BTC USD 67,159.8 Gold USD 2,340.20
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kuliah Bersiri Oleh Ustaz di Musim PKP-PKPB-PKPP 18 Mac 2020-2021-2022-2023-2024

Sponsored Post








Abdullah Bukhari Abdul Rahim
24 Mac jam 12:35 PTG

DOA HINDARI WABAK COVID 19 DARIPADA AYAT KURSI DAN SURAH AL-FALAQ.???

Ada berbagai amalan disebar dalam wassup. Ada yang kata itu amalan Tok Guru dahulu kala untuk hindar wabak. Di sini saya nak share apa yang sudah ada dalam al-Quran dan Hadith. Semoga bermanafaat.

Versi video:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=686378502166546&id=498002697670795

Dalam kuliah Maghrib mingguan di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B (Khamis, 13 Mac 2020) saya berkongsi cara menggunakan ayat al-Quran dan al-Sunnah sebagai doa mustajab penghindar bahaya wabak COVID 19. Ayat yang diajar-guna bukanlah ayat yang asing tetapi selalu kita gunakan. Berikut beberapa cara ringkas;

1) Ayat al-Kursi (al-Baqarah 2:255).

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya (langit dan bumi). Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya) (al-Baqarah 2:255).

Semua maklum betapa ayat al-Kursi sangat hebat kerana banyak nass hadith menyatakan kehebatannya. Ia ayat yang sangat ditakuti oleh syaitan. Membacanya sebelum tidur menjamin keselamatan pembacanya daripada gangguan syaitan (Hadith Sahih al-Bukhari). Orang yang melaziminya setiap kali selesai solat juga dijamin kunci syurga untuknya (Hadith Sunan al-Kubra al-Nasa’i & Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Antara rahsia kehebatan Ayat al-Kursi adalah terkumpul padanya yang satu ayat ini sebanyak 17 kali pengulangan nama Allah secara terang atau kata ganti nama iaitu:

اللَّهُ – هُوَ - الْحَيُّ -الْقَيُّومُ - لَا تَأْخُذُهُ - لَهُ - عِنْدَهُ - بِإِذْنِهِ - يَعْلَمُ - مِنْ عِلْمِهِ - بِمَا شَاءَ -كُرْسِيُّهُ - وَلَا يَئُودُهُ - حِفْظُهُمَا -وَهُوَ- الْعَلِيُّ -الْعَظِيمُ

Bagi tujuan penjagaan dan pelindung, kita perlu fokus pada bahagian akhir ayat ini iaitu:

وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya (langit dan bumi). Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).

Ketika sampai pada bahagian akhir ayat ini, kita perlu ulang berkali-kali dan fokus pada maknanya. Jika Allah mampu dan tidak berat sedikit pun menjaga kerajaan-Nya yang seluas langit dan bumi, pasti Dia tidak susah untuk menjaga kita, keluarga kita dan seluruh umat Islam daripada sebarang bencana termasuk wabak COVID 19.

2) Surah al-Falaq.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memiliki waktu subuh, Daripada kejahatan makhluk ciptaan-Nya, Dan daripada bahaya gelap malam apabila ia masuk, Dan daripada kejahatan makhluk yang menghembus pada simpulan (dan ikatan –kejahatan tukang sihir), Dan daripada kejahatan orang yang hasad apabila dia melaksanakan hasadnya (al-Falaq 113:1-5).

Surah ini dinamakan surah waktu Subuh yang dipetik daripada perkataan Falaq. Pun begitu, makna sebenar Falaq adalah pecah atau belah. Maksudnya Allah adalah satu-satu-Nya Tuhan yang mampu membelah atau memecahkan biji buah sehingga menumbuhkan tunas pokok. Juga Allah adalah satu-satu-Nya Tuhan yang mampu membelah atau memecahkan kegelapan malam lalu menyinsingkan fajar pagi:

إِنَّ اللَّهَ فَالِقُ الْحَبِّ وَالنَّوَى يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَمُخْرِجُ الْمَيِّتِ مِنَ الْحَيِّ ذَلِكُمُ اللَّهُ فَأَنَّى تُؤْفَكُونَ (95) فَالِقُ الْإِصْبَاحِ وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ (96)

Ertinya: Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Dia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan daripada menyembah-Nya (oleh benda yang kamu jadikan sekutuNya)? Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui (al-An’am 6:95-96).

