang mengatakan PRU13 kali ini adalah pilihan raya paling panas atau terburuk. Ia dianggap paling panas dan mencabar kerana masing-masing ingin mempertahankan kerusi yang dimenangi baik di peringkat Parlimen ataupun di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan ada satu pihak lagi cuba untuk mendapatkan kerusi yang akan ditandingi nanti.

Pertembungan tujuan yang sebegitu menyebabkan PRU13 dikatakan panas.

Namun, dalam situasi ini SPR tidak seharusnya diheret dalam permainan politik. Kedudukan SPR dalam urusan pilihan raya adalah jelas sepertimana dalam peruntukan Perlembagaan.

Kami berusaha untuk memastikan persiapan fizikal dan mental dan sentiasa bersedia bagi menjalankan PRU13 sebaik mungkin. SPR sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan negara dan bertanggungjawab untuk menguruskan pilihan raya negara dan kami berkeyakinan bahawa PRU13 nanti adalah PRU yang terbaik, dijalankan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang, dirancang dengan rapi dan mendapat sokongan serta kerjasama semua pihak terutamanya parti politik bagi memastikan perjalanannya lancar, teratur dan telus.

Parti politik adalah pemain utama dalam pertandingan (pilihan raya). SPR telah menyediakan gelanggang dan segala kelengkapan yang diperlukan untuk pertandingan. Parti politik di pihak mana sekalipun seharusnya bertanding secara sihat dan tidak mengikut emosi membuta tuli.

Jika ada yang mengatakan PRU kali ini yang terburuk pula kerana wujudnya persepsi yang mengatakan berlakunya penipuan oleh SPR dalam pilihan raya. SPR menafikan perkara itu, kerana “terburuk” itu adalah tuduhan untuk mencipta persepsi bahawa SPR tidak boleh dipercayai atau tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pilihan raya. Berdasarkan kepada banyak perkara baru itu, SPR tidak percaya bahawa PRU13 adalah yang terburuk.

Kita mengharapkan kerjasama semua pihak seperti parti politik, penyokong dan pekerja parti serta pengundi supaya sama-sama memastikan perjalanan PRU13 lancar, teratur, aman dan dilaksanakan dengan jayanya.


Sejak bahang pilihan raya terasa semakin panas, dan sejak pembangkang menguasai beberapa negeri, SPR dilihat sebagai sasaran utama fitnah, ketidakpuasan hati malah semacam mainan politik untuk menunjukkan SPR tidak telus dan berkomplot dengan Barisan Nasional, mengapa ia berlaku?

Aziz: Saya ingin ingatkan di sini. SPR ditubuhkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya berkaitan pilihan raya, berlandaskan kepada undang-undang dan dibuat secara profesional.

Memang ada pihak yang sengaja membuat pelbagai dakwaan terhadap SPR hanya berasaskan kepada beberapa andaian dan persepsi semata-mata dan tidak pernah dapat dibuktikan pun melalui petisyen-petisyen pilihan raya sama ada selepas pilihan raya umum (PRU) ataupun pilihan raya kecil (PRK).

Apa yang SPR buat sering kali diberikan persepsi negatif walaupun apa yang dilaksanakan itu adalah berdasarkan cadangan dan pandangan serta desakan sesetengah pihak.

SPR perlu melaksanakan kerjanya berdasarkan kepada undang-undang kerana jika tersalah membuat keputusan, pilihan raya itu akan dicabar dan akan menjejaskan integriti SPR sebagai badan bebas dalam mengendalikan pilihan raya negara ini. Kenyataan mengatakan SPR tidak telus hanyalah satu persepsi yang dilemparkan bertujuan untuk merosakkan sistem pilihan raya di negara ini.

SPR adalah sebuah badan bebas dan profesional serta bersedia menyediakan ruang secukupnya kepada semua pihak mengemukakan komen, pandangan, cadangan bagi membolehkan mereka bersama-sama membantu SPR memastikan PRU13 yang akan datang adalah yang terbaik dan terbersih.

Dalam menjamin sistem pilihan raya yang telus dan adil, Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan membenarkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR untuk mengemukakan petisyen pilihan raya kepada mana-mana Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya diadakan.

Dalam hal yang sama, jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi, mereka boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibuat. Jadi jika ada bukti mengatakan kami tidak telus atau dipengaruhi mana-mana pihak supaya mengikut atau menurut kehendak mereka sila kemukakan bukti dan bawa ke mahkamah.


Apa penjelasan yang rakyat perlu tahu mengenai isu-isu seperti pengundi hantu, nama yang sama, kontroversi IC pengundi polis/tentera dan IC biasa, pengundi luar negara, proses pengundian awal dan sebagainya.

