BTC USD 119,263 Gold USD 3,350.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

NIOSH Sedia Bantu Latih Pemandu Kenderaan Berat Guna Modul Latihan Khusus

combat13

Super Active Member
Messages
7,374
Joined
Dec 18, 2007
Messages
7,374
Reaction score
224
Points
73
6d07872eca24f5ad6bcd43049a14bb056825c98d802c0

Gambar fail
--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA


Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu melatih pemandu kenderaan berat menggunakan modul latihan khusus yang memberi penekanan kepada teknik pemanduan selamat dan berhemah.

Naib Pengerusi NIOSH G. Manivanan berkata modul latihan khusus itu telah dibangunkan oleh tenaga pakar dan pemain industri dengan mengambil kira keperluan dan cabaran dihadapi golongan terbabit.

"Program yang dibangunkan di bawah modul latihan Pemandu Berhemah dan Selamat (SDDP) itu turut meliputi aspek perundangan jalan raya, penjagaan kenderaan dan pengurusan perjalanan yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta pencegahan kemalangan dalam kalangan pemandu.

"Modul dibangunkan NIOSH ini telah pun digunakan oleh beberapa syarikat yang menguruskan bas dan kenderaan berat untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja mereka mengenai aspek keselamatan di jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Manivanan berharap lebih ramai pihak yang mengendalikan kenderaan berat akan melaksanakan program latihan SDDP itu termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta.

Pada masa sama, beliau berkata NIOSH bersedia membantu pihak terlibat untuk melaksanakan audit keselamatan serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat termasuk pelaksanaan kaedah HIRARC (Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko).

Beliau berkata HIRARC ialah kaedah sistematik yang digunakan untuk membantu majikan dan pekerja mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan melaksanakan langkah kawalan bagi menjaga aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Dengan mengamalkan HIRARC, semua pihak dapat memainkan peranan penting dalam memastikan tempat kerja kekal selamat dan sihat manakala undang-undang berkaitan dapat dipatuhi.

"Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa di bawah undang-undang, setiap majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka semasa bekerja, termasuk memastikan kenderaan yang digunakan diselenggara dengan baik manakala pemandu mendapat latihan secukupnya," katanya.

 
Back
Top
Log in Register