BTC USD 64,262.2 Gold USD 2,386.99
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Neelofa lancar tudung di kelab malam Zouk

TT

CG Super Hardcore Club
gemgemgemgem
Messages
166,551
Joined
Jan 13, 2009
Messages
166,551
Reaction score
22,869
Points
1,831
Awards
1

27893648_182139799062400_396116819301105664_n.jpg

28153815_1809131995772358_8993732848640851968_n.jpg

27893997_164811080981703_8107036824611848192_n.jpg

27894355_1985391168345011_7160431457117143040_n.jpg

Lofa pertahan tindakan

PELAKON dan pengacara popular, Neelofa sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila memilih untuk mengadakan majlis pelancaran koleksi terbaru tudungnya, BeLofa di sebuah kelab hiburan terkenal ibu kota.

Tindakan Lofa itu dianggap sebagai bertentangan dengan imejnya yang dibawa selain tidak sesuai dengan produk tudung yang dillancarkan itu.

Rata-rata netizen tidak bersetuju malah mengecam tindakan pengcara popular ini kerana menggangap produk seperti tudung tidak sepatutnya dilancarkan di sebuah pusat hiburan.

Bagaimanapun, Neelofa yang turut meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di majlis yang sama itu tidak mahu mengambil serius tentang kritikan tersebut kerana mempunyai alasan yang tersendiri atas tindakannya itu.

“Saya buat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai kerana apa yang lebih penting saya tahu apa yang dilakukan.

“Lokasi ini dipilih kerana bersuaian dengan tema berbanding beberapa tempat lain yang disenarai pendek.

“Lagi pun kalau pilih tempat lain, saya perlu mengeluarkan wang lapan kai ganda untuk memenuhi kehendak tema,” jelasnya kepda pihak media.

Neelofa meluahkan rasa syukurnya apabila majlis yang turut dihadiri ibu dan adik-beradiknya itu berjalan lancar dan berlangsung seperti yang dirancang.


http://www.sinarharian.com.my/hibur...usat-hiburan-neelofa-dikecam-netizen-1.803025
 
Seorang lagi yang terkinja-kinja mohon maaf
Minta netizen 'move on'


IMG_7613.png

ab36198e206b4bcebf1aecb6fbc62cf7.ashx


PETALING JAYA: Selepas seorang personaliti YouTube membuat permohonan maaf, seorang lagi tetamu yang terkinja-kinja pada majlis pelancaran tudung Be Lofa di sebuah kelab malam, Isnin lalu tampil mengakui kesilapannya.

Personaliti Instagram berusia 17 tahun itu yang dikenali sebagai Dahlia menganggap perkara yang telah berlaku sebagai ujian Allah SWT untuk memperbaiki lagi dirinya.

“Terima kasih atas segala teguran terhadap kesilapan yang saya lakukan. Saya telah memohon keampunan daripada Allah SWT serta memohon maaf kepada mak, ayah dan ahli keluarga.

“Saya mengaku perkara itu salah. Saya tidak menafikannya. Saya sekali lagi memohon maaf,” katanya menerusi posting di laman Instagramnya, Selasa.

Menurut gadis itu lagi, dia berharap agar semua pihak mendoakan dirinya mendapat taufik untuk memperbaiki kelemahannya, berbanding mendoakan yang tidak baik.

“Harap anda dapat move on daripada perkara ini kerana setiap manusia membuat kesilapan.

“Jangan kerana satu kesilapan ini, anda tidak pandang lagi kebaikan yang saya lakukan,” katanya yang mendapat gelaran ratu swafoto termuda di Malaysia.

Dalam pada itu, dia turut meminta supaya perkara yang sudah berlaku itu tidak dihebohkan dan memohon video yang memaparkan aksinya itu dipadamkan.

“Saya merayu kepada mereka yang masih mempunyai video itu, tolonglah padamkannya. Terima kasih,” katanya.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/02/28/lagi-minta-maaf/

Neelofa boleh didakwa

dakwalofa.jpg.transformed.jpg


KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon dan pengacara popular, Neelofa mengadakan majlis pelancaran koleksi tudung beliau di sebuah pusat hiburan di ibu negara, Isnin lalu, boleh mendedahkannya kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1977.


Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, berdasarkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilyah Persekutuan) 1977, mana-mana orang dengan apa cara sekalipun yang boleh menyebabkan agama Islam itu dipandang hina, adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan yang dihantar menerusi emel, hari ini, beliau berkata, Neelofa juga berhadapan dengan tindakan mengikut Seksyen 35 Akta yang sama atas tuduhan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan Neelofa itu bukan sahaja boleh memberi gambaran negatif terhadap wanita Muslimah yang bertudung tetapi juga secara tidak langsung boleh menjatuhkan kesucian agama Islam itu sendiri.

"Selepas ini pasti ada yang beranggapan wanita Muslimah boleh pergi dan menari di kelab malam, asalkan mereka memakai tudung. Ini persepsi yang silap dan perlu diperbetulkan kerana Islam mensyariatkan seseorang wanita itu perlu menutup aurat untuk menjaga maruah dan melindungi mereka daripada terjebak dengan perbuatan maksiat yang bertentangan dengan syarak," katanya.

Salkukhairi berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap selebriti itu atau sebaliknya.

"Undang-undang sudah ada. Cuma ia terserah kepada MAIWP sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atau tidak.

"Jika pihak berkuasa agama ingin mengekang perbuatan itu, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu diambil sebagai pengajaran dan mendidik masyarakat Islam supaya lebih sensitif, terutamanya bagi seorang selebriti yang mempunyai ramai pengikut seperti Neelofa," katanya.

Salkukhairi juga menasihati masyarakat Islam supaya lebih peka dan menghormati kesucian Islam dan sentiasa merujuk kepada ulama dan pakar undang-undang sebelum melakukan sesuatu tindakan.

"Walaupun Neelofa dilaporkan sudah meminta maaf, tetapi tidak bererti beliau terlepas daripada tindakan undang-undang."

"Sebab itu undang-undang ini perlu dikuatkuasakan demi menjaga maslahat ummah dan demi menjaga kesucian agama Islam itu sendiri," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/394395/neelofa-boleh-didakwa-hartaguam

Neelofa akhirnya mohon maaf

WhatsApp-Image-2018-02-28-at-1.33.31-PM-1.jpeg

Screenshot_2018-02-21-23-25-12-895.jpeg


KUALA LUMPUR 28 Feb.- Pengacara dan pelakon popular, Neelofa dengan rendah diri memohon maaf kepada semua pihak yang terguris dengan kontroversi pelancaran koleksi terkini Naelofar Hijab di sebuah kelab malam malam, Isnin lalu.


Neelofa menerusi laman Instagramnya berkata, dia mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap tindakan tersebut dan sentiasa belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

Jelasnya, dia menghormati setiap ingatan, teguran dan maklum malas semua pihak terhadap kontroversi yang mencetus perdebatan dalam kalangan peminat di laman sosial.

“Selepas memahami dan mengambil kira apa yang berlaku ketika malam pelancaran itu, saya secara ikhlas memohon maaf kerana menimbulkan tekanan dan sentimen negatif terhadap pemilihan lokasi tersebut.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan. Kami akan memberi lebih perhatian pada masa hadapan dalam menjaga imej produk.

“Melangkah terus, kami akan meneruskan penjemaan tudung dalam landasan yang sewajarnya,” katanya.

Neelofa sebelum ini menerima kecaman hebat apabila mengadakan majlis sambutan ulang tahun dan pelancaran koleksi tudung Naelofar Hijab di sebuah kelab di ibu kota kelmarin.


http://www.utusan.com.my/hiburan/neelofa-minta-maaf-1.618688

Berniaga tudung di tempat yang haram, haramlah jadinya

c5b13769cfb74baea1e223c29ce76a8e.ashx


PETALING JAYA: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan selebriti, Neelofa supaya bertaubat susulan tindakannya menganjurkan majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara pada Isnin.


Malah Harussani turut menasihatkan semua pengunjung beragama Islam yang hadir pada majlis itu untuk sama-sama bertaubat kerana mendekati tempat maksiat.