Aziz: Pelbagai isu yang dibangkitkan itu telah banyak kali diperjelaskan oleh SPR melalui akhbar, televisyen dan radio. SPR juga telah mengeluarkan buku siri penjelasan berkaitan isu-isu itu. Bagi pihak-pihak tertentu, isu-isu itu sengaja diulang-ulang bagi memperlekeh usaha-usaha yang telah dibuat oleh SPR dalam membersihkan daftar pemilih.

Bagi pengundi pos luar negara, persoalan memberikan hak dan menyediakan kemudahan untuk rakyat Malaysia di luar negara menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan mengundi dalam PRU13 tidak lagi timbul. SPR telah mula membuka permohonan kepada mereka yang layak seperti yang disyaratkan oleh SPR mulai 21 Januari 2013 dan tempoh permohonan itu telah berakhir pada tengah malam 04 April 2013. iaitu jam 12 malam pada hari pembubaran Parlimen. Selama 71 hari dibuka, hanya 5,360 yang telah diluluskan.

Banyak perbelanjaan telah diperuntukkan iaitu hampir RM2 juta bagi membiayai kos untuk urusan pengundian pos kepada rakyat Malaysia di luar negara termasuk kos menghantar pegawai memberi latihan kepada perwakilan Malaysia di luar negara.

Rakyat perlu mendapatkan maklumat yang betul dan tepat melalui sumber yang sah, iaitu daripada pihak SPR sendiri. Jangan mudah terpedaya atau terpengaruh dengan khabar angin atau provokasi pihak-pihak tertentu.


Bagaimana dengan persediaan pengundian di kawasan yang dikatakan sebagai 'kerusi panas'?

Aziz: SPR telah membuat pelbagai persiapan tanpa mengambil kira isu 'kerusi panas' ataupun tidak. Pada Mesyuarat Khas yang akan diadakan dalam tempoh terdekat nanti, SPR akan dapat mengetahui status persiapan secara terperinci di negeri-negeri.


Bagaimana pula dengan inovasi dalam berkempen menggunakan “mobile campaign”?

Aziz: Inovasi kempen seperti bus, lori, van sebagai “mobile campaign” atau kempen bergerak, memang dikenal pasti akan ada pada siri kempen kali ini. Saya ingin ingatkan jentera dan pemimpin parti bahawa kempen sebegini memerlukan permit polis.

Mobile campaign ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan SPR menyeru kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakan bentuk kempen ini supaya mendapatkan kelulusan daripada pihak polis terlebih dahulu. Apabila kelulusan telah diberikan, mereka juga perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi mengelakkan berlaku pertembungan dengan parti lain semasa berkempen. Pertembungan ini boleh mencetuskan konflik ataupun provokasi. ini perlu diberi perhatian serius oleh semua calon.


Sejauh mana benarnya bahawa 'Undi Itu Rahsia'?

Aziz: Kenapa undi anda adalah rahsia, kerana semasa proses pengundian, tidak seorang pun daripada kerani-kerani SPR yang bertugas itu dibenarkan membuat apa-apa catatan pada kertas undi mahupun pada Buku Daftar Pemilih yang digunakan.

Begitu juga semasa memberikan kertas undi kepada pengundi, kerani berkenaan juga tidak membuat apa-apa tanda dan perbuatan menceraikan kertas undi daripada buku kertas undi itu dilakukan di hadapan pengundi itu sendiri.

Proses pengundian itu pula setiap masa disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertugas dalam tempat mengundi itu. Nombor siri dicetak pada kertas undi adalah untuk merekodkan bilangan kertas undi dalam satu buku kertas undi. Undi anda akan kekal kerahsiaannya kerana nombor siri pada kertas undi tidak dicetak selari dengan nombor dalam Buku Daftar Pemilih yang digunakan.

Saya ingin beri jaminan bahawa kerahsiaan undi anda semua terjamin kerana semasa pengundi menanda kertas undi di petak undi, tidak ada sesiapa pun melihat proses itu. Kertas undi yang ditanda akan dilipat sebanyak dua kali bagi memastikan lipatan itu tidak terbuka semasa pengundi memasukkan kertas undi dalam peti undi.

Apa yang penting, laksanakan tugas dan peranan anda sebagai warganegara yang layak mengundi untuk mengundi calon yang anda inginkan. Anda tahu peraturan dan anggap undi anda satu yang serius untuk masa depan anda. Satu undi anda akan menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah. justeru jangan abaikan tanggungjawab ini.
 
Top
Log in Register