BTC USD 22,856.6 Gold USD 1,915.10
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Penduduk Rantau Panjang bina PPS sendiri hadapi banjir

notepad

Legendary Member
gem
Messages
11,529
Joined
Sep 17, 2011
Messages
11,529
Reaction score
1,263
Points
206

[VIDEO] Penduduk bina PPS sendiri hadapi banjir​

02 Disember 2022 02:21pmMasa membaca: 2 minit


2007702.jpg

Penduduk di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang membina sebuah PPS sendiri untuk menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.

RANTAU PANJANG - Penduduk di Kampung Tasek Bakong di sini membina sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) sendiri untuk menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.

PPS yang hanya dilengkapi atap zink dan berlantaikan tanah serta kemudahan air daripada sebuah perigi itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk dan dijangka dapat memuatkan sebanyak 20 keluarga.

Wakil penduduk, Muhammad Kamarulzaman Daud, 37, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian kerana 'trauma' dengan kejadian yang berlaku pada musim banjir November lalu.


2007703.jpg

Semua penduduk bergotong-royong menyiapkan PPS tanpa mengira usia.

"Kami terpaksa melalui saat getir ketika itu apabila dua PPS yang kami sentiasa huni sebelum ini iaitu surau Tasek Bakong dan Masjid Mukim Padang Licin penuh sehingga tidak dapat menampung mangsa banjir yang ramai.

"Kami tidak mahu menggadaikan nyawa sendiri serta keluarga kerana trend banjir di sini tidak seperti dahulu, apabila air naik cepat serta dalam sejak projek tebatan banjir dibuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kampung tersebut mempunyai 100 buah rumah dengan jumlah penduduk sekitar 500 orang.
Mengulas lanjut katanya, banjir yang berlaku pada Februari dan November lalu menyebabkan penduduk terpaksa menumpang di rumah saudara mara yang tidak banjir tetapi jaraknya jauh.

Bagi Zakaria Mohamad, 58, hasrat untuk membina PPS sendiri itu disokong olehnya dan penduduk lain dengan melancarkan tabung kutipan bagi mengumpulkan dana.

"Walaupun kami hanya bekerja sebagai petani dan penoreh getah tetapi demi nyawa sedikit sebanyak kami sumbangkan.

"Setakat ini sudah RM4,000 terkumpul dan melihat kepada bahan-bahan binaan yang perlu dibeli, kami masih memerlukan sekitar RM15,000 lagi," katanya.

Zakaria memberitahu, bantuan daripada orang ramai sangat diperlukan bagi menyiapkan PPS itu dengan segera apatah lagi ketika ini sudah pun memasuki musim tengkujuh.


2007701.jpg

Walaupun cuaca hujan tetapi penduduk tetap bersemangat menyiapkan PPS.

Bagi tukang rumah, Alias Sulaiman, 52, pula memberitahu, dia serta beberapa rakannya sanggup bersengkang mata dan tidak rehat untuk menyiapkan PPS berkenaan.

"Kami buat dengan ikhlas tanpa upah asalkan PPS ini cepat siap kerana cuaca semakin buruk.

"Hanya orang yang pernah lalui bencana banjir akan memahami perasaan kami. Bila air sudah melimpah ke dalam rumah tetapi kami tidak mempunyai tempat yang selamat hendak dituju, perasaan takut, cemas, sedih semua bercampur baur," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB 7611240608 atas nama Mohd Mansur Ibrahim atau hubungi 014-8121223.


 
Sponsored Post

notepad

Legendary Member
gem
Messages
11,529
Joined
Sep 17, 2011
Messages
11,529
Reaction score
1,263
Points
206

Mangsa banjir panik, PPS hampir tenggelam​

20 Disember 2022 12:41pm Masa membaca: 2 minit

2028680.jpeg

PPS yang dibina sendiri oleh penduduk di Kampung Tasek Bakong di Rantau Panjang hampir ditenggelami banjir sedalam 0.2 meter pada Selasa.


