zackpenang
Super Active Member

- Messages
- 5,974
Top Poster #4
- Joined
- Jan 9, 2010
- Messages
- 5,974
- Reaction score
- 1,842
- Points
- 151

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mengambil contoh pelaksanaan tahanan rumah seperti dikuatkuasakan negara jiran, Singapura, New Zealand dan Australia menerusi Akta Tahanan Rumah yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata tahanan rumah boleh dilaksanakan jika ia membabitkan kesalahan ringan dengan hukuman di bawah lima tahun.
Mengambil contoh Singapura, beliau berkata, mahkamah boleh membenarkan pesalah menjalani baki hukumannya di rumah untuk tempoh sehingga 12 bulan dengan pematuhan ketat terhadap perintah berkurung.
"Mereka yang layak memperoleh tahanan rumah antaranya pesalah yang sedang menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya sebulan dan sudah menjalani 14 hari hukuman berkenaan.
Disyorkan
"Mereka tidak disabitkan dengan kesalahan membawa hukuman mati atau tidak menjalani hukuman penjara seumur hidup, tidak disabitkan antara lain, dengan sekurang-kurangnya satu daripada kesalahan termasuk membabitkan pengedaran dadah, rusuhan dengan atau tanpa senjata berbahaya dan cubaan membunuh," katanya kepada BH, hari ini.
Bagaimanapun, pada masa sama, Nik Ahmad Kamal berkata, Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk mengarahkan tahanan rumah ke atas pesalah bagi salah satu kesalahan berkenaan dengan menimbang beberapa faktor.
"Di Singapura, kesalahan akibat penyelewengan wang masih boleh diberikan kemudahan tahanan di rumah," katanya.
Beliau berkata, bagi pelaksanaan hukuman tahanan rumah di New Zealand, ia antara lain hanya membabitkan pesalah disabitkan penjara bagi tempoh dua tahun atau kurang daripada tempoh itu.
Katanya, bagi Australia pula, pendekatan dilihat lebih longgar dengan tahanan di rumah boleh meninggalkan kediaman atas sebab tertentu termasuk program pengajian.
"Walaupun pesalah tidak boleh meninggalkan kediaman tanpa kebenaran, namun ada pengecualian tertentu dengan adanya pas tambahan.
"Namun mereka tetap dikawal ketat oleh peranti pemantauan elektronik," katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pula berkata pelaksanaan tahanan rumah boleh dilaksanakan walaupun tanpa akta khusus mengenainya, jika Jabatan Peguam Negara berpandangan ia termasuk dalam tafsiran lega hukum mengikut Perkara 42.
Beliau berkata, jika Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai pandangan sedemikian, maka mereka perlu mencadangkan satu garis panduan bersesuaian dalam pandangannya kepada Lembaga Pengampunan untuk disembah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Pandangan itu perlu dikemukakan bersekali dengan garis panduan lengkap bagi pelaksanaannya untuk diberi pertimbangan mesyuarat Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
"Tahanan di rumah yang boleh dilaksanakan atas lega hukum menggunakan kuasa prerogatif Agong walaupun belum ada akta khusus jika sekiranya Peguam Negara mempunyai pandangan sedemikian.
"Namun, tahanan rumah buat masa ini tidak akan berlaku jika Peguam Negara berpandangan Perkara 42 membataskan prerogatif Agong untuk membenarkannya.
"Agong mempunyai prerogatif untuk menimbang nasihat ahli Lembaga Pengampunan dan merundingkan keputusan yang wajar dibuat selaras sumpah jawatan baginda iaitu untuk menjalankan pemerintahan adil, memelihara agama Islam, menjaga keamanan, menjaga kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan," katanya