Sungguh! Tiada kuasa lain yang mampu menyinsingkan kegelapan malam menjadi subuh selain Allah. Oleh itu, ketika membaca surah al-Falaq kita wajib yakin bahawa hanya Allah satu-satu-Nya Tuhan yang mampu melindungi kita daripada segala mara bahaya yang disebut dalam surah ini iaitu kejahatan semua Makhluk ciptaan-Nya yang merangkumi malam yang gelap (ayat 3), sihir yang durjana (ayat 4) dan jiwa yang penuh hasad dengki (ayat 5).

Untuk wabak COVID 19, kita boleh ulang pada ayat kedua dengan memaksudkannya sebagai makhluk jahat ciptaan Allah. Ulanglah ayat kedua ini sebanyak mungkin dan fokuslah sepenuh hati padanya. Mohonlah agar Allah selamatkan kita semua daripada kejahatan COVID 19 ini.

3) Doa Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ- بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ -ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .
Ertinya: Tidak ada seorang pun hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang melainkan tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama nama-Nya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).
Juga doa:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ ، قَالَ أَمَا لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ : أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ ، لَمْ تَضُرَّكَ
Ertinya: Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW dengan katanya: "Wahai Rasulullah, Alangkah sakitnya ketika aku disengat kala jengking semalam." Baginda menjawab: " Jika kamu membaca pada waktu petang (doa ini): Aku berlindung dengan Kalimah Allah yang Maha Sempurna dari segala kejahatan makhluk, sudah pasti ia (sengatan jengking itu) tidak akan memudaratkan kamu (Sahih Muslim).

Ingatlah! Kita umat Islam perlu bersikap saintifik dengan mengambil langkah berjaga-jaga menghindari segala punca wabak COVID 19 seperti menjaga jarak selamat dan menjaga kebersihan diri. Ia termasuk dalam perlaksanaan takdir Tuhan sebagaimana sabda Nbai SAW:
عَنْ سَلْمَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ وَلَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ
Ertinya: Tidak akan ditolak sebarang ketentuan (Allah) melainkan dengan doa dan tidak ada perkara yang mampu menambah (memanjangkan) usia melainkan dengan amal kebajikan (Sunan al-Tirmidhi).

Usaha perlu seiring dengan doa kerana kesudahan akhirnya terletak pada Allah. Semoga usaha bersalut doa menjadi sebab keselamatan kita sesuai dengan kehendak-Nya:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Ertinya: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya daripada para hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (Yunus 10:107).

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
23 Mac 2020.
 


QuranHour

· 9 min ·



QuranTime
26 Mac 2020 / 1 Syaaban 1441H
Hari ke-9 #PerintahKawalanPergerakan
Insha-Allah kita akan bertemu di online jam 8.00 - 8.30 pagi ini.

Pagi ini sinopsis Juzuk 18 ms 342, merangkumi Surah-surah Al-Mukminun, An-Nur dan Al-Furqan.

Sinopsis Juzuk 19 ms 362, merangkumi Surah-surah Al-Furqan, Al-Syu'ara' dan Al-Naml dan Tadabbur Surah Ar-Rahman

FB Live QuranHour




1585179025769.png





 


DR MAZA - Pahala syahid Duduk Di Rumah Semasa Wabak


DrMAZA.com
2 min ·

Memahami Hadis Pahala Syahid Duduk Di Rumah Semasa Wabak

Prof. Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Mufti Negeri Perlis

Ramai yang bertanya tentang hadis pahala syahid sesiapa yang tinggal di rumah dengan sabar dan mengharapkan pahala semasa wabak. Hadis tersebut daripada Umm al-Mukminin ‘Aishah r.ha:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَتْ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي "أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ -وفي رواية أحمد : فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ- صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ"
“Daripada ‘Aishah r.ha yang merupakan isteri Nabi s.a.w, beliau berkata: “Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai (penyakit) taun. Baginda memberitahu kepadaku: “Sesungguhnya ia merupakan azab yang ALLAH hantar kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Sesungguhnya ALLAH menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiada seorang pun yang berlaku taun (di tempatnya), lalu dia kekal berada di tempatnya -dalam riwayat al-Imam Ahmad: kekal berada dalam rumahnya- dalam keadaan sabar serta mengharapkan (pahala atau kesembuhan dari ALLAH) dengan dia percaya bahawa tidak menimpanya melainkan apa yang ALLAH tetapkan untuknya, maka baginya seperti pahala seorang syahid”.

