Mari Kenali Jerebu

Recommended Brokers


Xploit Machine

Super Active Member
Joined
Nov 23, 2012
Messages
9,424
Reaction score
2,010
Points
176
Jerebu yang melanda negara kita pada ketika ini tersangat membimbangkan. Seperti tahun-tahun sebelum ini, jerebu telah membuatkan seluruh negara kucar-kacir dan menggugat keharmonian antara 2 buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Namun, sejauh mana kita faham tentang jerebu ini? Apa sebenarnya yang terkandung dalam udara berjerebu ini sehingga ia mampu meragut nyawa?

Seperti yang ramai tahu, udara yang wujud pada hari ini sebenarnya mengandungi bahan pencemar dan kita menghidunya dalam jumlah yang sangat kecil ketika mana udara agak bersih (API bawah 50).

Namun, peratusan bahan pencemar ini adalah lebih tinggi ketika berlakunya jerebu. Habuk halus (PM) menjejaskan lebih ramai orang berbanding bahan pencemar yang lain. PM10 dan ke bawah adalah lebih teruk.

Komponen utama PM ialah sulfat, nitrat, ammonia, natrium klorida, karbon, habuk mineral dan air.

Pendedahan kronik kepada zarah-zarah ini menyumbang kepada risiko mengembangkan penyakit kardiovaskular dan pernafasan, serta kanser paru-paru.


1. Sulfur Dioksida (SO2)

Sulfur dioksida adalah bahan pencemar yang membuatkan jerebu berbau yang menusuk hidung dan ia dihasilkan daripada pembakaran hutan gambut.

Sulfur dioksida boleh menjejaskan sistem pernafasan dan fungsi paru-paru serta menyebabkan kerengsaan mata. Keradangan saluran pernafasan menyebabkan batuk, rembesan lendir, asma yang memburuk dan bronkitis kronik serta menjadikan orang lebih cenderung kepada jangkitan saluran pernafasan.

Apabila tahap SO2 dalam udara adalah lebih tinggi, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat penyakit jantung dan kematian semakin meningkat.


2. Karbon Monoksida (CO)

Karbon monoksida adalah sejenis gas terhasil akibat daripada pembakaran yang tidak lengkap. Gas ini menghalang pengambilan oksigen oleh darah yang mana dapat mengakibatkan pengurangan yang sangat tinggi dalam penyediaan oksigen ke jantung, terutama bagi orang yang menderita penyakit jantung.


3. Nitrogen Dioksida (NO2)

Nitrogen dioksida adalah gas berwarna merah-jingga-coklat dengan bau yang menjengkelkan, menusuk hidung dan beracun. Di bawah sinaran matahari, nitrogen dioksida boleh menyebabkan pembentukan ozon, asid nitrik dan zarah yang mengandungi nitrat.


4. Ozon (O3)

Jangan keliru dengan lapisan ozon di atmosfera atas, kerana O3 adalah ozon di paras tanah. Ia merupakan salah satu unsur utama dari asap fotokimia.

Ozon yang berlebihan dalam udara boleh memberi kesan yang ketara pada kesihatan manusia. Ia boleh menyebabkan masalah pernafasan, mencetuskan serangan asma, mengurangkan fungsi paru-paru dan menyebabkan penyakit paru-paru.

Bahan pencemar lain yang terkandung dalam jerebu termasuklah karbon dioksida (CO2) dan juga wap air dari pembakaran.


Langkah Berjaga-Jaga Ketika Jerebu

Jika API mencecah 100 iaitu sesuatu yang sangat tidak sihat, mereka yang menghidap angin ahmar dan masalah jantung atau paru-paru yang kronik dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti luar.

Jika API melebihi 200, warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak perlu mengelakkan daripada keluar rumah dan tingkap rumah perlu sentiasa ditutup. Jika ingin keluar, dinasihatkan untuk memakai topeng muka.

Sebaik sahaja API melepasi 300, keadaan adalah sangat berbahaya dan orang sihat sekalipun dinasihatkan untuk tidak terlibat dalam aktiviti luar dan memakai topeng N95 ketika keluar.

Namun disebabkan oleh penggunaan topeng N95 membuatkan pernafasan terhad dan boleh menyebabkan ketidakselesaan, maka kanak-kanak tidak boleh memakai topeng ini.

Dan akhir sekali, anda perlu minum air dengan banyak, rehat dengan cukup dan makan makanan yang berkhasiat kerana badan anda akan bekerja lebih keras untuk membuang toksin yang anda hidu.

https://*************/img/upload/jerebu-malaysia-semakin-teruk.jpeg

Sumber asal https://www.loyarburok.com/2013/06/25/whats-in-haze/
 
Sponsored Post

Xploit Machine

Super Active Member
Joined
Nov 23, 2012
Messages
9,424
Reaction score
2,010
Points
176
Bagaimana Pembenihan Awan Membantu Menangani Jerebu?

Seperti yang diketahui umum, kebanyakan tempat di Malaysia kini dilanda masalah jerebu selama lebih daripada seminggu. Menurut agensi pemantauan serantau, terdapat sebanyak 22,336 titik utama (kawasan panas yang dikesan satelit, berkemungkinan tinggi untuk terbakar) sehingga jam 8 pagi pada 18 September 2019.

20,000 daripada titik utama ini berada di Sumatera dan wilayah Kalimantan di Borneo. Malaysia menyalahkan kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia, adalah punca terjadinya pencemaran udara ini.

Pemilik kawasan pertanian dan perladangan sering menggunakan cara paling murah dan mudah untuk membersihkan tanah bagi penanaman baru iaitu dengan membakarnya. Indonesia pula mendakwa beberapa syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di sana juga patut dipersalahkan.

Sebenarnya, tiada satu pun perbuatan menunding jari ini dapat mengubah fakta bahawa jerebu telah menjadi masalah tahunan di Malaysia dan negara-negara jirannya. Pada 2002, negara-negara ASEAN telah menandatangani perjanjian untuk menangani masalah jerebu ini. 17 tahun kemudian, masalah masih lagi belum diselesaikan.

Pembenihan awan untuk menghasilkan hujan adalah salah satu usaha terdesak untuk mengurangkan jerebu tetapi ia hanya merupakan penyelesaian sementara. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Bin Simon, selagi titik panas masih ada dan angin bertiup ke negara ini, jerebu akan kembali semula.

Musim hujan tidak akan bermula sehingga bulan depan jadi kemingkinan besar asap kebakaran itu tidak akan hilang kecuali kebakaran yang berlaku di Indonesia dapat dipadamkan. Walau bagaimanapun, pembenihan awan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan indeks pencemaran udara (IPU) buat sementara waktu.


Apakah Sebenarnya Pembenihan Awan?

Pembenihan awan secara dasarnya adalah campur tangan manusia dalam alam semula jadi terutamanya berkaitan cuaca. Konsep pembenihan awan ini telah wujud sejak tahun 1940-an lagi apabila Bernard Vonnegut mendapati bahawa iodida perak (argentum iodida atau silver iodide) boleh menghasilkan kristal ais ketika dilepaskan ke dalam ruang awan.

Iodida perak adalah serbuk kuning yang tidak larut apabila terdedah kepada cahaya. Selain digunakan untuk menghasilkan hujan tiruan, ia juga digunakan dalam penghasilan fotografi. Di negara barat, kaedah pembenihan awan juga digunakan untuk menghasilkan salji.

Proses pembenihan awan paling biasa dilakukan menggunakan kapal terbang. Di Malaysia, kita menggunakan pesawat Hercules C-130 milik TUDM untuk melakukan tugasan ini.

