MTUC gesa JTK lancar kempen kesan pekerja haram

CG Sponsors




alisha_qistina

Super Active Member
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,407
Reaction score
256
Points
81
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melancarkan kempen di seluruh negara bagi mengesan pekerja haram yang bekerja di negara ini, terutama di restoran dan kedai kopi, secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, G Rajasegaran, berkata pekerja haram ini sering dieksploitasi oleh majikan yang tidak berperikemanusiaan dan menerima layanan seperti "buruh dalam kurungan".

Beliau berkata, MTUC percaya kebanyakan pekerja haram itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan visa waktu ketibaan dan pasport mereka disimpan oleh majikan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sejumlah 39,046 warganegara India "hilang" di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Rajasegaran berkata, penguatkuasaan ketat oleh Jabatan Tenaga Kerja dapat membantu mengesan warganegara India yang "hilang" itu yang kebanyakan mereka bekerja secara haram terutamanya di restoran.

Katanya, setiap tahun MTUC menerima banyak permohonan daripada pekerja haram berkenaan yang mahu pulang ke negara asal tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pasport mereka disimpan majikan.

"MTUC mendapati kebanyakan pekerja terbabit ditipu untuk datang ke negara ini dengan dijanjikan pendapatan yang lumayan dan tempat kerja yang baik.

"Sesetengah daripada pekerja haram ini sudah berada di negara ini antara lima ke tujuh tahun dan berusaha untuk membebaskan diri daripada cengkaman majikan mereka yang tidak berperikemanusiaan," katanya.

Beliau percaya sesetengah daripada majikan berkenaan bekerjasama dengan ejen daripada 270 syarikat penyumberan luar di negara ini untuk membawa masuk pekerja haram terbabit.

Katanya, berkuatkuasa April tahun lalu, semua majikan perlu membayar levi pekerja asing, bagaimanapun berdasarkan penyelidikan MTUC, majikan masih memotong bayaran levi itu daripada gaji pekerja.

"Kita harap perkara ini turut disiasat oleh Jabatan Tenaga Kerja," katanya.

Sementara itu, Bernama difahamkan JTK sedang menjalankan rutin harian jabatan itu dengan memeriksa semua premis untuk memastikan tidak ada pekerja yang dieksploitasi.

"Kita tidak hanya memeriksa di restoran tetapi juga di semua premis yang mengambil pekerja luar negara sebagai pekerja mereka," kata jurucakap JTK. - Bernama
 
Top
Log in Register