Ulasan Hadis:

1. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari sebanyak dua kali. Pertama dalam كِتَابُ أَحَادِيثِ الأَنْبِيَاءِ/ بَابُ حَدِيثِ الغَار dan kedua كِتَابُ الطِّبِّ/ بَابُ أَجْرِ الصَّابِرِ فِي الطَّاعُونِ. Dalam Musnad Ahmad diriwayatkan sebanyak tiga kali dan lafaz فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ (dia kekal berada dalam rumahnya) ialah hadis 26139 (cetakan Beirut: Muassasah al-Risalah/tahqiq: Syu’aib al-Arnaut). Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Nasai dalam al-Sunan al-Kubra dan Ishaq bin Ruhuyah dalam musnad beliau.

2. Dalam hadis ini, Nabi s.a.w menggesa sesiapa yang berlaku wabak taundi negeri atau tempatnya agar kekal tidak meninggalkan tempat atau rumahnya. Para ulama dahulu ketika membahaskan hadis ini, banyak tertumpu kepada bab keredhaan menerima ujian ALLAH dan sabar. Mereka tidak menumpukan kepada alasan arahan Nabi s.a.w supaya berada di tempat atau rumah kawasan terjadi wabak. Mungkin antara sebabnya, perkembangan ilmu perubatan semasa itu belum seperti di zaman ini. Namun, jika kita lihat dari sudut ilmu perubatan di masa ini, antara hikmat yang besar panduan Nabi s.a.w ini ialah supaya mereka yang terkena wabak atau mempunyai kontak (hubungan) dengan pembawa virus (carrier) tidak bergerak ke tempat lain yang akan menyebabkan virus itu tersebar. Melalui ilmu perubatan moden hari ini, kita dapat tahu bahawa bukan orang positif virus sahaja yang boleh menyebarkan penyakit, orang lain yang berhubungan langsung dengan pesakit juga boleh menjadi pembawa virus wabak tersebut. Dia mungkin masih tampak sihat disebabkan antibodinya yang kuat, tapi dia boleh menjadi pembawa. Demikian juga orang yang terkena virus wabak, kadang-kala tidak nampak kesan pada peringkat awal. Seseorang mungkin merasakan dirinya sihat, padahal dia sudah terkena wabak dan menjadi pembawa wabak. Kemudian, baru kesannya akan zahir pada dirinya. Menghalang mereka yang berada di kawasan wabak keluar bererti dapat menghalang mereka yang positif wabak, dan juga yang mempunyai kontak (perhubungan) dengan mereka yang positif wabak yang berpotensi menjadi pembawa wabak (potential carrier). Pada zaman dahulu, tiada teknologi untuk mengesan dan membuat saringan mereka yang positif atau negatif wabak. Demikian juga, bukan mudah sekalipun di zaman ini untuk mengesan dengan siapa seseorang telah mempunyai hubungan seperti pertemuan atau sentuhan atau terkena virus pada barangan yang disentuh, atau pada udara. Maka, menghalang manusia yang berada di kawasan wabak keluar ke kawasan lain merupakan langkah yang paling berkesan. Ini membuktikan kebenaran ajaran Nabi s.a.w. Pada hari ini kita melihat di mana kerajaan-kerajaan di dunia mengambil langkah kuarantin dan ‘lockdown’ iaitu menegah pergerakan rakyat.