“Kalau dah tempat tu ada tari-menari dan kelab malam, selalunya ia adalah tempat maksiat. Maka, ia tidak seharusnya dikunjungi oleh sesiapa pun yang beragama Islam.

“Walau apapun tujuannya sama ada ia untuk berniaga atau mempromosikan barangan... tetap tidak boleh,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Harussani berpandangan bahawa tindakan umat Islam ‘menghidupkan’ kelab malam dengan penganjuran majlis sebagai bersubahat dengan tempat maksiat.

“Haram hukumnya. Dia bersubahatlah kerana ‘menghidupkan’ kelab malam tu. Berniaga tudung di tempat yang haram, haramlah jadinya,” katanya sambil menegaskan bahawa kelab malam lazimnya merupakan tempat yang tidak baik dan mendorong kepada perbuatan maksiat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya semua umat Islam perlu berhati-hati dalam mencari sumber pendapatan yang halal.

“Saya nasihatkan supaya kita berhati-hati. Biar kita mencari nafkah secara halal, janganlah kita melibatkan dengan perkara-perkara yang melanggar syarak.

“Wajib dia (Neelofa) bertaubat. Semua, siapa saja yang berada pada majlis itu di kelab malam,” kata Harussani.

Malahan, wanita bertudung yang menari dengan aksi menghairahkan pada majlis pelancaran koleksi hijab terbaharu, Be Lofa turut dikecam hebat.

Menerusi sidang media pada pelancaran tersebut yang berlangsung pada Isnin malam, Neelofa tidak peduli kritikan netizen mengenai pemilihan lokasi pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29.

Kata pengacara program Meletop itu, dia tahu apa yang dilakukannya dan lokasi yang dipilih sesuai dengan tema.

Tambahnya, dia perlu keluarkan wang lapan kali ganda bagi memenuhi kehendak tema jika memilih tempat lain.

Terdahulu, mStar Online melaporkan, langkah selebriti Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya itu di kelab malam, tidak menyalahi peraturan Islam jika tujuannya untuk berdakwah namun ia menjadi dosa jika mengundang fitnah.

Menurut pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad, sesuatu dakwah itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun ia di tempat seperti kelab malam.

Namun ujarnya, sesebuah majlis yang baik itu menjadi haram hukumnya jika ia disertakan dengan tari-menari kerana perbuatan itu ditegah oleh Islam.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/02/27/neelofa-bertaubat/

Netizen boikot Nealofarhijab

image.jpg


KONTROVERSI pelancaran koleksi #BeLofabyNH oleh Neelofa di Zouk Kuala Lumpur masih lagi hangat diperkatakan.


Tidak hanya mendapat perhatian daripada netizen, isu ini juga turut menarik perhatian badan bukan kerajaan dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mufti tersebut mengingatkan Neelofa supaya, pertama tanyalah ulama sebelum bertindak; kedua, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan ketiga, carilah rezeki diberkati ALLAH SWT.

Sejak semalam juga, beberapa pihak sudah mula melancarkan boikot terhadap Naelofarhijab dan tinjauan Sinar Harian di laman Instagram, mendapati ruangan komen sudah diprivasikan.

Ramai berpendapat mempromosikan hijab di kelab malam sambil berjoget, terkinja-kinja dan bercampur antara lelaki dan perempuan adalah perkara jahiliyyah, maksiat dan larangan ALLAH SWT.

Bagaimanapun, Neelofa yang turut meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di majlis yang sama itu tidak mahu mengambil serius tentang kritikan tersebut kerana mempunyai alasan yang tersendiri atas tindakannya itu.

“Saya buat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai kerana apa yang lebih penting saya tahu apa yang dilakukan.

“Lokasi ini dipilih kerana bersuaian dengan tema berbanding beberapa tempat lain yang disenarai pendek.

“Lagi pun kalau pilih tempat lain, saya perlu mengeluarkan wang lapan kali ganda untuk memenuhi kehendak tema,” katanya yang menggunakan tema neon untuk koleksinya kali ini.


http://www.sinarharian.com.my/hiburan/netizen-boikot-nealofarhijab-1.803638

'Carilah rezeki yang diberkati'

0228rs04_cropped_1519791614.jpg


PELAKON dan pengacara popular, Neelofa, menggunakan pendekatan yang salah dengan melancarkan koleksi terbaharu hijab di pusat hiburan.


Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Neelofa mungkin berniat baik apabila melancarkan koleksi hijabnya tetapi pendekatan digunanya tidak betul dan menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap agama Islam.

"Saya melihat isu ini dalam keadaan positif. Beliau berniat untuk berdakwah di kelab malam itu dengan membawa pendekatan baik dengan memperkenalkan tudung.

"Tetapi cara penyampaiannya dengan mengadakan persembahan tarian itu adalah tidak betul," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, dalam Islam, apabila seseorang melakukan sesuatu, perlu dengan niat, cara dan matlamat yang baik dan betul.

"Islam menitik beratkan tiga perkara ini dan jika satu daripada tiga perkara ini tidak ada, maka ia dianggap salah atau tidak betul.

"Ketiga-tiga perkara ini hendaklah selari setiap masa dalam Islam," katanya.

Shukri berkata, Neelofa juga perlu berhati-hati dalam tindakannya akan datang kerana beliau adalah seorang selebriti yang mempunyai ramai peminat.

"Saya ingin menasihati beliau untuk merujuk dulu atau meminta pandangan ulama jika ingin mengadakan perkara seperti ini di masa akan datang," katanya.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad melahirkan kekhuatiran tindakan Neelofa melancarkan koleksi terbaharu hijab di sebuah kelab malam bakal membawa fenomena normalisasi dalam bertudung.

Beliau turut berpesan kepada Neelofa untuk menghayati syariat Islam yang sebenarnya dengan bertanya kepada ulama sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/02/316968/carilah-rezeki-yang-diberkati

Terima kasih Datuk Mufti

image.jpeg


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Jutawan selebriti Noor Nelofa Mohd. Noor merakamkan ucapan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri atas nasihat dan pandangan ikhlas yang dibuat terhadap dirinya semalam.


Menurut Lofa, dia dengan rasa rendah diri menerima segala nasihat dan teguran yang diberikan oleh agamawan itu dengan hati terbuka.

"Saya anggap ia satu teguran dan nasihat yang mendamaikan dari seorang pakar kepada saya. Saya sangat menghargainya.

"Saya dan team NH mengambil berat setiap nasihat dan cadangan yang diutarakan oleh pihak Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri itu," katanya.

Menurut Lofa, sebagai insan biasa, dia juga akan berusaha untuk memperbetulkan setiap kekusutan dan kekeliruan dengan cara terbaik dalam meneruskan kerjaya sebagai ahli perniagaan dan sekaligus personaliti dalam bidang hiburan.

"Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sudi meluangkan masa, memberikan kritikan dan cadangan dalam keadaan saya berhadapan dengan situasi tidak diduga sebegini.

"Setiap sokongan, teguran dan cadangan anda, saya hargai dan hanya ucapan terima kasih mampu saya hulurkan," katanya.

Majlis pelancaran koleksi tudung terbaru NH iaitu #BeLofa pada Isnin lalu mendapat kritikan hebat masyarakat apabila ia berlangsung di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

Neelofa menjadi kecaman teruk sebahagian masyarakat yang menganggap selebriti itu kurang sensitif apabila melancarkan tudung versi terbaharu NH itu di lokasi yang tidak bersesuaian.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/terima-kasih-datuk-mufti-1.618061

Nealofar Hijab mohon maaf

image.jpg

NEELOFA meniup kek hari lahir bersama ahli keluarganya pada majlis perasmian tudung "Be Lofa" dan sambutan hari lahirnya di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, Isnin lalu. Gambar : Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Susulan kontroversi mengadakan pelancaran produk di sebuah kelab malam, Naelofar Hijab memohon maaf di atas tindakan mereka yang telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Selain mengemukakan permohonan maaf, syarikat pengeluar Naelofar Hijab, NH Prima International Sdn. Bhd,. turut memberitahu telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi tersebut selain mengambil serius setiap komen serta pendapat semua pihak.

