Lokman Adam Di Dakwa Api-Apikan Awam Melalui YouTube

Recommended Brokers


Xploit Machine

Super Active Member
Joined
Nov 23, 2012
Messages
9,526
Reaction score
2,034
Points
176
15.10.2019 - Shah Alam, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain.

Lokman Noor, 46, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mengikut pertuduhan, Lokman Noor didakwa membuat kenyataan dengan niat mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain menerusi laman sosial YouTube atas nama profil ‘Lokman Adam’ pada 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam, 12 Ogos lalu.

Hantaran di laman Youtube itu dilihat kira-kira jam 5 petang pada 13 Ogos lalu di bangunan Menara 1, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Lokman Adam didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria mencadangkan kepada mahkamah supaya Lokman Noor dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kerana pertuduhan itu adalah serius serta mengandungi unsur yang boleh membakar sentimen perkauman di negara ini.

“Oleh itu, mahkamah perlu melihat pertuduhan ini dengan serius bagi memberi mesej kepada orang awam demi menjaga kepentingan awam,” katanya.

Peguam Lokman Noor, N.Logendran pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja ekoran dipecat daripada menjadi Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan selepas pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan.

“Anak guam saya tidak bekerja sejak 13 bulan lalu dan perlu menanggung 11 anak yang masih belajar serta bersekolah. Malah, anak guam saya juga menghidap penyakit diabetes kronik serta baru dua minggu keluar dari hospital,” katanya.

Majistret Erry Shahriman membenarkan Lokman Noor diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes.



Berita asal https://selangorkini.my/2019/10/lokman-adam-didakwa-api-apikan-orang-awam-melalui-youtube
 
Top
Log in Register