3. Kita tahu bahawa jika penduduk yang masih sihat di negeri yang terkena wabak itu kekal di negeri mereka, mereka mempunyai risiko akan terkena virus wabak tersebut. Maka biasanya, manusia yang belum terkena wabak akan memilih untuk melarikan diri dari negeri mereka yang ditimpa wabak. Tindakan itu kemungkinan menyebabkan wabak menular pula kepada penduduk negeri lain. Ini seperti yang kita tahu bahawa seseorang mungkin positif wabak tapi belum nampak kesannya pada peringkat awal. Juga mungkin dia belum positif disebabkan antibodi yang kuat, tapi dia pembawa virus. Dia mungkin merasakan melarikan diri ke tempat lain itu dapat menyelamatkan dirinya, padahal dia berkemungkinan membawa penyakit bersamanya kepada orang lain. Maka, Nabi s.a.w menyuruh mereka itu kekal di negeri atau tempat tersebut sekalipun mempunyai risiko yang besar. Maka, kekalnya mereka di tempat mereka seperti mengorbankan diri sendiri demi menyelamatkan orang lain. Maka, di situ mereka mendapat pahala syahid jika mereka melakukannya kerana menunaikan perintah Nabi s.a.w dalam keadaan sabar dan mengharapkan pahala. Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan Usamah bin Zaid, Nabi s.a.w bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ، فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
“Apabila kamu mendengar mengenainya (wabak taun) di sesuatu tempat, maka jangan kamu memasuki tempat tersebut. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada dalamnya, jangan kamu keluar melarikan diri daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Pada zaman yang perkembangan ilmu perubatan belum maju, penawar bagi banyak penyakit sukar ditemui. Bahkan pada hari ini pun, apabila berlaku sesuatu wabak baharu, bukan mudah manusia mendapatkan ubat yang dapat menyembuhkan wabak yang baru. Terus berada di kawasan wabak demi mematuhi arahan Nabi s.a.w dalam keadaan tiada penawar atau pembenteng, seakan menyerah diri kepada penentuan Allah tanpa usaha menyelamatkan diri. Sedangkan kita tahu, asal dalam ajaran agama berusaha dan bertawakkal. Ini seperti sabda Nabi s.a.w apabila ditanya oleh seorang lelaki:
قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ، أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ؟ قَالَ: "اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ"
Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah aku patut menambat untaku dan bertawakkal, atau aku melepaskannya dan bertawakkal?”. Jawab Nabi s.a.w: “Tambatlah unta itu, dan bertawakkal” (Riwayat al-Tirmizi. Ibn Hibban mensahihkannya. Hadis berstatus ‘hasan’ pada sisi al-Albani dan al-Arnaut).
Maka, di sini datangkan peranan keyakinan terhadap kehendak Allah boleh mengatasi segala jika DIA kehendaki, atau DIA memberikan pahala yang besar atas ujianNYA.

5. Dalam keadaan ruang usaha atau mencari sebab musabab tidak boleh dilakukan, maka yang tinggal hanyalah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kita tahu, alam ini Allah cipta atas sistem dan peraturannya. Sebab dan musabab berperanan dalam kejadian-kejadian alam. Allah menyuruh hamba-hamba berusaha dan melalui sistem yang DIA letakkan pada alam ini. Para rasul yang diutus oleh Allah juga mesti melalui usaha dan mencari jalan menjayakan dakwah mereka, tidak hanya bertawakkal dan menunggu kemenangan. Berusaha dan bertawakkal, itu asal tanggungjawab kita. Namun, apabila segala usaha sudah habis atau tiada lagi, maka hanya pergantungan kepada Allah sahaja yang tinggal. Maka, dalam hadis ini Nabi s.a.w menegaskan hendaklah orang yang kekal di kawasan wabak itu meyakini bahawa tidak akan menimpanya melainkan apa yang Allah telah kehendaki untuknya. Dalam erti kata lain, sekalipun usaha telah habis, bukan bererti pengharapan telah tamat. Jika Allah mahu, Allah akan memeliharanya dari bahaya wabak tersebut. Hanya Allah yang dapat mengatasi sistem alam ciptaanNYA. Adapun, jika penyakit tetap menimpanya, atas sistem asal alam yang Allah jadikan, maka Allah berikan ganjaran rahmat untuknya. Dia akan diberikan keampunan dan pahala yang besar. Jika seseorang yang duduk di rumah, sabar dan mengharapkan pahala mendapat ganjaran syahid, sudah pasti jika dia mati pahala itu lebih besar untuknya.

 
Last edited:
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register