Menurut Pengarah Urusannya, Noor Nabila Mohd Noor, pengurusan syarikat berkenaan juga akan memastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa hadapan.

Dalam masa sama, H Prima International Sdn. Bhd., memohon kepada semua pihak agar syarikat berkenaan diberi peluang untuk memperbaiki diri.

“Kami memohon jutaan maaf, terutamanya kepada penyokong kuat jenama kami dan juga semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini. Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara yang istimewa untuk jenama kami telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

“Untuk makluman, kami kini telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi ini. Tiada yang lebih penting dari mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua.

“Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini, dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirim kepada media sebentar tadi.


http://www.utusan.com.my/hiburan/nealofar-hijab-mohon-maaf-1.618101

Neelofa hilang 100,000 follower di Instagram

image.jpg

PAPARAN skrin laman sosial Instagram Neelofa yang menunjukkan penurunan jumlah pengikutnya sebanyak 100,000 sejak kontroversi pelancaran koleksi tudung terbaharunya.

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Sehari selepas kontroversi majlis hari lahir dan pelancaran produk di kelab malam, selebriti ternama, Neelofa kehilangan 100,000 pengikut di laman sosial Instagramnya.

Neelofa sebelum ini memiliki 5.5 juta pengikut menerima kecaman hebat daripada netizen yang mengkritik tindakannya mengadakan majlis tersebut di sebuah kelab malam popular di Jalan Tun Razak, di sini kelmarin.

Malah, sehingga hari ini Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor masih menerima kecaman bertubi-tubi daripada netizen sehingga ada yang mendakwa mahu memboikot artis itu.

Sehubungan itu, pengacara program MeleTop itu bertindak menutup ruangan komen di entri terkininya.

Dalam pada itu, biarpun dihimpit dengan kontroversi, koleksi baharunya, Be Lofa habis dijual hanya dalam tempoh 24 jam.


http://www.utusan.com.my/hiburan/neelofa-hilang-100-000-pengikut-di-instagram-1.618108

Neelofa perlu bertaubat

4c493382-7763-4b83-911c-f5a1cc50960e_1519726959.jpg


“NEELOFA perlu bertaubat.”


Itu komen ringkas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung tindakan Neelofa mengadakan majlis pelancaran tudung di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu negara, malam tadi.

Harussani berkata, umat Islam dilarang mendekati tempat maksiat dan hukumnya sudah jatuh haram jika tempat berkenaan terdapat unsur melanggar syarak.

“Sekiranya ada unsur berkenaan, Neelofa perlu bertaubat dan jangan ulang lagi,” katanya.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad pula menyifatkan tindakan Neelofa itu salah kerana bersubahat melakukan perkara berunsur maksiat.

"Perbuatan itu haram kerana gerak-geri perempuan ditontonkan kepada lelaki bukan mahram.

"Apapun alasan diberikan, saya tetap menganggap ia salah kerana pusat hiburan menjual minuman keras dan memabukkan. Buatlah sesuatu yang baik dengan cara dan jalan yang betul," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Yusof berkata, Neelofa perlu muhasabah diri dan mengambil iktibar daripada tindakan yang dilakukannya itu.

"Mohon ampun kepada Allah serta berazam tidak mengulanginya lagi. Bagi kepentingan perniagaannya elok dia mohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan perbuatannya itu," katanya.

Sementara itu, Profesor Institut Pengurusan Fatwa Sedunia Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, nama kelab malam itu tidak salah jika tiada sebarang unsur bertentangan syarak.

“Jika tiada arak, tidak membuka aurat dan tiada pergaulan bebas, tiada masalah walau di mana pun pelancaran tudung itu diadakan.

“Yang penting adalah pengisian di kelab itu, jika lancar tudung di rumah tetapi melanggar hukum syarak pun tidak boleh. Jika di pihak Neelofa sendiri mengatakan tiada arak, kita tidak boleh mengandaikan ada benda terlarang itu,” katanya.


https://www.hmetro.com.my/utama/2018/02/316717/neelofa-perlu-bertaubat-muhasabah-diri

QALAM MUFTI #2: SURAT TERBUKA KEPADA HAJJAH NEELOFA
*Klik [http://muftiwp.gov.my/ms/sumber/ber...-mufti-2-surat-terbuka-kepada-hajjah-neelofa] untuk membaca di laman web PMWP

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Hajjah Neelofa dalam keaadan sihat sejahtera hendaknya.