Apabila air menyejat dan naik ke atmosfera, ia berada dalam bentuk gas. Dari masa ke semasa, wap air ini akan menyejuk dan melalui proses pemeluwapan menjadi awan.

Untuk proses ini, wap memerlukan sesuatu untuk ia menempel seperti titisan air. Semakin banyak titisan yang bergabung dengan wap ini, semakin berat titisan air itu sehingga ia turun ke bumi sebagai hujan.

Ketika berada di ruang udara, para petugas akan menyembur campuran natrium klorida dan air ke ruang awan. Ruang awan yang sememangnya sudah mempunyai jumlah air yang sedikit akan memeluwapkan campuran bahan yang baru disembur tadi. Ini akan membantu menebalkan awan dan meningkatkan peluang untuk hujan.

Bahan cecair yang digunakan untuk pembenihan awan ini disimpan dalam tong berkapasiti 1,000 liter dan akan dibebaskan melalui paip di bahagian bawah setiap tangki. Pintu belakang pesawat kargo akan dibuka bagi melepaskan cecair ini sementara juruterbang akan memandu melalui awan.

Pembenihan awan ini hanya akan berfungsi apabila terdapat jumlah awan yang cukup untuk menghasilkan hujan. Proses ini mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mencari awan yang sesuai dengan panduan dari ahli meteorologi.

Bahan cecair yang digunakan perlulah disembur di tempat yang betul dalam jumlah yang sepatutnya bagi mengelakkan timbulnya risiko pencemaran. Setelah 20 hingga 30 minit proses pembenihan dilakukan barulah keputusannya dapat dilihat sama ada berjaya atau tidak.

Pembenihan awan yang dilakukan di Kuala Lumpur dan beberapa bandar utama di Malaysia boleh dikatakan berjaya apabila hujan lebat mulai turun tidak lama selepas itu. Akan tetapi, ia hanyalah langkah penyelesaian sementara sahaja.

Beberapa jam selepas hujan berhenti, jerebu kelihatan semula menutupi ruangan udara. Ini kerana secara purata pembenihan awan hanya mampu meningkatkan hujan sekitar 10 hingga 25 peratus sahaja.

Selain daripada pembenihan awan, kita hanya mampu berharap agar kebakaran hutan segera ditangani, musim hujan tiba lebih awal dan ada perubahan dalam tiupan angin.


https://*************/img/upload/proses-pembenihan-awan-2.jpg
https://*************/img/upload/proses-operasi-pembenihan-awan.jpg

Rujukan;
 
Last edited:

Xploit Machine

Super Active Member
Joined
Nov 23, 2012
Messages
9,424
Reaction score
2,010
Points
176
Panduan Memilih Topeng Muka Yang Betul Semasa Jerebu

Masalah jerebu memang mampu membuatkan seseorang merasa tidak selesa. Penulis sendiri ada masanya merasakan seolah-olah rasa menyucuk pada bahagian hidung dan mata berlaku, apabila berada di tempat terbuka.

Setiap kali tibanya musim jerebu, aktiviti penjualan topeng muka akan mula rancak dan salah satu pilihan paling popular untuk digunakan sebagai topeng muka, adalah topeng muka pembedahan atau 'surgical mask.'

Malangnya, penulis ingin menjelaskan di sini - topeng muka pembedahan sebenarnya langsung tidak sesuai untuk digunakan semasa musim jerebu. Ini kerana rekaan topeng muka pembedahan mempunyai banyak kelemahan yang menjadikannya kurang sesuai berbanding topeng muka sepatutnya, iaitu topeng muka N95. Mari kita lihat perbezaannya.


Mitos Penggunaan Topeng Muka Pembedahan

Memang ramai yang menggunakan topeng ini semasa jerebu dan perkara ini berulang setiap kali tibanya musim yang tidak diingini ini. Salah satu sebab mengapa topeng muka pembedahan digunakan adalah kerana harganya yang tersangat murah, berbanding topeng N95.

