ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Kamariah menunjukkan dokumen hak milik yang diterimanya dalam Majlis Penyerahan Hak Milik Taman Ranhill, Tanjung Gading Timur.
LEDANG - Penantian 18 penduduk Taman Ranhill, Tanjung Gading Timur, di sini untuk mendapatkan hak milik tanah berserta geran rumah selama 11 tahun berakhir apabila penyerahan tersebut dilakukan, semalam.
Kesemua mereka adalah penduduk asal Batu 2 Parit Bunga yang dipindahkan ke taman berkenaan selepas kawasan tersebut terlibat dengan projek pembinaan jalan pintasan Muar termasuk jambatan kedua Muar pada 2004.
Penyerahan lakukan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri dan Pengurus Besar Presiden Ranhill Sdn Bhd, Datuk Riduan Junoh.
Penduduk, Kamariah Mat Shah, 74, berkata, dia gembira apabila doanya sejak 11 tahun lalu dimakbulkan ALLAH SWT.
"Berita baik ini saya terima kira-kira sebulan lalu menerusi pengerusi taman, Asenar Abdullah yang merupakan individu yang banyak membantu memperjuangkan hak penduduk.
"Sebelum ini saya terlalu risau dengan status rumah ini (tiada geran). Saya bimbang nasib anak bongsu saya sekiranya saya meninggal dunia dengan status rumah yang tidak mempunyai geran," katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Hak Milik Taman Ranhill, Tanjung Gading Timur, di sini.
Kamariah yang juga satu-satunya generasi lama yang masih hidup berkata, sebelum ini, dia sering menangis kerana runsing memikirkan masalah tersebut.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, pada peringkat awal, dia agak keberatan untuk pindah ke kawasan berkenaan kerana sudah serasi dengan petempatan asal dan ketika itu, rumahnya dibina atas tanah milik anak saudaranya.
"Terima kasih kepada pihak Ranhill dan Umno Bahagian Ledang kerana bantuan yang diberikan membolehkan penduduk memiliki kediaman baharu yang lebih selesa," katanya.
Sementara itu, Asenar berkata, dia berasa lega apabila perjuangan mendapatkan hak milik untuk penduduk di sini yang dilakukan secara intensif sejak tiga tahun lalu berhasil.
Katanya, beliau bercadang untuk membina sebuah balai Islam di atas salah satu daripada tiga lot tanah wakaf yang diberikan oleh syarikat Ranhill serta individu untuk kegunaan penduduk di kawasan berkenaan.
"Diharapkan dengan pembinaan balai itu nanti dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara mereka," katanya.