BTC USD 81,428.5 Gold USD 3,032.67
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lawatan kerja PMX ke India dijangka kukuhkan hubungan ekonomi - Ramanan

Sponsored Post

Malaysia Jangka Pertumbuhan Perdagangan Dengan India Meningkat Susulan Lawatan PM Anwar Ke India​


3666030dc3a5c7144aef226b90f2faa966c6030d98839


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan pertumbuhan perdagangan dengan India meningkat pada 2024 berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata banyak cadangan telah dibincangkan dalam lawatan itu, dengan Perdana Menteri memberi tempoh tiga bulan kepada kementerian untuk mengemukakan rancangan yang jelas bagi kerjasama dengan India dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata daripada perspektif MITI, lawatan itu membuahkan hasil, yang menyaksikan pertemuan dua hala antara Anwar dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi.

Tengku Zafrul yang mengiringi lawatan Perdana Menteri ke India berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menambah baik perjanjian sedia ada, terutama dalam konteks kerjasama menyeluruh antara Malaysia dan India.

“Kerjasama ini meliputi pelbagai sektor termasuk pelaburan, perdagangan, pembuatan, semikonduktor, ekonomi digital dan keselamatan makanan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Dalam sidang media bersama semalam, Anwar dan Modi mengumumkan persetujuan Malaysia dan India untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Nilai perdagangan antara Malaysia dan India pada 2023 berjumlah RM72.31 bilion.

Mengulas pengumuman Anwar hari ini mengenai komitmen pelaburan berjumlah RM4.5 bilion yang diraih daripada pelbagai sektor dan syarikat di India, Tengku Zafrul berkata tiga syarikat India komited untuk melabur sebanyak RM4.5 bilion di Malaysia.

Sebelum ketibaan Perdana Menteri di India, Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif telah diadakan antara syarikat Malaysia dan India.

Tengku Zafrul turut memaklumkan pertemuan satu dengan satu antara Perdana Menteri dengan tiga syarikat hari ini, iaitu Tata Consultancy Services (TCS), Emami Agrotech Ltd dan HCL Tech, di sini serta perbincangan meja bulat dengan 31 syarikat India sama ada beroperasi di Malaysia atau bercadang memulakan operasi di Malaysia.

Beliau berkata antara isu yang ditekankan oleh Anwar dalam pertemuan meja bulat itu adalah perancangan bakat khususnya dalam bidang kejuruteraan.

Tengku Zafrul berkata, justeru syarikat India telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Malaysia untuk melatih pelajar mendapatkan pekerjaan dalam sektor ini.

Malah, dua syarikat semikonduktor India telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia dalam bidang seperti pembungkusan termaju dan reka bentuk IC berikutan Malaysia yang lebih ke hadapan berbanding India.

Terdahulu, sebagai langkah penting ke hadapan bagi hubungan perniagaan India-Malaysia, tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) perniagaan kepada perniagaan telah ditukar antara entiti Malaysia dan India, yang disaksikan oleh Tengku Zafrul.

MoU ini menekankan komitmen Malaysia dan India untuk meluaskan kerjasama ekonomi, membina kekuatan bersama dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan di kedua-dua negara.

Syarikat yang terlibat dalam pertukaran MoU itu adalah Renergy Bumi Hijau Sdn Bhd dengan Thiagarajar College of Engineering, Madurai, Tamil Nadu; Beyond4 Sdn Bhd dengan T-HUB Foundation; dan Mutiara Etnik Sdn Bhd dengan Neptune Automation SWM Pvt Ltd.

Selain itu Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dengan Rail Vikas Nigam Ltd, India; Cradle Fund dengan Invest India iaitu agensi promosi dan pemudahcara pelaburan rasmi kerajaan India; SMH Rail Sdn Bhd Malaysia dengan BEML Ltd, Bangalore, India; dan Majlis Perniagaan Malaysia-India dengan Invest India.

 

Anwar Sokong Lebih Banyak Dagangan India-Malaysia Guna Mata Wang Negara​

0857a7cfba3e06b83eccdfc26d2c9ff466c4d2068a90a

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South Leveraging on Malaysia-India Ties’ di Sapru House, Indian Council of World Affairs sempena lawatan rasmi beliau ke India selama tiga hari.

NEW DELHI, 21 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyuarakan sokongan beliau terhadap cadangan agar lebih banyak perdagangan Malaysia-India menggunakan mata wang negara masing-masing.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia telah bersetuju untuk meningkatkan lagi penggunaan rupee India dan ringgit bagi pertumbuhan perdagangan dua hala sebagaimana dibuktikan menerusi kejayaan dagangan Malaysia dengan China, Thailand dan Indonesia.

“Saya memberi maklum balas yang amat positif terhadap cadangan Perdana Menteri (Narendra) Modi berkaitan keperluan untuk menggunakan mata wang tempatan," kata beliau pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging on Malaysia-India Ties’ di Sapru House, Indian Council of World Affairs (ICWA) di sini pada Selasa.

Pada masa sama, Anwar turut menyarankan supaya lebih banyak negara sewajarnya menggunakan mata wang negara masing-masing dalam perdagangan daripada bergantung kepada sistem monetari lama yang didorong dari Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan awal pada sidang media bersama Anwar, Modi berkata India-Malaysia sedang mencatat kemajuan dan transaksi kini dapat diselesaikan menggunakan rupee dan ringgit.

Satu kenyataan bersama India-Malaysia menyatakan kedua-dua pemimpin itu dalam perbincangan mereka turut "menghargai kerjasama antara Reserve Bank of India dan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan dua hala selain menggalakkan industri kedua-dua pihak memudahkan lagi aspek invois dan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan."