Bagaimanapun, topeng muka pembedahan mempunyai fungsi yang berbeza dengan topeng N95, kerana topeng muka pembedahan direka untuk menghalang cecair keluar daripada rongga wajah seperti hidung, mata dan mulut bukan untuk menapis kemasukan udara ke dalam rongga hidung.

Topeng muka pembedahan tidak mampu menghalang kemasukan partikel-partikel halus ke dalam hidung anda, termasuklah bakteria dan virus. Oleh sebab itulah ketika seseorang menghidap penyakit seperti selesema atau batuk-batuk, dia dinasihatkan untuk memakai topeng muka pembedahan bagi mengelakkan bendalir dari badannya tersebar ke udara.

Selain itu rekaannya yang agak longgar, langsung tidak menghalang kemasukan udara di bahagian tepi wajah - jadi pemakaiannya walaupun mungkin menyedapkan hati anda, sebenarnya tidak banyak membantu melindungi anda daripada kesan jerebu.

Ada yang kata lebih baik ada, daripada tak ada. Bukti sudah menunjukkan, ada atau tak ada - sama sahaja kesannya apabila menggunakan topeng muka pembedahan ini pada musim jerebu.


Memahami Apa Itu Topeng Muka N95

Salah satu istilah paling popular setiap kali topeng muka disebut semasa musim jerebu, adalah N95. Jangan salah anggap pula istilah ini merujuk kepada sebuah model telefon popular jenama Nokia iaitu Nokia N95. N95 dalam konteks ini, merujuk kepada sejenis topeng respirator yang fungsinya adalah menapis udara yang masuk ketika kita bernafas.

Topeng muka pembedahan bukanlah sejenis alat respirator, kerana respirator perlu mempunyai fungsi menapis udara masuk, bukan udara keluar. Sebuah respirator yang baik akan mampu menghalang hidung daripada menyedut habuk, asap, gas dan bau kurang menyenangkan apabila kita menggunakannya.

Wujud dua jenis respirator dengan tingkat tapisan yang berbeza-beza, respirator jenis pakai buang dan respirator jenis guna semula. Penapis yang ada diperbuat daripada fiber halus yang mempunyai tahap keporosan berbeza, mengikut jenis.

Tahap keporosan inilah yang akan menentukan gred topeng muka tersebut dengan gred terendah, adalah gred 95. Mari kita belajar apa itu gred topeng muka pula.


Memahami Gred Topeng Muka Yang Ada

Walaupun topeng muka N95 menjadi topeng muka paling kerap disebutkan, wujud beberapa gred berbeza dalam mengkategorikan jenis-jenis topeng muka yang ada.

Kita biasa mendengar gred N, tetapi untuk banyak kegunaan lain juga ada gred R dan juga gred P. Tiga gred yang berbeza ini diberikan bergantung kepada tahap rintangan penapis yang dipakai terhadap bahan seperti minyak.

Respirator jenis N bermaksud penapis yang ada tidak mempunyai sebarang rintangan terhadap sebarang jenis minyak. R pula mewakili penapis yang mampu menapis partikel minyak tetapi tidak sepenuhnya, sementara P pula bermakna penapis yang digunakan mampu bersifat kalis minyak.

Oleh kerana masalah jerebu merupakan masalah berkaitan kualiti udara, kita tidaklah memerlukan penapis bergred R atau P, cukup dengan penapis gred N sahaja melainkan kita memang kerap berada dalam situasi di mana udara diselubungi minyak, seperti mereka yang bekerja dalam bidang kejuruteraan kimia sebagai contoh.


Apa Pula Angka 95 Yang Di Letakkan?

Untuk memahami apakah angka yang diletakkan disebelah huruf N bagi mewakili setiap topeng respiratori yang ada, angka tersebut menandakan tahap kecekapan topeng muka tersebut.

