notepad
Legendary Member

- Messages
- 15,662
- Joined
- Sep 17, 2011
- Messages
- 15,662
- Reaction score
- 2,149
- Points
- 266
- Awards
- 1

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada majlis Pelancaran Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) & Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di Putrajaya hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan 'perang' ke atas gula dalam tempoh terdekat sebagai usaha kerajaan mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pendekatan itu akan dibuat melalui tindakan penggredan minuman mengikut kandungan gula.
"Dalam tempoh terdekat, KKM akan memperkenalkan satu sistem penggredan minuman.
"Ini kerana, negara jiran Singapura ada mengkelaskan kandungan gula dalam minuman bagi kategori A, B, C dan D.
"Seterusnya kempen advokasi mengurangkan pengambilan gula secara besar-besaran akan dilaksanakan melalui inisiatif yang sudah dilaksanakan antaranya pendekatan fiskal iaitu pengenaan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pra-campuran yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KKM hari ini.
Berdasarkan Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang didedahkan hari ini, kira-kira setengah juta atau 2.5 peratus individu dewasa menghidap empat penyakit NCD termasuk obesiti dan kencing manis.
Dr Dzulkefly bagaimanapun tidak memberikan tempoh spesifik bagi pelaksanaan penggredan minuman itu.
Untuk rekod, di Singapura, label pemakanan wajib yang dipanggil 'Nutri-Grade' mengkelaskan minuman mengikut kandungan gulanya.
Label Nutri-Grade itu mempunyai empat gred yang diberi kod warna A (hijau tua), B (hijau muda), C (jingga) dan D (merah) berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu.
Tanda hijau tua gred A menunjukkan minuman itu mengandungi gula dan lemak tepu paling rendah, manakala gred D (merah) sebaliknya.
Pada masa ini, kerajaan sudah mengenakan duti eksais 40 sen mulai 1 Julai 2019 bagi setiap liter minuman manis yang mengandungi lebih daripada lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi setiap 100 milimeter (ml).
Katanya, pendekatan itu perlu dilakukan segera bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan walaupun terdapat laporan yang menunjukkan terdapat penurunan penyakit NCD seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 2019.
Ia berdasarkan laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, prevalens diabetes menurun sebanyak 2.7 peratus antara 2019 hingga 2023 manakala hipertensi menurun sebanyak 0.8 peratus dan kolesterol tinggi menurun sebanyak 4.8 peratus dalam tempoh masa sama.
Dr Dzulkefly, bagaimanapun berkata, data NHMS 2023 menunjukkan satu daripada dua rakyat Malaysia obesiti dan berlebihan berat badan.
Individu mempunyai berat badan berlebihan dan obes berisiko menghidap Diabetes Jenis Dua dan lebih berisiko tinggi menghidap kanser dan penyakit yang dikaitkan dengan pengumpulan sel lemak di hati.
"Justeru, perang terhadap gula selari dengan usaha mengurangkan diabetes dan penyakit NCD lain," katanya.
Terdahulu, Dr Dzulkefly melancarkan NHMS 2023 dan Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia.