Kontraktor gagal dalam rayuan kes bunuh enam orang

CG Sponsors




alisha_qistina

Super Active Member
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,407
Reaction score
256
Points
81
PUTRAJAYA: Seorang kontraktor gagal dalam usaha terakhir bagi menyelamatkan diri dari hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bunuh kerana membunuh enam orang termasuk isteri dan anaknya, 12 tahun lalu.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, menetapkan bahawa tindakan Yeap Boon Hai menyalakan api ke atas sebuah rumah kedai menggunakan petrol, termasuk di dalam definisi bunuh mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

"Beliau mungkin tidak berniat menyebabkan kematian, tetapi tindakannya amat berbahaya yang mesti, dalam semua kemungkinan, menyebabkan kematian.

"Dalam kes ini, perayu telah memulakan kebakaran pada awal pagi dan amat mengetahui bahawa rumah kedai itu dihuni oleh ramai orang termasuk isteri dan anaknya dan tindakannya adalah amat berbahaya dan ia boleh menyebabkan kematian kepada orang berkenaan," katanya yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof, dan Datuk James Foong.

Yeap, 50, didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi kerana menyebabkan kematian enam mangsa di dalam rumah kedai di Taman Seri Serdang, pada 3.40 pagi, 14 April 1997.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 10 Disember 2008.

Keenam-enam yang mati terbakar itu ialah isteri Yeap, Kee Sok Kiang, 34, anak Yeap, Cheok Wai, 12, ibu mentuanya Koh Seik Lang, 59, abang ipar Kee Kim Hup, 30, bapa saudara Khor Chai Peng, 47 dan anak saudaranya Khor Khim Im, 38.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, abang Yeap dan kakak iparnya memberi keterangan bahawa tertuduh beberapa kali bertengkar dengan isteri dan ibu mentuanya pada sebelah petang, sehari sebelum insiden itu.

Seorang saksi, atendan stesen minyak memberi keterangan bahawa tertuduh telah membeli petrol dan mengisinya di dalam empat bekas pada 2.30 pagi, 14 April, 1997.

Seorang saksi yang tinggal bersebelahan rumah kedai itu memberi keterangan bahawa Yeap dilihat melarikan diri dan menuruni tangga rumah kedai itu dalam keadaan tergesa-gesa semasa rumah kedai itu terbakar.

Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Arifin berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan membuat kesimpulan yang tepat selepas menimbangkan semua bukti. - Bernama
 
Sponsored Post
Sponsored Post
Top
Log in Register