Info Kisah Syarikat Penerbangan Tambang Murah Menakluki Eropah - Ryanair

CG Sponsors




Xploit Machine

Legendary Member
Joined
Nov 23, 2012
Messages
19,455
Reaction score
3,342
Points
236
Bagi kebanyakan daripada kita, anda pasti tidak mengenali nama Ryanair. Namun bagi kaki travel atau mereka yang belajar di luar negara terutamanya di Eropah, syarikat penerbangan ini sangat popular.

Telegraph melabelkan Ryanair sebagai "masih syarikat penerbangan paling popular di dunia", berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengankutan Udara Antarabangsa, kerana membawa penumpang paling ramai di dunia.

Malah, gabungan jumlah penumpang EasyJet dan British Airways pun masih rendah berbanding Ryanair, sekaligus memastikan bahawa para penumpang ketagih dengan tambang rendah, tiada caj bahan api dan perkhidmatan pelanggang terbaik yang ditawarkan oleh Ryanair.


Namun, semuanya bukanlah sentiasa indah bagi Ryanair di mana mereka hampir gulung tikar pada tahun 1988, membawa kepada perubahan model perniagaan pada tahun 1990an untuk menjadi antara salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia.

Walaupun ditubuhkan pada November 1984 di Dublin, Ireland, penerbangan pertama Ryanair adalah pada 8 Julai 1985.

Kisah bagaimana syarikat ini mendapat namanya tidaklah begitu menarik kerana ia hanya mengambil nama keluarga pengasasnya iaitu Tony Ryan.


Menggunakan pesawat Embraer Banderante 15 tempat duduk, laluan pertama Ryanair hanyalah penerbangan singkat dari Waterford di Ireland ke Lapangan Terbang Gatwick di London.

Dan ketika pelancarannya, Ryanair hanya mempunyai 25 orang pekerja sahaja.

Setahun kemudian, perjalanan syarikat ini menjadi semakin menarik.

Pada ketika itu, syarikat ini sudah memiliki dua buah pesawat 46 tempat duduk dan diberikan kebenaran untuk terbang dari Dublin, Ireland ke London.

Syarikat penerbangan ini melancarkan laluan ini dengan tambang £99 (RM529) dan dalam setahun operasi, ia telah membawa sekitar 82,000 penumpang.

Pada tahun 1987, Ryanair mula menggunakan pesawat jet.


Syarikat penerbangan itu memilih untuk menyewa tiga buah pesawat BAC1-11s, yang ditambah kepada enam buah pada tahun berikutnya.

Walaupun ia mungkin kelihatan seperti sesautu yang sukar untuk dipercayai, namun Ryanair melancarkan tempat duduk kelas perniagaan dalam jetnya dan skim penerbangan kerap sekitar tahun 1988.

Walau bagaimanapun, kedua-dua ini diabaikan mereka setahun kemudian. Dan ketika mana semuanya kelihatan sangat lancar bagi Ryanair, mereka tidak menyedari bahawa bencana akan melanda.

Pada penghujung tahun 1980an, syarikat ini kerugian £20 juta (RM214 juta hari ini), yang memerlukan pelaburan tambahan sebanyak £20 juta dari keluarga Ryan. Hal ini hampir-hampir membuatkan syarikat ini musnah.

Dan ia juga merupakan peristiwa yang melihatkan penubuhan asas kepada Ryanair yang wujud pada hari ini.


Era penerbangan tambang rendah di Eropah bermula pada tahun 1990an apabila Ryanair menggunapakai model Southwest Airlines yang berjaya. Ini adalah ketika di mana Ryanair berubah kepada armada pesawat tunggal, sebagai tambahan kepada pemotongan makanan dalam pesawat.

Perubahan-perubahan ini terbukti sangat berjaya bagi syarikat ini sehinggakan mereka dapat menurunkan caj sebanyak £40.

Pada tahun 1991, Ryanair memindahkan pangkalannya di London ke Lapangan Terbang Stansted. Tindakan ini sangat jelas sebagai detik yang sangat penting bagi Ryanair kerana sehingga ke hari ini, Stansted adalah hab lapangan terbang terbesar mereka.

Pada tahun 1995, Ryanair menjadi syarikat yang menggunakan pesawat Boeing 737 secara sepenuhnya. Dan tahun 1997 merupakan tahun yang sangat menarik bagi Ryanair di mana mereka memulakan operasi pertamanya ke Eropah, berikutan penyahkawalseliaan perniagaan penerbangan berjadual.

Penerbangan dari Stansted, London ke Stockholm, Sweden dilancarkan dan setahun kemudian, Ryanair membeli 45 buah pesawat Boeing 737-800 dengan kos $2 bilion (RM12.8 bilion).


Pada Januari 2000, Ryanair melancarkan laman sesawang pertamanya. Walaupun laman ini kelihatan sangat teruk jika dibandingkan dengan standard hari ini, ia merupakan sesuatu yang sangat besar pada ketika itu.

Tak lama kemudian, syarikat ini mula menerima 50,000 tempahan setiap minggu dan Ryanair memutuskan untuk menjadikan ia satu-satunya tempat untuk membeli tiket.

Laman sesawang tersebut dibina oleh seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun dengan kos sekitar £20,000 (RM181,000).

Pada tahun 2002, Ryanair semakin serius dan fokus. Pesanan pesawat Boeing 737 sebanyak 45 buah oleh mereka ditambah kepada 125 buah, dengan 125 buah lagi pilihan.

