Yallah
Super Active Member
- Messages
- 7,297
- Joined
- Jun 21, 2021
- Messages
- 7,297
- Reaction score
- 1,016
- Points
- 151
Polis Filipina giat buru pendakwah didakwa terlibat jenayah seks
September 8, 2024 @ 6:16amMANILA : Polis Filipina meneruskan operasi memburu pendakwah kontroversi, Apollo Quiboloy, yang didakwa terlibat dalam aktiviti perdagangan manusia dan penderaan seksual terhadap wanita serta gadis bawah umur seawal usia 12 tahun.
Polis percaya Quiboloy, 74, yang mengaku dirinya sebagai 'anak tuhan yang dilantik' sedang bersembunyi dalam sebuah 'bunker' kubu bawah tanah bersama empat rakan sejenayah lain.
Bunker itu terletak di bawah kawasan gereja 'Kingdom of Jesus Christ' (KOJC) yang diasaskan Quiboloy, seluas 30 hektar di bandar Davao, selatan Filipina.
Media Filipina melaporkan, KOJC mendakwa mempunyai empat juta pengikut di negara ini dan dua juta ahli di luar negara termasuk Malaysia dan beberapa negara berjiran.
Quiboloy adalah penasihat rohani bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang keluarganya menganggap Davao sebagai kubu politik mereka.
Operasi memburu pendakwah itu memasuki hari ke-14 sejak bermula 6 September lalu, dengan pengikut KOJC terus menghalang pihak berkuasa meskipun waran tangkap dikeluarkan terhadap pendakwah itu dan rakan sejenayahnya.
Ribuan anggota polis dikerahkan dalam operasi besar-besaran bagi memberkas pendakwah dalam buruan itu.
Walaupun Quiboloy belum ditemui, polis menemui laluan berselirat yang menjadi terowong rahsia yang menempatkan beberapa bilik dalam kawasan hartanah KOJC.
Ia termasuk penemuan beberapa kemudahan yang dipercayai pernah digunakan untuk mengurung wanita sebelum dipaksa melakukan hubungan seks atau penderaan seksual oleh pendakwah terbabit.
"Kita tidak akan berhenti sehingga Quiboloy ditangkap. Kita tidak akan berpaling daripada mangsa-mangsa yang tiada daya dan suara ini," tegas Ketua Polis Wilayah Davao, Brigedier Jeneral Nicolas Torre II.
Beliau berkata demikian sebelum sesi pendengaran di Senat Filipina yang menjalankan siasatan tatacara operasi memburu Quiboloy.
Siasatan diketuai Senator Ronald dela Rosa, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Filipina sewaktu pentadbiran Duterte.
Beliau bersama Senator Robin Padilla dan Bong Go, yang juga sekutu Duterte, turut terlibat dalam sesi pendengaran sama.
Sementara itu, Torre berkata pihaknya mendapati Quiboloy mempunyai bilik tidur di tingkat bawah setiap tiga bangunan di kawasan tersebut.
Tambah beliau setiap bilik dikelilingi bilik tidur lain yang dipercayai didiami oleh wanita yang didakwa dipaksa melakukan hubungan seks dengan Quiboloy.
Polsi turut menemui sebuah kemudahan tiga tingkat di bawah sebuah rumah besar di kawasan KOJC, yang didakwa menempatkan mangsa seksual Quiboloy.
Memetik laporan akhbar tempatan The Daily Tribune menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial pada 28 Ogos lalu, terdapat kemudahan satu tingkat dengan bilik gelap dilengkapi barisan katil bertingkat, dinding konkrit dan lantai kotor.
Terdapat juga kemudahan lebih selesa, lengkap dengan perabot moden dan sistem pencahayaan terang, di mana kelihatan beberapa pakaian dan barangan dipercayai digunakan oleh wanita yang ditempatkan di situ.
Selain Filipina, Quiboloy kini turut berdepan waran tangkap di Amerika Syarikat (AS) atas pelbagai tuduhan penderaan kanak-kanak, perdagangan seksual, konspirasi dan penyeludupan wang dalam jumlah besar. - AGENSI