Alhamdulillah kami merafa’kan setinggi kesyukuran ke atasnya, selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, para sahabat yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami telah menerima berita yang hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur. Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan tersebut. Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini.

1. Tudung adalah lambang kehormatan wanita. Tudung adalah simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga adalah salah satu bentuk kesempurnaan dalam beragama. Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.

‎2. Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu, mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.

‎3. Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit. Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai redha Ilahi. Jika bukan redha-Nya yang kita impikan, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?

‎4. Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.

5. Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung. Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.

6. Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip. Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita. InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.

7. Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah yang berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai “wanita besi” dan “gergasi” dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam. Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya disini 3 perkara: (i) Tanyalah ulama’ sebelum bertindak (ii) Sentiasa memelihara imej wanita bertudung (iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Mufti tulis surat terbuka kepada Neelofa

image.jpg

Zulkifli Mohamad Al-Bakri sedang menulis surat terbuka kepada Neelofa. - Ihsan laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kontroversi yang timbul berikutan tindakan pengacara popular, Neelofa melancarkan koleksi tudung baharunya di salah sebuah kelab di ibu kota turut menarik perhatian seorang mufti.



Menerusi satu status di laman sosial Facebook, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuat naik gambar sedang menulis surat terbuka kepada selebriti tersebut.



“Menulis surat terbuka untuk Hajah Neelofa. Untuk muhasabah bersama,” tulis beliau di akaun Facebook rasminya hari ini.




http://www.utusan.com.my/berita/nas...terbuka-kepada-neelofa-1.617501#ixzz58JfxTPoA

PERTAMA lapor JAWI kes Neelofa

28Sheikh_Abd_Kareema.transformed_0.jpg


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini, berhubung kontroversi pelancaran hijab oleh selebriti Neelofa yang dianjurkan di sebuah kelab malam itu.


Setiausahanya, Sheikh Abd Kareem Sheikh Kadaeid, berkata laporan itu dibuat untuk menyelamatkan maruah Islam yang tercemar.

Beliau berkata, ini kerana Neelofa memberikan reaksi yang enggan mengambil pandangan masyarakat mengenai kontroversi berkenaan wajar ditegur.

Katanya, video majlis pelancaran itu yang disebarkan itu bukan saja amat memalukan tetapi juga seolah-olah memperlihatkan nilai komersial itu diutamakan melebihi hukum syarak.

"Jika Neelofa tidak mahu ambil pusing nasihat masyarakat termasuk ulama, jadi lebih elok dia berdepan dengan undang-undang.

"Jika Neelofa tidak mahu fikir mengenai maruah Islam dan orang Melayu, apa akan jadi kepada anak bangsa kita yang cenderung untuk menjadikan selebriti sebagai ikutan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Neelofa, selepas majlis pelancaran itu, berkata beliau tidak lagi peduli kritikan netizen dan kelab malam itu dipilih kerana sesuai dengan tema dan bajet acara yang dianjurkannya.

"Saya membuat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai berhubung mana-mana perkara, yang penting saya tahu apa yang dilakukan.

"Sampai bila pun takkan habis kalau terus melayan kecaman netizen. Jadi tahun ini, saya memilih untuk tidak ambil peduli lagi kata-kata orang," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), meminta Neelofa bertaubat dengan hati yang ikhlas kerana tindakan keterlaluannya itu boleh dianggap satu penghinaan terhadap Islam.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zin, perbuatan melancarkan hijab di kelab malam itu seakan mempersendakan agama.

"ASWAJA menyeru Neelofa supaya memohon keampunan dengan Allah SWT terhadap tindakannya yang agak keterlaluan dan melukakan hati umat Islam di negara ini.