Untuk topeng muka N95, ini bermakna topeng tersebut mampu menapis udara yang tidak berminyak dan mampu memerangkap 95 daripada 100 partikel yang masuk. Sekiranya topeng itu jenis N97, sama seperti 95 tadi ini menunjukkan topeng itu berupaya menahan 97 daripada 100 partikel berterbangan.

Tahap keupayaan paling tinggi adalah 100 di mana penapis mampu memerangkap 99.7% partikel udara daripada masuk ke dalam hidung. Sebuah topeng atau penapis yang mempunyai tahap kecekapan seperti ini seakan-akan mempunyai tahap kecekapan terbaik, setanding dengan jenis-jenis penapis berkategori HEPA atau 'High Efficiency Particulate Air'.

Hanya ada tiga gred saja layak digunakan sebagai respirator, dengan gred 95 dianggap paling rendah dan 100 diletak sebagai paling tinggi. Jadi janganlah terkejut pula sekiranya anda ditawarkan untuk membeli topeng muka N97 atau R100 atau P95 semasa musim jerebu ini. Kesemua topeng respirator yang ada memang mampu membantu dalam cuaca buruk sebegini.

Satu perkara yang menjadi penghalang adalah harganya. Untuk 20 keping respirator N95 yang baik, harganya adalah sekitar RM40 ke RM50 sekotak - jauh berbeza dengan harga topeng muka pembedahan yang dijual jauh lebih murah.

https://*************/img/upload/pakai-topeng-muka-jerebu.jpg

Rujukan;
 

Xploit Machine

Super Active Member
Joined
Nov 23, 2012
Messages
9,424
Reaction score
2,010
Points
176
Sejarah Bencana Jerebu Yang Saban Tahun Menghantui Malaysia

Kita mulakan artikel ini dengan satu pertanyaan mudah - ejaan mana yang betul; jerebu atau jerubu? Sekiranya anda melakukan carian di internet, masih banyak kekeliruan melibatkan perkataan ini dilakukan ahli masyarakat kita.

Ejaan yang betul adalah 'jerebu,' tetapi kesilapan dalam penggunaan istilah 'jerubu' juga masih diamalkan dengan beberapa jabatan kerajaan pun turut melakukan kesilapan serupa. Musim jerebu seolah-olah satu jadi satu kemestian akan berlaku di negara kita - dengan acara saling tuduh-menuduh di antara negara kita dan Indonesia akan berlaku menghangatkan suasana.

Bagaimana musim jerebu ini bermula sebenarnya? Adakah fenomena ini sesuatu yang baru atau sebenarnya sudah berlangsung agak lama? Jom kita telusuri tentang sejarah bencana jerebu yang kerap mengganggu kehidupan kita.


Sejarah Awal Bencana Jerebu

Sejak era 1960-an lagi sebenarnya bencana jerebu disebabkan oleh hasil tangan manusia dilaporkan berlaku, namun hanya bermula pada era 1980-an kajian saintifik untuk mengenalpasti insiden itu lebih jelas dimulakan. Pada zaman tersebut, satu insiden berlaku apabila sebuah pesawat yang sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur dari London, gagal mengenalpasti lokasinya sehingga terpaksa mendarat di Singapura disebabkan oleh kabus/asap yang terlalu tebal.

Rekod-rekod berkenaan jerebu berlaku dalam tempoh beberapa kali daripada tahun 1982 sehinggalah tahun 1998, dengan bulan Ogos hingga September menjadi detik di mana jerebu akan melanda negara kita. Pada era inilah dapat dikenalpasti bahawa jerebu yang ada, datangnya daripada proses pembakaran tidak terkawal dalam skala besar-besaran melibatkan kawasan hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Pada awalnya, jerebu hanya berlaku kurang daripada sebulan lamanya namun tahun 1991 disebutkan sebagai titik permulaan bencana jerebu menjadi semakin teruk, dengan asap menyelubungi ruang udara kita daripada bulan Ogos sehinggalah bulan September. Dua insiden berikutanya, pada tahun 1993 dan 1994 menunjukkan jerebu berlaku daripada bulan Ogos sehingga bulan Oktober; durasi ini akhirnya seolah menjadi kebiasaan yang perlu dilalui rakyat Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kerajaan Indonesia pula dilihat tidak mempunyai regulasi atau kuasa yang mencukupi dalam mengekang aktiviti pembakaran hutan - walaupun mendapat tekanan jiran serantau mereka. Situasi diburukkan lagi dengan musim kemarau yang berlaku daripada bulan Jun hingga September menyebabkan api mudah merebak ke kawasan-kawasan; menyukarkan pembakaran dikawal.


