ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SUASANA lengang cukup ketara apabila MPM menetapkan peraturan baharu waktu operasi buat penjaja di Jalan Abu, Muar, Johor, semalam. UTUSAN/ZULHISHAM ISAHAK
MUAR 8 April - Kira-kira 40 penjaja di Jalan Abu diminta mematuhi waktu baharu operasi perniagaan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Muar (MPM) mulai minggu lalu bagi melancarkan aliran trafik di kawasan tersebut.
Ketua Whip MPM, Datuk Mohd. Mustafa Kadir memberitahu, waktu perniagaan yang dibenarkan bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang dan disambung semula pukul 3 petang hingga malam.
“Keputusan ini untuk kepentingan semua dan matlamatnya juga menjadikan gerai beroperasi lebih sistematik.
Persetujuan perkara ini dicapai dalam perbincangan MPM dan MCA yang mewakili persatuan penjaja di jalan itu,” katanya ditemui di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas masalah di jalan itu yang bukan sahaja sesak, malah menyebabkan persekitaran kotor serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain kerana pelanggan menghentikan kenderaan sesuka hati.
Walaupun waktu baharu operasi perniagaan itu dimulakan minggu lalu, namun terdapat segelintir peniaga berdegil dan tidak mematuhi sebaliknya terus berniaga tanpa menghiraukan masa yang ditetapkan.
Sementara itu, pengguna jalan tersebut, Ahmad Hafiz Razak, 30, menyokong tindakan MPM kerana membantu menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan tersebut yang merupakan tempat tumpuan pelancong.
“Selalunya dari pukul 8 hingga 11 pagi kawasan ini tidak boleh dilalui kenderaan kerana sesak dengan kesibukan pelanggan yang menghentikan kenderaan masing-masing di hadapan gerai untuk membeli makanan,” katanya.
Abdul Rahim Abdul Rahman, 38, pula berkata, kesesakan trafik di situ sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga MPM mengeluarkan peraturan baharu itu.
Katanya, walaupun Jalan Haji Abu bukan jalan utama di bandar ini, tetapi digunakan orang ramai yang ingin ke Jalan Abdullah kerana berada di tengah bandar.
Mohd. Nizam Muhammad, 25, pula berkata, kehadiran penjaja berkenaan menyebabkan kawasan itu kotor kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir yang membuang minyak serta air ke dalam longkang.
“Keadaan itu menyebabkan kawasan berkenaan berbau busuk terutama ketika musim hujan dan air bertakung kerana ada peniaga membuang minyak dan air ke longkang,” katanya.