BTC USD 47,215.9 Gold USD 1,753.16
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pelihara Budaya & Warisan Dengan Teknologi & Inovasi

Xploit Machine

CG Top Poster Club
Joined
Nov 23, 2012
Messages
31,375
Reaction score
4,150
Points
236
Malaysia wadah bertemunya pelbagai kaum dan agama, terkenal dengan kekayaan budaya yang diwarisi turun-temurun. Warisan itu terpamer pada keanggunan seni bina ke seni tangan yang halus, pada seni persembahan dan acara kebudayaan, serta bahasa dan adat resam masyarakatnya. Wabak Covid-19 bagaimanapun meninggalkan kesan mendalam pada ekonomi negara dari segenap aspek, termasuk ekonomi yang mempromosikan budaya bangsa. Sejak tahun lalu, dilaporkan industri budaya dan seni Malaysia mengalami kerugian mencapai RM85 juta.

Krisis ini menggariskan betapa pentingnya akses digital bagi institusi warisan budaya, serta peranan dan pengaruh warisan budaya ke atas masyarakat. Berdepan situasi menggentarkan ini, banyak institusi dan pertubuhan warisan, serta perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS), beralih ke perkhidmatan digital bagi mengekalkan hubungan dengan penonton dan pelanggan.


Tradisi & Teknologi Bersanding

Sebuah PMKS tempatan yang mengorak langkah ke dunia e-dagang adalah Batek-Lah Collection, satu jenama batik tradisional tulen Malaysia di Lazada. Syarikat dari Pulau Pinang itu ditubuhkan James Lim, 36, pada 2012. Usahawan muda ini menceburi bidang keusahawanan apabila beliau diamanahkan dengan perniagaan keluarganya, Lim Trading. Lim Trading bermula sebagai pembekal batik secara borong pada 1980 sehinggalah Lim melancarkan Batek-Lah Collection sebagai jenama runcit.

Pada awalnya, bekas jurutera mekanikal ini langsung tiada ilmu mengenai batik tetapi belajar untuk mengenalinya apabila beliau mula berniaga pada usia 27 tahun. Tak kenal maka tak cinta, bak kata orang. Makin lama makin ghairah Lim akan batik dan perniagaannya juga berkembang, terutama dalam kalangan pelancong asing yang tahu menghargai seni buatan tangan tempatan.

“Sebelum wabak, jualan Batek-Lah Collection boleh dikatakan kerana Pulau Pinang antara tarikan pelancong yang popular di Malaysia. Pelancong asing dalam catatan online mereka menyebut-nyebut jenama Batek-Lah Collection di banyak laman rating pelancongan, dan itu menarik lebih banyak pelancong singgah ke kedai kami,” katanya.

Bagaimanapun, apabila wabak melanda pada 2020 dan larangan perjalanan berkuatkuasa, perniagaan Lim dan periuk nasi semua kakitangannya terjejas teruk. Keadaan ini mendorong Lim memanfaatkan teknologi digital.


“Memang saya ada kedai maya di Lazada sejak beberapa tahun lalu tapi baru tahun lepas saya tumpu sepenuhnya kerana wabak.

“Batek-Lah Collection betul-betul menjalani transformasi digital agar dapat bertahan dan kekal relevan pada masa mencabar ini, kerana kami tidak dapat buka kedai fizikal,” katanya.


Menjadikan Batik Fesyen Dalam Kalangan Orang Tempatan

Memandangkan pelancong asing membentuk sebahagian besar pelanggannya, jualan Batek-Lah Collection menjunam hampir ke paras sifar apabila perjalanan antarabangsa dilarang. Lim bagaimanapun menganggap kesukaran itu sebagai cabaran yang perlu didaki. Beliau kini giat menggalakkan pengguna Malaysia menghargai keindahan seni batik dan berusaha menjadikan batik kembali menjadi fesyen, menerusi inovasi dan teknologi.

“Saya melihat budaya dan seni tradisi semakin pupus ketika generasi lebih muda dari saya menyesuaikan diri mereka kepada dunia moden yang makin sejagat,” katanya.

Katanya, sebelum pandemik melanda, minat terhadap seni tradisi dan budaya seperti batik semakin luput dalam kalangan rakyat, yang lebih berminat membeli dan memakai barangan berjenama.