Siapa Salah - Indonesia, Malaysia Atau Singapura?

Apa punca sebenar bencana jerebu ini dan kenapa pembakaran terbuka dilakukan sewenang-wenangnya? Puncanya adalah sangat mudah - pada ketika musim kering atau musim kemarau, waktu ini adalah waktu yang paling sesuai bagi mengosongkan tanah bagi penanaman semula.

Penguasaha akan menggunakan teknik tebang dan bakar bagi melupuskan sisa-sisa tanaman yang perlu dihapuskan; namun kebiasaannya pembakaran yang dilakukan dibuat tanpa pengawasan yang sepatutnya menyebabkan api sangat mudah merebak.

Situasi ini berlanjutan sekian lama kerana pengusaha di Indonesia khasnya mengambil tindakan sedemikian rupa, bagi membolehkan penanaman semula kelapa sawit dilakukan secepat mungkin. Bagaimanapun, ekoran daripada proses tebang dan bakar berulang kali, tanah yang menjadi lokasi kawasan pembakaran akan mengalami masalah kehilangan lembapan.

Daripada tanah yang semakin kering ini, risiko untuk tanah sedia ada lebih mudah terbakar diburukkan lagi setiap kali kawasan-kawasan penanaman perlu dilapangkan.

Walaupun begitu, menyalahkan masyarakat Indonesia saja agak tidak adil walaupun mereka adalah penyumbang terbesar masalah ini. Sebanyak 627 kawasan pembakaran atau titik panas dikesan di seluruh kawasan Kalimantan sahaja tetapi rakyat Malaysia pun turut sama menyumbang 10 kawasan pembakaran di sekitar kawasan Sabah dan Sarawak, dipercayai dengan tujuan serupa.


Masalah Serantau Yang Sukar Untuk Di Atasi

Masalah jerebu yang berpunca dari Indonesia ini sebenarnya sudahpun bermula pada era 1930-an namun mula menjadi lebih besar, disebabkan oleh permintaan bahan pulpa melibatkan penguasaha dari Jepun dan China yang terlibat dalam pembuatan kertas, sekitar tahun 1960-an. Melihat peluang membesarkan ekonomi yang ada, kerajaan Indonesia memperkenalkan beberapa akta bagi menggiatkan aktiviti penanaman dalam menambahkan jumlah eksport memenuhi permintaan yang ada.

Konsesi-konsesi pembalakan dibenarkan beroperasi dalam membuka kawasan-kawasan penanaman baru, mengorbankan kawasan hutan yang ada untuk dijadikan kawasan tanaman balak. Langkah ini walaupun dikritik, membantu Indonesia meningkatkan jumlah eksport balak mereka serta menambahkan sumber ekonomi.

Bagaimanapun, akibat kesan buruk pembalakan yang dijalankan - akhirnya kerajaan Indonesia mengambil langkah mengurangkan kebergantungan ekonomi mereka kepada hasil balak pada tahun 1980 sebelum memperkenalkan larangan penuh pada tahun 1985, dibeberapa kawasan tertentu.