Anwar tiba di New Delhi pada Isnin bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-India yang terjalin selama 67 tahun selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa depan.

Dalam lawatan itu, beliau diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke India sejak menjadi perdana menteri pada November 2022.

Perdagangan dua hala Malaysia dan India pada 2023 bernilai US$16.5 bilion, didorong oleh kadar pertumbuhan tahunan kompaun pada 8.5 peratus sejak dua dekad lepas. (US$1 = RM4.38)

 
India masih tidak selamat buat wanita

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Kumpulan doktor melaungkan slogan sambil memegang sepanduk semasa perhimpunan protes menuntut keadilan.
NEW DELHI - Kes seorang doktor pelatih di Kolkata mangsa pemerkosaan yang dibunuh kejam beberapa minggu lalu mendorong rakyat di India turun ke jalanan untuk menzahirkan bantahan terhadap keganasan seksual yang terus berleluasa walaupun pembaharuan undang-undang dan hukuman dilaksanakan.

Insiden menggemparkan yang turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa itu telah mencetuskan gelombang kemarahan di seluruh negara di mana lebih sejuta profesional perubatan juga nekad melakukan mogok.

Gerakan protes itu juga disertai ahli politik wanita selain penyokong kelab bola sepak yang menyatakan solidariti bagi menuntut hukuman yang lebih tegas ke atas pelaku.

Aktivis daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) bergelut dengan polis semasa protes di Kolkata.
Aktivis daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) bergelut dengan polis semasa protes di Kolkata.

Antara tuntutan mereka adalah menggesa persekitaran kerja lebih selamat terutamanya untuk doktor wanita.

Mayat mangsa berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan menyayat hati di samping pelbagai kesan kecederaan di dewan seminar di Hospital dan Kolej Perubatan RG Kar.

Hasil bedah siasat mengesahkan berlaku serangan seksual ke atasnya.

Ribuan doktor turut melancarkan mogok, namun mahkamah pada Khamis mengarahkan mereka untuk kembali semula bertugas.

Susulan demonstrasi besar-besaran itu, Mahkamah Agung mengarahkan penubuhan pasukan khas untuk mengkaji aspek tuntutan tersebut.

Hakim mahkamah berkenaan turut mencadangkan supaya pasukan petugas mempertimbangkan langkah pembaharuan secara menyeluruh termasuk mempertingkatkan keselamatan di institusi perubatan, bilik rehat berasingan untuk staf wanita, liputan meluas sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan penubuhan panel pekerja bagi menjalankan audit keselamatan pada setiap suku tahun.

Ahli Persatuan Kebajikan petugas perubatan dan aktivis memegang poster serta lilin ketika mengutuk insiden serangan seksual ganas terbaharu yang menggemparkan India.

"Jika wanita tidak berasa selamat di tempat kerja, ia seperti kita menafikan syarat asas kesetaraan,” kata D Y Chandrachud yang mengetuai panel tiga hakim.

Aktivis mengatakan bahawa insiden terbaharu itu jelas menunjukkan bagaimana golongan wanita di negara Asia Selatan tersebut terus menjadi mangsa keganasan seksual walaupun undang-undang yang lebih ketat diperkenalkan setelah insiden rogol beramai-ramai dan pembunuhan di New Delhi pada 2012.

Ketua Menteri Negeri Bengal Barat, Mamata Banerjee (tengah) juga mengambil bahagian dalam himpunan protes di Kolkata.

Pada Selasa, suspek telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kolkota setelah seorang lelaki yang bekerja di kompleks perubatan sama ditahan pihak berkuasa.

Proses perbicaraan di mahkamah berkenaan turut diawasi oleh Mahkamah Agung.

Biro Siasatan Pusat (CBI) juga telah mengemukakan laporan perkembangan siasatan itu kepada mahkamah.

Aktivis dan profesional perubatan turut menyertai demonstrasi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian doktor telah kembali bertugas setelah mengadakan mogok selama 11 hari.

Tetapi, tunjuk perasaan masih berterusan di Kolkata apabila sekumpulan peserta protes masih berhimpun dan melaungkan slogan mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. (Sumber: AFP)

KANUN SIVIL SERAGAM BELA WANITA?

Sementara itu di GUWAHATI, pihak berkuasa di negeri Assam memperkenalkan rang undang-undang (RUU) yang menghendaki penduduk Muslim mendaftarkan pernikahan dan perceraian mereka, di bawah langkah bertujuan untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak.

RUU tersebut bagaimanapun ditentang aktivis kerana didakwa sebagai satu bentuk serangan terhadap hak golongan minoriti tersebut.

Pemerintah negeri diketuai Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi memaklumkan RUU tersebut akan dibentangkan ketika sesi Parlimen akan datang.

"Ia dapat memberi perlindungan dan manfaat besar terutamanya kepada wanita serta menghapuskan trend kanak-kanak perempuan bawah umur yang dipaksa berkahwin,” kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma.

Pada awal bulan lalu, Modi memaklumkan beliau mahu meneruskan Kanun Sivil Seragam (UCC) atas alasan mahu menyeragamkan undang-undang tanpa mengira agama dan kepercayaan komuniti.

Tetapi, kebanyakan komuniti minoriti terutamanya Muslim bimbang UCC akan mencerobohi hak agama mereka memandangkan golongan tersebut telah ditindas dan menjadi sasaran Islamofobia puak nasionalis. (Agensi)
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register