Perihal yang undur dan digugurkan

CG Sponsors




dhiaperfumes

Banned
Joined
Nov 12, 2009
Messages
41,571
Reaction score
63
Points
120
Saya bukan orang politik dan kalau boleh, tidak mahu berbicara mengenai politik, kerana lebih ramai yang mahir membicarakannya. Apa lagi apabila politik yang sepatutnya bersih itu, dikotorkan oleh segelintir yang mahu mengotorkannya.

Namun, dalam keadaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah terlalu dekat ini, mana mungkin menjauhkan diri daripada ‘pesta’ politik ini. Hari ini, bertambah banyak teka-teki mulai terjawab dan kekusutan terungkai, terutama berkaitan dengan persoalan siapa bertanding di mana, siapa lawan siapa dan siapa jadi apa.

Maknanya, kita sudah tahu siapa dicalonkan, berapa muka baru, berapa muka lama dan siapa yang kena gugur atau undur secara sukarela. Saya tidak mahu memeriahkan lagi spekulasi kerana sudah ramai pendeta mampu membuat ramalan dengan baik.

Memadailah saya melihat dari sudut peranan semua yang terlibat, sama ada mereka calon, bekas calon, tak jadi calon, pemimpin dan penyokong parti. Untuk mereka yang undur secara sukarela, saya ucapkan syabas atas kesediaan mereka melakukannya. Tindakan seperti itu bukanlah mudah dilakukan. Kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Bukan mudah turun kalau sudah duduk di atas. Legenda tinju dunia Muhammad Ali pernah berkata: “It is not easy to be humble when you are at the top!.” Seorang bekas menteri pernah menceritakan kenapa sesetengah orang politik, apa lagi yang berada di atas, payah sangat hendak berundur.

Mereka ini hanya memberi laluan kepada orang lain hanya apabila keadaan memaksa, sama ada kerana fakta kesihatan atau menjadi beban kepada parti. Apa pun, paling baik adalah jika kita tahu masa untuk berundur dan sanggup berbuat demikian, sebelum orang meluat. Saya percaya semua yang berundur atau digugurkan kali ini melakukan dengan rela.

Tetapi selagi mereka rasa mereka boleh, mereka tidak mahu undur. Tidak jadi calon pun tidak mengapa, yang penting ada jawatan. Bukan sangat kerana wang kerana ramai sudah ada banyak wang dan harta, tetapi sebabnya ialah apabila ada jawatan mereka boleh terus pegang mikrofon dan bercakap, didatangi penyokong dan kawan-kawan, dihormati, diraikan dan yang paling mereka takut berlaku jika mereka sudah tidak memegang apa-apa jawatan dan tidak mempunyai kuasa, ialah mereka akan dilupakan.

Saya percaya mereka yang undur secara sukarela ini menerima hakikat, bahawa siapa pun anda dan dalam apa kapasiti pun anda berada, tiada apa pun yang boleh menyekat anda daripada memberi sumbangan kepada agama, bangsa negara.

Tidak perlu menjadi Yang Berhormat (YB) sebelum mahu memberi sumbangan. Selagi apa yang anda buat itu merangkumi perkara yang baik dan dilaksanakan dengan ikhlas, maka anda sudah dikira memberi sumbangan dan di sisi ALLAH anda sudah mendapat ganjaran.

Bagi yang digugurkan, jangan pula rasa marah, dendam, apa lagi tikam belakang. Walaupun pahit, ia perlu dirawat. Mereka tentu ingat, di masa lalu mereka menjadi calon, sepenggal atay berpenggal-penggal, tetapi disokong hingga menjadi YB, jadi orang besar, jadi timbalan menteri, menteri dan macam-macam lagi.

Kali ini giliran orang lain jadi calon untuk menjadi YB. Maka sangatlah tidak patut mereka pamerkan protes dengan tidak mahu memberi sumbangan, apa lagi sabotaj calon.
Mereka perlu terus memainkan peranan bagi menentukan PRU yang dilabel sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya’ ini, lancar, adil dan aman.

Sama ada calon yang mengambil alih tempat mereka menang atau tidak, sama ada parti yang mereka dukung selama ini tenggelam atau timbul, itu cerita lain; kerja perlu mereka teruskan. Demikianlah putaran hidup ini.

Segalanya - pangkat, harta, jawatan, keremajaan, kecantikan, kesihatan, kemewahan, bahkan nyawa - tiada yang kekal. Yang kekal hanya ALLAH. Oleh itu, marilah kita renungi apa yang Rasulullah SAW sabda, yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara;: mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kekayaanmu sebelum kemiskinanmu, waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu dan hidupmu sebelum matimu.
 
Top
Log in Register