balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136

Nurul Hidayah menggunakan air perigi di belakang rumahnya untuk mencuci pakaian.
< 1 / 1 >
GAAL (Pasir Puteh) - Tidak dapat digambarkan kesulitan sepasang suami isteri yang terpaksa menjalani kehidupan seharian tanpa kemudahan elektrik dan air yang sempurna.
Lebih merumitkan keadaan apabila Mohd Azuan Muhammad, 24, dan isteri, Nurul Hidayah Ismail, 24, tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Mohd Azuan berkata, sejak bapanya berpindah ke Padang Pak Amat lima tahun lalu, dia yang berpendapatan kecil tidak mampu membayar bil elektrik sehingga bekalan dipotong.
“Saya menggunakan air perigi sejak dahulu lagi dan ketika air kering akibat kemarau, saya terpaksa memunggahnya dari rumah nenek saya untuk kegunaan harian.
“Sejak lima tahun lalu, apabila malam saya menggunakan pelita atau lampu suluh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemudu Bongkok di sini, semalam.
Pasangan itu berkahwin pada Jun lalu dan bakal berdepan situasi lebih teruk kerana Nurul Hidayah yang berasal dari Machang kini hamil empat bulan.
Lebih memburukkan keadaan apabila Mohd Azuan mengalami kemalangan dua minggu lalu dan tidak mampu lagi bekerja sebagai buruh kerana kecederaan bahu.
“Saya perlu merujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tapi terpaksa melupakannya kerana tidak mampu.
“Kami terpaksa mengharapkan bantuan nenek kerana saudara mara jauh dari kampung,” katanya.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan dia tidak dapat menghantar isterinya bekerja di bandar ini.
Rumah peninggalan bapanya itu katanya, semakin ‘sempit’ apabila sebahagiannya usang dimakan anai-anai dan hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.
“Kini anai-anai sudah merebak ke bahagian yang masih elok, saya bimbang rumah ini akan runtuh suatu masa nanti.
“Saya berharap ada pihak yang membantu kami seberapa segera, sekurang-kurangnya isteri saya dapat bekerja supaya kami tidak bergantung kepada orang lain,” katanya.