RANTAU PANJANG - Keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Tasek Bakong yang hampir ditenggelami air mencetuskan rasa panik dalam kalangan 295 mangsa banjir di lokasi tersebut pada Selasa.

Wakil penduduk, Kamarulzaman Daud, 37, berkata, air mulai naik sejak malam tadi dan PPS tersebut yang dibina sendiri oleh penduduk kampung hampir ditenggelami banjir sedalam 0.2 meter.

"Kami bina PPS di kawasan yang paling tinggi di kampung tetapi tidak sangka banjir kali ini air boleh sampai sehingga ke sini.

"Banjir kali ini lebih teruk jika dibandingkan Februari lalu malah ia menakutkan kerana air naik terlalu cepat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, PPS tersebut dibina berikutan PPS asal sudah tidak dapat diduduki kerana sering ditenggelami banjir.

Ujarnya, sekarang ini mereka sedang berusaha mencari pengangkutan seperti pacuan empat roda atau lori untuk memindahkan kesemua mangsa banjir.

2028681.jpeg

Air mulai melimpah ke kawasan PPS sementara penduduk.

Kamarulzaman berkata, mereka akan berpindah ke sebuah gudang dan perlu meredah laluan banjir sepanjang perjalanan ke sana.

"Kami harap sangat bantuan dapat dihulurkan segera kerana di sini ramai warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang membina sebuah PPS sendiri untuk menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.

PPS yang hanya dilengkapi atap zink dan berlantaikan tanah serta kemudahan air dari sebuah perigi itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk dan dijangka memuatkan sebanyak 20 keluarga.



 

notepad

Legendary Member
gem
Messages
11,529
Joined
Sep 17, 2011
Messages
11,529
Reaction score
1,263
Points
206

Guna air banjir untuk masak, bancuh susu anak​

21 Disember 2022 12:42pm Masa membaca: 2 minit

2030046.jpeg

Sebahagian daripada mangsa banjir yang berada di PPS yang dibina sendiri di kawasan kebun kelapa sawit di Tasek Bakong, Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG - Mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong di sini terpaksa menggunakan air banjir untuk minum, masak dan membancuh susu anak-anak kecil.
Walaupun jijik pada awalnya tetapi akibat terdesak memaksa mereka berbuat demikian demi kelangsungan hidup apabila kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibina sendiri di kawasan kebun kelapa sawit ditenggelami banjir sedalam 2 meter.

Wakil mangsa banjir, Che Haron Zakaria, 57, berkata, mereka terputus bekalan air bersih sejak Ahad lalu dan sepanjang empat hari tersebut hanya air banjir yang menjadi sumber utama mereka di sini.

"Sedih bila melihat bayi dan kanak-kanak kecil di sini sekitar 10 orang terpaksa diberikan susu yang dibancuh dengan air banjir yang dimasak terlebih dahulu.

"Tapi apakan daya hanya ini pilihan yang ada dan sehingga sekarang kami masih menunggu bantuan bekalan air bersih daripada sesiapa sahaja yang sudi meredah banjir datang ke sini," katanya ketika dihubungi.

2030045.jpeg

Mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang terpaksa menggunakan air banjir untuk minum, masak dan bancuh susu anak-anak kecil.

Menurut Che Haron, pada awalnya PPS yang dibina sendiri itu didiami lebih 200 penghuni tetapi pada Selasa ramai yang memilih untuk berpindah ke sebuah gudang apabila air banjir mulai menghampiri kawasan tersebut.

Ujarnya, ada sebahagian lagi yang berpindah ke sebuah rumah penduduk yang terletak di kawasan tinggi.

Che Haron memberitahu, dia dan 69 lagi mangsa banjir memilih untuk kekal di sini apabila melihat keadaan air semakin surut sejak petang Selasa.

"Disebabkan itu kami sekarang berdepan dengan masalah air bersih, manakala bekalan makanan masih mencukupi untuk beberapa hari lagi.

"Kami cuba untuk keluar mendapatkan bantuan tetapi sukar kerana faktor air dalam dan deras," katanya.


 
Sponsored Post

Top
Log in Register