“Hari ini, tak banyak orang ada sehelai pakaian batik pun kerana ia dianggap ketinggalan zaman dan tak ‘trendy’. Bagaimanapun, melalui pemasaran menerusi saluran dalam talian, saya mahu mengubah persepsi itu dan menjadikan batik kembali ‘trendy’, terutama dalam kalangan orang muda,” kata Lim.

“Saya kurang mengerti hal teknologi tapi di samping menyertai Seller Campaigns, saya bereksperimen dengan alat-alat digital yang Lazada sediakan dalam platformnya seperti Seller Picks, Flexi Combo, Free Shipping, dan Sponsored Discovery untuk menonjolkan kedai maya Batek-Lah Collection dalam kalangan pembeli dalam talian dan menarik lebih banyak pelanggan. Sejak menggunakan alat-alat ini, saya capai pertumbuhan 30% dengan kedatangan pelanggan baharu,” tambahnya.

Lim berharap rakyat suatu hari nanti akan menghargai kesungguhan dan usaha keras dalam menghasilkan setiap helai batik, kerana prosesnya begitu rumit dan mengambil masa yang lama bagi menjaga mutu. Sesuai dengan trend semasa, Batek-Lah Collection baru-baru ini melancarkan barangan unik untuk pasaran tempatan, seperti pelitup muka bercorak batik, kemeja lengan pendek untuk lelaki, dan untuk wanita pula baju top dengan strap dan dress berzip.


Lazada Sokong Pendigitalan PMKS Tempatan

Bagi membantu pemulihan dan kemapanan PMKS, Lazada mengalakkan semua jenis perniagaan yang memasarkan batik, wau, pakaian dan permainan tradisi supaya mendigitalkan perniagaan masing-masing agar dapat memanfaatkan pertumbuhan pelanggan dalam talian yang begitu pesat dalam budaya digital baharu zaman ini. “Wabak dan ‘lockdown’ yang sedang berlaku ketika ini sudah tentu menjejaskan mata pencarian pengusaha industri budaya dan kesenian, termasuk pemilik perniagaan dan tukang-tukang berkemahiran.”

“Kami berharap dapat menyediakan platform untuk lebih banyak perniagaan, terutamanya PMKS, untuk menonjolkan hasil-hasil seni ini, membantu mereka menonjolkan keberadaan di dalam talian, mencapai pelanggan baharu, membina rangkaian mereka, dan mendedahkan mereka kepada e-dagang,” katanya COO Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam.

Inisiatif “Go-eCommerce” Lazada menyokong perusahaan mikro, kecil, dan sederhana mendigitalkan perniagaan. Bagi meneruskan lagi usaha memajukan ekonomi digital dan pemulihan ekonomi tanahair, Lazada bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menyokong perniagaan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana menerusi inisiatif “Go-eCommerce”, bermula sekarang sehingga 31 Disember di Lazada.

Inisiatif “Go-eCommerce”, yang diusahakan secara bersama dengan MDEC, mensasarkan untuk membantu hampir 40,000 PMKS tempatan melakukan pendigitalan, meningkatkan pendedahan mereka kepada e-dagang, serta meningkatkan jualan menerusi pelbagai insentif yang sudah siap diurus dan diatur oleh pakar-pakar program itu. Peniaga baharu di Lazada boleh layak menerima pakej rangsangan Pintar Niaga, yang menawarkan manfaat bernilai RM2,000, serta komisyen sifar dan fi penyenaraian sifar, tajaan Discovery Credits percuma bernilai RM300, dan baucar Penghantaran Percuma selama 30 hari.

Sejak tahun lepas, Lazada mencatatkan peningkatan sebanyak 300% PMKS yang menyertai platform e-dagangnya, manakala purata transaksi harian secara keseluruhanya bertambah lebih 250%.

Jika anda mahu menyokong perniagaan tempatan dan mendakap warisan Malaysia, kunjungi Batek-Lah Collection di Lazada di laman https://www.lazada.com.my/shop/batek-lah-collection/ atau jika anda seorang peniaga, maklumat lanjut mengenai kempen “Go-eCommerce” Lazada boleh didapati di https://lzd.co/LazadaGoEcommerce.
1627259060336.png


1627259068420.png


1627259075807.png
 

CG Sponsors




Top
Log in Register