cek mek molek
CG Super Hardcore Club






- Messages
- 130,530
Paid Membership
Top Poster #4
- Joined
- Jun 3, 2013
- Messages
- 130,530
- Reaction score
- 22,504
- Points
- 2,866
- Awards
- 1
Petisyen PRU15: Mahkamah tolak bantahan Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Februari 17, 2023 @ 3:28pm
Datuk Ahmad Amzad Hashim
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini yang bertindak sebagai Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim terhadap petisyen yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Petisyen pilihan raya itu difailkan calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong.
Setiausaha Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Ahmad Lufti Awang, berkata keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril melalui prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat mahkamah selepas mempertimbangkan hujahan-hujahan daripada kedua-dua pihak pada 30 Januari lalu dan hujahan-hujahan bertulis yang difailkan selepas itu.
Katanya, mahkamah memutuskan untuk menolak lima alasan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam responden melalui Notis Bantahan Awal bertarikh 30 Januari lalu dengan kos dalam kausa (tanpa perintah kos).
"Justeru, Petisyen Pilihan Raya bagi Bahagian Pilihan Raya P.036 (Kuala Terengganu) ditetapkan untuk perbicaraan penuh selama 20 hari iaitu 3 hingga 6 April, 10 hingga 13 April, 15 hingga 18 Mei, 22 hingga 25 Mei, 29 hingga 31 Mei dan 1 Jun depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada prosiding secara dalam talian hari ini, Ahmad Amzad diwakili peguam, Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal.
Mohd Zubir yang juga pempetisyen diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun , Muhammad Amin Othman, Norhazira Abu Haiyan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif.
Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, MarangKemaman.
Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dilaporkan berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Ahmad Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 dengan majoriti 40,907 undi dalam pertandingan empat penjuru.