"Diharapkan juga agar beliau tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang dan kembalilah kepada Allah SWT dengan taubat nasuha dan hati yang ikhlas," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/393703/pertama-lapor-neelofa-kepada-jawi

Blogger berhijab akui terlalai dengan muzik kelab malam

nisa%20kay.ashx

3370fe46c7c14007a23888cfdea35590.ashx

Nisa merupakan seorang blogger dan personaliti Youtube.

PETALING JAYA: Aksi wanita bertudung yang menari secara aksi menghairahkan pada majlis pelancaran koleksi hijab terbaharu, Be Lofa menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen sehingga membuatkan nama seorang blogger hangat diperkatakan di media sosial.

Akur tersilap langkah, personaliti Youtube, Nisa Kay tidak mahu menegakkan 'benang basah' dengan mempertahankan perlakuannya pada majlis pelancaran yang berlangsung pada malam Isnin itu.

"Saya akui, perlakuan saya itu tidak seharusnya berlaku dan sama sekali tidak menggambarkan diri saya sebenar serta imej sebagai wanita bertudung.

"Saya akui, saya tidak memaparkan contoh yang baik, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang perlu dijaga," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Nisa turut mendakwa dia tidak menyangka video tersebut akan tular dan terkejut melihat komen dan posting yang dimuat naik di laman sosial.

Bagaimanapun dia menghargai usaha ramai pihak yang sudah mula memadam video yang memaparkan dirinya di platform masing-masing.

Malahan, menerusi kenyataannya, hos televisyen itu juga mendakwa dia telah tersilap dalam mengatur langkah.

"Kehadiran saya di acara berkenaan adalah untuk memenuhi jemputan pihak penganjur dan saya tidak seharusnya menyertai permainan perang bibir (lip-sync battle) tersebut.

"Tetapi memandangkan kumpulan terbabit tidak mempunyai ahli yang cukup, saya yang berdiri berhampiran kumpulan itu ditarik oleh seorang petugas untuk menyertai mereka.

"Suasana dan muzik yang meriah mungkin buat saya lupa seketika siapa saya dan kenapa saya berada di sana.

"Ada khilafnya di mana saya lalai dan terbawa-bawa dengan perlakuan saya seperti mana yang orang ramai sudah saksikan menerusi video tersebut," jelas Nisa yang berharap kejadian itu bukan sahaja memberikan pengajaran kepada dirinya, malahan kepada orang lain juga.

Terdahulu, mStar Online melaporkan, langkah selebriti Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya itu di kelab malam, tidak menyalahi peraturan Islam jika tujuannya untuk berdakwah namun ia menjadi dosa jika mengundang fitnah.

Menurut pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad berkata, sesuatu dakwah itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun ia di tempat seperti kelab malam.

Namun ujarnya, sesebuah majlis yang baik itu menjadi haram hukumnya jika ia disertakan dengan tari-menari kerana perbuatan itu ditegah oleh Islam.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/02/27/blogger-menari-pelancaran-be-lofa/

Kalau hendak kutuk, biarkan - Neelofa

image.jpg

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Menerima bertalu-talu kecaman setelah melancarkan koleksi tudung baharunya di salah sebuah kelab di ibu kota, pengacara popular, Neelofa mengambil langkah untuk tidak mempedulikan kritikan tersebut


Jelas anak kelahiran Kelantan itu, dia sudah bersedia dengan kecaman netizen malah dia juga mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih lokasi tersebut

“Kita buat sesuatu di luar kotak. Semasa kami mula-mula lahirkan konsep pelancaran ini, ada beberapa lokasi yang disenaraikan. Tapi di sini, semua sudah lengkap dan sesuai dengan konsep majlis yang dirancang

“Kalau hendak buat semua itu di lokasi lain, saya kena bayar lebih lapan kali ganda. Saya berani ambil risiko dan kita bukan hendak pergi kelab pun

“Kami memastikan semua aktiviti tidak melencong dan majlis ini bertujuan untuk melancarkan produk sahaja. Kalau orang hendak kutuk pun, biarkan. Tapi saya gembira,” katanya usai majlis tersebut semalam


Dalam pada itu, Neelofa yang turut meraikan hari lahirnya semalam berkata, dia tidak akan mungkin dapat memuaskan hati semua pihak