Kawasan-kawasan pembalakan di sekitar pulau Jawa yang sebelum ini aktif, mula menyebabkan jumlah penduduk yang tinggal di situ dalam keadaan padat memerlukan sumber pendapatan yang baru. Bagi membantu memulihkan semula kawasan yang terjejas, kempen yang dinamakan sebagai 'program perpindahan setempat' dilakukan, melibatkan penduduk Pulau Jawa ke kawasan baru di Kalimantan dan Sumatera.

Malangnya kerajaan Indonesia gagal meramal satu perkara yang akan berlaku.


Perpindahan Membuka Penempatan & Peluang Ekonomi Baru

Kemasukan beramai-ramai penduduk asal Pulau Jawa ke kawasan sekitar Kalimantan dan Sumatera memerlukan pembukaan kawasan-kawasan baru. Ini bermakna proses pencerahan hutan perlu dilakukan dalam skala besar bagi membolehkan kawasan penempatan baru dibuka.

Penduduk yang baru dipindahkan pula tidak ada jalan lain dalam mempercepatkan proses pembukaan penempatan, selain daripada mengamalkan teknik tebang dan bakar yang tidak memerlukan perbelanjaan yang besar - didorong oleh status pendapatan mereka yang sangat rendah.

Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku pada era ini masih boleh dikatakan kecil kerana banyak berlaku disebabkan oleh situasi tergesa-gesa penduduk yang mahu mempercepatkan proses perpindahan mereka.

Selepas lebih 5 tahun larangan penanaman balak dibeberapa kawasan diperkenalkan, ini telah menyebabkan Indonesia gagal memenuhi permintaan antarabangsa disebabkan oleh bekalan kayu yang menurun. Pada tahun 1990, kerajaan Indonesia berhasrat mahu membesarkan lagi industri minyak sawit di negara mereka yang pada ketika itu berada pada tahap 7% penyumbang kepada ekonomi negara.

Jadi kerajaan Indoensia memperkenalkan beberapa dasar baru memperkukuhkan industri sawit mereka, untuk menjadi salah satu cabang utama - menurunkan kadar faedah pinjaman kepada pengusaha sawit, meminda beberapa undang-undang, membuka lebih banyak kawasan penanaman dan yang lebih utama, menjalinkan hubungan dengan negara kita dalam memajukan lagi industri sawit.

Hasil daripada perubahan untuk mengutamakan pengeluaran minyak sawit ini, setiap tahun sejak tahun 1996 Indonesia kehilangan 2 juta hektar kawasan hutan yang diteroka bagi membolehkan kawasan penanaman sawit baru dibuka.

Perkara ini dirumitkan lagi dengan situasi yang perlu diteliti kerajaan Indonesia apabila melibatkan masalah jerebu ini. Ini kerana kegiatan sawit mereka, walaupun dilakukan di negara sendiri serta menggunakan kepakaran tempatan - sebenarnya bukan dimiliki oleh warga Indonesia. Pada tahun 2013, dilaporkan bahawa industri sawit yang menjadi punca terbesar masalah jerebu yang kerap melanda negara kita walaupun berpunca daripada Indonesia - sebenarnya melibatkan syarikat-syarikat dari Malaysia dan Singapura.

Hampir dua per tiga syarikat yang mengendalikan operasi penanaman dan pembakaran ladang-ladang sawit di Indonesia, khasnya di Sumatera dan Kalimantan dimiliki oleh rakyat Malaysia dan Singapura; dengan jumlah pelaburan melebihi RM3.3 billion keseluruhan.

Bolehkah disimpulkan di sini bahawa masalah jerebu yang berlaku, sebenarnya berpunca daripada kegagalan regulasi kerajaan Indonesia yang perlu bergantung dengan kegiatan penanaman sawit, serta syarikat-syarikat Malaysia dan Singapura yang tidak mempedulikan kesan kegiatan mereka kepada masyarakat di sekeliling mereka?

https://*************/img/upload/masalah-jerebu-bencana.jpg


Rujukan;
 
Sponsored Post
Top
Log in Register