Menjelang penghujung dekad iaitu pada tahun 2009, syarikat ini membawa 66.5 juta penumpang dengan purata tambang sekitar €35 (RM182).

Menjelang 2010, Ryan air memiliki armada pesawat Boeing 737-800 sebanyak 272 buah. Malah, ketika ini, syarikat penerbangan tambang murah ini mengendalikan sejumlah pangkalan di seluruh Eropah.

Dan walaupun berhadapan dengan beberapa halangan, Ryanair terus berkembang maju. Menjelang penghujung tahun 2010, syarikat ini mempunyai 44 pangkalan dengan lebih daripada 1,300 laluan.


Pada tahun 2013, mereka sekali menempah pesawat Boeing dan kali ini sebanyak 175 buah.

Namun, hanya setahun kemudian, tempahan ini bertambah kepada 183 buah Boeing 737-800 dan 200 buah Boeing 737 MAX, yang sering dirujuk mereka sebagai Boeing 737 Gamechanger.

Pada tahun 2015, Ryanair meraikan ulangtahun ke-30 mereka dan pada tahun yang sama membawa lebih daripada 100 juta penumpang.

Dan pada hari ini, syarikat yang hampir-hampir tumbang ini menjana keuntungan sekitar RM32.3 bilion setahun dan bermula dengan hanya 25 orang, Ryanair kini mempunyai lebih dari 17,500 kakitangan.

Malah, syarikat penerbangan tambang murah terbesar di dunia ini juga merupakan syarikat penerbangan yang mempunyai laluan paling banyak di dunia, iaitu sebanyak 1,831 laluan ke seluruh dunia, menewaskan American Airlines dengan 1,106 laluan.


Walaupun kini Ryanair merupakan antara syarikat penerbangan terkemuka dunia, namun banyak halangan yang ditempuhi mereka boleh dijadikan sebagai teladan bagi mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan.


1. Jangan menyerah, tetapi berani untuk berubah


Pada tahun-tahun pertamanya, Ryanair dengan murah hati memberikan makanan dan minuman percuma untuk menenangkan pelanggan apabila penerbangan ditangguhkan.

Pada ketika itu, tindakan ini diterjemahkan sebagai memberikan perkhidmatan pelanggan yang hebat di mana ia membuatkan pelanggan gembira, tetapi syarikat itu juga mengalami kerugian besar.

Pada penghujung tahun 1980-an, ketika mereka di ambang kemusnahan, pemilik syarikat Tony Ryan enggan menyerah kalah.

Sebaliknya, dia memimpin syarikat untuk melakukan perubahan drastik dalam model dan budaya perniagaan mereka, yang membawa kepada hasil dan keuntungan yang dramatik.

Kita telah melihat banyak syarikat yang gulung tikar disebabkan oleh kerugian atau faktor-faktor lain yang tidak dapat dikawal. Tetapi Ryanair adalah salah satu yang berani untuk melawan dan menang.


2. Jangan takut untuk ambil risiko


Terdesak untuk keluar daripada situasi yang teruk, Ryanair mengambil langkah penting dan mengambil pendekatan model perniagaan baru oleh Southwest Airlines yang berpangkalan di AS, yang merupakan syarikat penerbangan pertama yang membuat keuntungan daripada tambang murah.

Dan Ryanair bukan sahaja belajar dari Southwest Airlines, tetapi mereka mencipta semula model perniagaan kos rendah ini dan membawanya ke tahap yang sangat ekstrem.

Risiko yang diambil dan masih diambil roleh Ryanair membawa mereka berada di bawah pengawasan teliti oleh pengguna dan pengkritik.

Namun usaha gigih mereka untuk menyediakan penerbangan tambang rendah, kemudahan, dan perkhidmatan yang baik masih menjadikan mereka salah satu syarikat penerbangan terkemuka ketika ini.

Mengambil risiko besar boleh menjadikan anda berjaya, atau gagal. Tetapi untuk peluang ini ditafsirkan kepada keuntungan yang besar, anda tidak boleh takut untuk mengambil risiko.


3. Anda tak boleh puaskan hati semua orang


"Kami adalah syarikat penerbangan yang orang ramai gemar untuk membenci," kata Pengarah Perkhidmatan Pelanggan Ryanair, Caroline Green.

"Kami tak boleh tawarkan tambang murah tanpa mempunyai pangkalan yang sangat rendah dari segi kos. Dan jika ini bermakna kami terpaksa bangun setiap pagi dan bergaduh dengan semua orang, kami akan lakukannya," kata Ketua Pegawai Kewangan Ryanair, Howard Miller.

Mungkin terdapat ramai orang yang bercakap tentang perkara negatif berkaitan Ryanair, dan ramai yang telah menyatakan kebimbangan mengenai keputusan pemotongan kos yang sangat ekstrem oleh Ryanair.

Sebagai contoh, ramai yang mengeluh pesawat ini tidak lagi menyediakan makanan, tempat duduk yang sempit dan banyak lagi.

Namun Ryanair menjalankan misi mereka untuk terus mencari cara bagi menurunkan kos tambang tidak kira dengan apa cara sekalipun.

Di dalam menjalankan perniagaan atau apa perkara sekalipun, anda tak akan dapat menggembirakan semua orang dan tak semua pelanggan akan berpuas hati.

Tetapi jika ini apa yang harus dilakukan untuk memberikan manfaat kepada lebih ramai orang, maka ia adalah satu pilihan yang berbaloi untuk diperjuangkan.


Rujukan;
 
Top
Log in Register