“Kalau saya hendak puaskan hati semua orang, sampai bila-bila pun tak dapat. Bagi saya, semua tetamu gembira dan kami dapat mencapai objektif program ini, cukup untuk saya,” katanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/kalau-hendak-kutuk-biarkan-neelofa-1.617376#ixzz58HQ2hZdw

“Rujuk Al-Quran” – Profesor Tegur Neelofa Lancar Tudung Di Zouk

attachment.php


Tindakan usahawan dan pengacara terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor melancarkan koleksi tudung terbaharu dan mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran ke-29 di kelab hiburan terkenal Zouk di ibu kota, malam tadi menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen.

Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, beliau berasa terkilan dan sedih dengan pemilihan lokasi yang dibuat Neelofa.

“Adakah difikirkan pelancaran hijab itu, boleh mengislamkan entiti kelab malam seperti The Zouk atau sebenarnya normalisasi yang sedang berjalan bahawa wanita Muslim yang bertudung juga sudah bebas boleh mengunjungi kelab malam?

“Alasan yang diberikan adalah tema dan kos penajaaan yang murah? Bukankah terlalu banyak tempat lain yang boleh dipilih yang lebih sederhana kosnya? Yang lebih mulia?,” demikian tulis Dr Rafidah dalam catatan di laman Facebook, hari ini.

Neelofa, yang menerima Anugerah Grandeur and Elegante Antarabangsa atas kejayaan mengemudi jenama Naelofar Hijab seperti dilapor Berita Harian memaklumkan keputusan memilih Zouk adalah kerana ia “bersesuaian dengan tema dan bajet” acara yang dianjurkan

Beliau yang juga Duta siri kedua Transformasi Nasional 2050 (TN50) berkata, “Saya membuat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai berhubung mana-mana perkara, yang penting saya tahu apa yang dilakukan.”

Dr Rafidah menambah tiada salah untuk Neelofa tidak memikirkan kata-kata orang, namun beliau meminta wanita itu merujuk semula ayat-ayat al-Quran berkenaan dengan pemakaian hijab dan pesanan Allah SWT terhadap wanita Muslim.

Beliau antaranya memetik surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud, "Hendaknya menutup seluruh tubuh dan tidak menampakkan anggota tubuh sedikit pun, selain yang dikecualikan kerana Allah berfirman, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dada mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak."

Katanya lagi, sebagai wanita Muslim dan berhijab, tempat-tempat maksiat seperti kelab malam perlulah dijauhi.

“Hijab adalah identiti yang berkembar rapat dengan taqwa, identiti kita sebagai wanita Muslim, yang sepatutnya menjauhi tempat - tempat maksiat, seperti kelab malam, apatah lagi The Zouk yang pernah mengundang berbagai kontroversi kerana penangkapan artis Muslim yang minum arak, dan pertandingan ratu cantik melibatkan peserta Islam suatu masa dahulu,” katanya yang setakat ini status tersebut mendapat perkongsian lebih 16,400 pengguna Facebook.

Semakan di laman sosial Twitter, kata kunci Zouk menjadi trending yang mana-mana rata-rata netizen sedang hangat memperkatakan tentang tindakan Neelofa itu, berbanding tudung baharunya.

Meskipun populariti nama Neelofa di Malaysia tidak perlu disangkal lagi, namun segelintir netizen berpendapat keputusan usahawan itu melancarkan produk terbaharu di kelab malam terkenal itu sebagai taktik “pemasaran murahan” bagi meraih perhatian.

Sebagai individu yang berazam untuk memberikan inspirasi kepada masyarakat, Neelofa perlu lebih bijak dalam membuat sebarang keputusan - termasuk pelancaran tudung di kelab malam kerana ia sedikit sebanyak telah mencalarkan imej beliau sendiri, walaupun mungkin beliau berpendapat, "tudungnya kini menjadi sebutan".

http://malaysiandigest.com/bahasa-m...esor-tegur-neelofa-lancar-tudung-di-zouk.html

Sponsored Post

Sponsored Post

Back
Top
Log in Register