03.04.2024 - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari atas kejayaan menjuarai Kejohanan Skuasy Klasik London.
“Tahniah saya ucapkan, semoga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya menerusi catatan di laman Facebook hari ini.
Anwar berkata beliau turut dimaklumkan bahawa Sivasangari menjadi pemain Malaysia pertama mara ke final kejohanan bertaraf emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas kali terakhir dilakukan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada 2015.
Sivasangari melakar sejarah tersendiri selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London dengan menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir, di pentas final pada Isnin. Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Sivasangari ke atas El Hammamy sepanjang enam pertemuan sebelum ini. Kejayaan ke final kejohanan bertaraf emas itu juga menyamai rekod yang pernah dicatatkan Nicol pada 2015.
03.04.2024 - Ratu skuasy negara S. Sivasangari melangkah ke final edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London berlangsung di Alexandra Palace, semalam. Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mempamerkan aksi cemerlang untuk mengetepikan pemain keempat dunia Nele Gilis dari Belgium 10-12, 11-7, 10-12, 11-9 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung lebih satu jam. Sementara itu, Sivasangari berkata dia puas hati dengan permainan dipamerkannya sehingga dapat menewaskan Gilis yang disifatkannya sebagai pejuang.
“Saya menang hari ini, saya mengambil sikap positif daripada kemenangan semalam dan percaya pada diri sendiri. Gilis adalah seorang pejuang, dia sentiasa menekan, menggugat mental lawan melalui pukulannya,” katanya.
Pemain di ranking ke-16 dunia itu akan berdepan pemain kedua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy di gelanggang final malam ini.
Sivasangari Singkir Pemain Nombor Satu Dunia El Sherbini
03.04.2024 - Jaguh skuasy wanita negara S. Sivasangari meneruskan rentak cemerlang pada edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London dengan menyingkirkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dari Mesir di peringkat suku akhir, pada Sabtu. Juara Sukan Asia 2022 itu mengambil masa 24 minit untuk mencipta kejutan ke atas El Sherbini 11-9, 11-9, pada pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf Emas di Alexandra Palace, London. Pemain nombor 16 dunia itu berpeluang mencipta satu lagi kejutan ke atas pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila dijadual bertemu pemain nombor empat dunia dari Belgium Nele Gilis di separuh akhir, hari ini.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi suku akhir Gilis bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan pemain tuan rumah, Gina Kennedy, 6-11, 11-6, 11-3. Bercakap kepada PSA selepas perlawanan, Sivasangari masih tidak percaya dapat mengalahkan juara dunia tujuh kali, El Sherbini buat kali pertama selepas tiga pertemuan.
"Ia tidak masuk akal. Saya amat menghormati El Sherbini, beliau terbaik dalam kejohanan dan benar-benar berbakat. Untuk menewaskan pemain seperti itu, hari ini saya berjaya capai kecemerlangan dalam pertandingan,” katanya.
Dengan kemenangan ini, pemain berusia 25 tahun itu juga muncul sebagai pemain pertama di luar ranking 10 terbaik dunia menewaskan pemain Mesir itu sejak Annie Au dari Hong Kong semasa pusingan pertama Kejonanan Cleveland Classic 2015 di Ohio, Amerika Syarikat.
03.04.2024 - Ratu skuasy negara S Sivasangari melakar sejarah tersendiri selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London dengan menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir di pentas final pada Isnin. Juara Sukan Asia 2022 itu bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum mencipta kejutan dengan keputusan 3-2 ke atas El Hammamy pada pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf emas di Alexandra Palace, London itu. Sivasangari ranking ke-13 dunia bermula dengan baik apabila berjaya meraih kemenangan set pertama 11-9, sebelum El Hammamy bangkit merakam kemenangan 11-5 di set kedua.
Set ketiga, kawalan permainan ternyata lebih memihak kepada Sivasangari apabila beliau kembali di depan dengan kemenangan set ketiga 13-11, namun El Hammamy belum sedia mengibarkan bendera putih kembali merapatkan mata dengan kemenangan 14-12. Set penentuan, berbekalkan momentum meraih dua kemenangan masing-masing mengejutkan pemain ranking pertama dunia Nour El Sherbini dari Mesir (suku akhir) dan ranking keempat dunia Nele Gilis dari Belgium (separuh akhir), pemain berusia 25 tahun itu membuktikan beliau lebih layak merangkul kejuaraan tersebut apabila menoktahkan kemenangan 11-8 ke atas El Hammamy.
Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Sivasangari ke atas El Hammamy sepanjang enam pertemuan sebelum ini. Kejayaan ke final kejohanan bertaraf emas itu juga menyamai rekod yang pernah dicatatkan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada 2015.
"Tiada kata untuk menggambarkannya (kemenangan ini) tapi saya sangat gembira dengan cara saya menangani minggu ini dengan menewaskan pemain dalam ranking 10 terbaik tiga kali. Mereka semua pemain yang baik. Gembira dengan cara saya memenangi kejohanan ini,” katanya.
Kejayaan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598 (RM83,141).