combat13
Super Active Member
- Messages
- 7,088
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 7,088
- Reaction score
- 222
- Points
- 73
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan buat Gaza dan menentang penjajahan Israel.
Beliau berkata sebagai sebuah negara kecil, Malaysia telah berusaha sebaiknya menyuarakan hak dan pembebasan rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
"Memang di banyak negara orang mengharapkan kita berusaha lebih lantang lagi. Saya fikir ini menyedihkan kerana ia menunjukkan kemunafikan dalam sistem politik dunia yang sungguh-sungguh mengaibkan.
"Paling akhir, ada usaha-usaha negara Eropah untuk menyekat penjualan senjata yang baharu ke Gaza. Agak terlambat (kerana) 50,000 wanita dan kanak-kanak yang hari-hari semasa lulus bantuan kemanusiaan, hari itu juga dibom, dunia kelu," katanya.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian dalam ucapan penggulungan sebelum menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang berakhir hari ini.
Beliau berkata PKR menghargai pihak yang mempunyai pendirian menyuarakan keadilan terhadap nasib Palestin termasuk kenyataan Paus Leo XIV yang menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza.
"Kenyataan pertama itu kadang-kadang suaranya itu lebih hebat daripada pemimpin Islam yang lain.
"Jadi, kita akan terus perjuangkan keadilan dan hak menentang penjajahan, penjajahan mana-manapun kita tentang termasuk penjajahan Israel ke atas bumi Gaza," katanya.
Agensi berita Anadolu pada 13 Mei melaporkan sekurang-kurangnya 52,908 rakyat Palestin maut dalam serangan genosid yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023.