BTC USD 48,910.9 Gold USD 1,784.16
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lembah Lenggong tapak warisan

alisha_qistina

Super Active Member
Messages
6,412
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,412
Reaction score
257
Points
81
TAIPING 18 Dis. - Jabatan Warisan Negara (JWN) akan mencadangkan tapak arkeologi Lembah Lenggong, Perak, diiktiraf sebagai tapak warisan dunia tidak lama lagi.

Pesuruhjaya Warisan Negara, Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid berkata, Lembah Lenggong yang kaya dengan pelbagai artifak prasejarah adalah tapak arkeologi pertama di negara ini.

''Untuk mendapatkan pengiktirafan warisan dunia kami telah menjalankan kajian bagi menyediakan dokumen mengenainya yang akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

''Kita sudah mula menyediakan cadangan tersebut untuk dikemukakan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan mendapatkan sokongan kerajaan negeri bagi tujuan pengiktirafan itu,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bangunan warisan Lembaga Kebersihan Taiping kepada Majlis Perbandaran Taiping.

Zuraina berkata, Lembah Lenggong mempunyai keistimewaan untuk mendapat pengiktirafan UNESCO kerana ia menjadi laluan awal pendudukan manusia dari Afrika ke Australia.

Kata beliau, keistimewaan itu ditambah lagi dengan penempatan awal dan menjadi 'ibu kota' negara ini termasuk penemuan 'Perak Man' di Gunung Runtuh.

Selain itu, menurutnya, di situ juga terdapat Gua Teluk Kelawar, Gua Gunung Runtuh, Bukit Jawa dan beberapa bukit lain yang menjadi tapak warisan awal.

Setakat ini, kata Zuraina, Malaysia mempunyai beberapa tapak warisan semula jadi iaitu Gunung Kinabalu (Sabah), Gua Mulu (Sarawak) selain tapak warisan bandar dunia di Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang.

Sementara itu, katanya, program konservasi akan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi mengekalkan kepentingan warisan negara.

Menurut beliau, sebanyak 14 program konservasi telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) membabitkan hanya negeri Perak.

Antara program tersebut adalah Muzium Perak di Taiping, Masjid Kampung Kuala Dal di Kuala Kangsar dan Pejabat Pos Ipoh.

''Masjid Kampung Kuala Dal dan bangunan Sanitary Board di sini telah diserahkan hari ini manakala bangunan Pejabat Pos Ipoh akan diserahkan pada pertengahan tahun depan,'' katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zuraina berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja konservasi dalam usaha pembaikan dan pemuliharaan bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah dan nilai seni binanya.

Bangunan Lembaga Kebersihan Taiping tersebut telah dibina pada 1892 iaitu ketika zaman pemerintahan British.

Projek pemuliharaan bangunan kolonial dua tingkat yang mempunyai ciri-ciri seni bina Anglo-Indian di abad ke-19 itu mula dilaksanakan pada Jun 2008 dan siap pertengahan tahun ini.
 
Sponsored Post
Sponsored Post

CG Sponsors




Top
Log in Register