BTC USD 57,203.0 Gold USD 1,778.96
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Madrasah Rohingya tiada sijil

alisha_qistina

Super Active Member
Messages
6,412
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,412
Reaction score
257
Points
81
Pengurusan hadapi masalah setiap kali pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa

GOMBAK: Dalam memastikan kanak-kanak pelarian Rohingya di negara ini tidak terabai, sebuah pusat pendidikan diwujudkan oleh komuniti itu sendiri berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

Madrasah Anak-anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah itu diasaskan seorang ustaz 13 tahun lalu dan menawarkan Pendidikan Islam, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Kanak-kanak itu berdepan masalah mendapat pendidikan sempurna di sekolah kerajaan kerana status pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR), selain ada yang tidak mendaftarkan kelahiran anak mereka serta faktor yuran persekolahan di sekolah swasta yang tinggi.

Pengetua Madrasah Anak-anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Hafiz Hashim Qassim, berkata ketika ini ada 105 kanak-kanak berusia empat hingga 16 tahun belajar di bangunan rumah kedai tiga tingkat itu.

Katanya, 30 anak yatim dan miskin menginap di tingkat tiga bangunan itu yang dijadikan asrama bagi memastikan kanak-kanak berkenaan tidak ketinggalan atas nama kemiskinan.

“Kelas komputer juga diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak ini tidak ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat dan pada sebelah malam ceramah agama disampaikan untuk meningkatkan ilmu mereka agar menjadi insan berguna,” katanya pada satu pertemuan dengan Sentral.

Hafiz berkata, lapan guru mengajar secara sukarela di madrasah itu termasuk dua guru dari Australia yang mengajar bahasa Inggeris seminggu sekali.

“Disebabkan ini adalah madrasah persendirian, bantuan diterima daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Tzu Chi High School dari Taiwan yang turut membantu menyediakan 20 tenaga pengajar sukarela untuk mengajar bahasa Malaysia.

“Dana lain diterima hasil sumbangan guru yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak ini dan hasil jualan barangan runcit yang dijalankan secara kecil-kecilan,” katanya.

Hafiz mengakui beliau sentiasa berdepan masalah kerana tidak mempunyai sijil sah daripada pihak berkuasa.

“Apa yang saya harapkan supaya kami diberikan sijil untuk menjalankan pendidikan secara sah kerana setiap kali operasi, ada antara kami yang ditahan pihak berkuasa.

“Kami juga berharap NGO tempatan dapat memberikan sedikit sumbangan kerana jika madrasah ini ditutup kemungkinan masa depan kanak-kanak ini akan gelap serta terjerumus dalam kegiatan jenayah,” katanya.
 
Sponsored Post
Sponsored Post

CG Sponsors




Top
Log in Register