Majlis bersama Murugiah kecoh

CG Sponsors




alisha_qistina

Super Active Member
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,410
Reaction score
256
Points
81
PETALING JAYA: Majlis Perhimpunan Penerangan Ketua-Ketua Cawangan Parti Progresif Penduduk (PPP) bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, di sini hari ini kecoh seketika apabila "diganggu" kira-kira 50 orang yang mendakwa penyokong Presiden PPP Datuk M Kayveas.

Kekecohan yang tercetus di luar dewan perhimpunan itu berlaku kira-kira 2.30 petang ketika Murugiah sedang berucap di hadapan 2,100 ketua cawangan parti dari seluruh negara.

Kumpulan penyokong Kayveas itu mendakwa majlis perhimpunan yang diadakan di Wisma Peladang itu tidak sah dan tidak mempunyai permit.

Insiden itu memaksa Murugiah yang baru berucap menghentikan ucapannya dan mengarahkan pegawainya "berbincang" secara damai dengan kumpulan berkenaan untuk beredar dari perkarangan Wisma Peladang itu.

Bagaimanapun, kumpulan penyokong berkenaan enggan mematuhi arahan dan terus bertikam lidah dengan pegawai Murugiah dan bertindak menghampiri pihak media yang berada di situ bagi menyuarakan bantahan mereka.

Kekecohan itu berjaya dileraikan anggota polis serta pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) setengah jam kemudian tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, A Chandrakumanan, antara yang terbabit dalam kumpulan membantah itu, berkata satu laporan polis akan dibuat di balai polis berhampiran sebagai susulan kepada laporan yang telah dibuat kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, kerana perhimpunan itu tidak sah dan menggunakan rakyat atas tiket Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN).

"Murugiah tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan itu kerana akan mengelirukan orang ramai dan mencalarkan imej BN terutama di kaca mata pembangkang," katanya.

Murugiah, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis perhimpunan itu pula berkata, beliau tidak gentar dengan cubaan untuk menjatuhkannya yang dibuat oleh penyokong Kayveas.

"Saya tidak takut sekiranya ada di kalangan mereka mahu membuat laporan polis. Buatlah seberapa banyak laporan polis, saya tidak kisah kerana keputusan Tribunal Timbangtara (Tribunal MATE) berpihak kepada saya dan mengatakan saya adalah Presiden PPP yang sah," katanya.

Katanya, perhimpunan itu bertujuan untuk menerangkan kepada anggota PPP tentang keputusan Tribunal yang bersidang pada 10 Disember lalu serta membincangkan strategi bagi menambah keanggotaan parti daripada 210,000 kepada 420,000 orang menjelang pilihan raya umum akan datang. - Bernama
 
Sponsored Post
Sponsored Post
Top
Log in Register